Ingatkan Dia – Bab 1

Standard

 

Enam bulan yang lalu….

 

“Cepat sikit Zafirah, dah nak masuk waktu Syuruk. Waktu Subuh dah nak dekat habis ni. Tengah ambil wudhu ke berendam dalam tandas?” jerit ibu dari dapur.

 

“Ya.. Ya. Nak keluar ni.” Aku terus keluar dari bilik air. Ibu telah menggeleng-gelengkan kepala.

 

“Jangan pulak termenung dekat dalam bilik. Dah pukul berapa ni? Takkan ayah kau asyik nak kena hantar sampai Sakra. Jauh tu.” bebel ibu di luar bilik air

 

Aku terus masuk ke dalam sambil memakai telekung dan membentangkan sejadah. Selalunya tidak begini kerana aku selalu bangun awal. Entah kenapa hari ini, aku lewat. Mungkin kerana aku asyik membaca novel karya Norhayati Berahim tanpa menyedari pukul berapakah aku terlelap. Tiba-tiba mataku tertancap pada USB flashdrive yang terletak di atas mejaku. Hari ini sepatutnya aku berjumpa dengan Adam untuk memulangkan USB flashdrive kepunyaannya. Aku cepat-cepat beristigfar dalam hati kerana melewatkan waktu solatku.

 

Setelah habis solat subuh, aku terus mengambil telefon bimbit dan mendial nombor telefon bimbit Adam. Di dalam hati berkata-kata, Adam dah sampai ke Singapura ataupun tidak. Dua minggu yang lalu Adam ada memberitahu yang dia akan sampai di Singapura pada pagi ini. Mengikut jadual, penerbangan lelaki itu akan tiba di lapangan terbang Changi pada pukul lima setengah pagi dari lapangan terbang Narita.

 

Aku memandang ke jam di dinding. Jam sudah menginjak ke pukul tujuh pagi. Lagipun aku harus memulangkan USB flashdrive ini kepada Adam kerana jadual masaku agak sibuk selepas ini. Semalam, Encik Masahiro Ogawa sudah memberitahu aku akan ke Matsuyama, Jepun untuk menjalani latihan di sana. Aku lekatkan telefon bimbitku di telinga kanan ku. Bunyi deringan mula kedengaran di hujung talian. Aku menunggu dengan sabar sebelum panggilanku akhirnya diangkat

 

“Hello.” suara garau menerobos ke gegedang telinga. Kenapa pula suara Adam lain sikit, desis hatiku.

 

“Hello.. Hello.” Suara garau itu lagi

 

“Assalamualaikum Adam. Zafirah ni. Dah sampai Changi? Best tak Jepun? Pukul berapa flight tadi sampai Singapore?” tanya aku bertubi-tubi.

 

“Aaaaarrr. Jepun? Siapa ni?” tanya suara garau itu lagi.

 

“Adam, jangan nak buat kelakar pulak. Ni Zafirah lah. Takkan dua minggu pergi Jepun dah lupa. Tu lah siapa suruh makan banyak sangat mee maggi. Kan dah nyanyuk macam orang tua.” aku gelak sekuat hatiku

 

“Adam.. Siapa Adam?”

 

“Ya Allah!! Takkan dah lupa nama sendiri.” Aku ketawa sekuat hati. Sengaja Adam nak kacau aku.

 

“Tapi I bukan Adam.” jawab suara garau itu lagi

 

“Aikk!! Adam.. Jangan nak main-main pulak.” kata aku lagi

 

“Cuba lihat balik nombor yang awak dial.”

 

“Ni Adam kan?” tanya aku tidak puas hati.

 

“ Tapi I bukan Adam,” jawab suara gurau itu tegas.

 

Siapa pula yang dah aku telefon ni. Kalau bukan Adam siapa lagi, desis hatiku. Aku mencapai cermin mata dan terus melihat nombor telefon yang tertera di skrin. Rupanya aku tertekan salah nombor. Sepatutnya nombor telefon Adam berakhir dengan lapan tetapi aku tertekan sembilan.

Advertisements

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 50

Standard

Adlina tidak tahu apa yang terjadi selepas dia memberitahu Nazrey perkara yang sebenar. Pagi itu, apabila Adlina membuka matanya dia sudah berada di atas katil di dalam bilik tidurnya. Kepala Adlina masih terasa berat. Adlina mengerling ke arah jam yang berada di atas meja di sisi katilnya. Jam menunjukkan sudah menginjak ke pukul enam pagi. Perlahan-lahan Adlina bangun dari katilnya dan membersihkan diri sebelum menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim.

Apabila Adlina keluar dari biliknya, rumah mewah itu sudah diterangi dengan lampu. Kelibat Mak Temah  sedang sibuk di dapur menyediakan makanan. Adlina pula sudah siap berpakaian untuk ke pejabat.

“Lin dah bangun? Lin okay tak? ” tanya Mak Temah dengan nada yang begitu prihatin. Diusap perlahan-lahan lengan Adlina.

“Alhamdullilah. Lin okay Mak Temah.” jawab Adlina. Tangannya sibuk mengambil serbuk kopi sebelum ditelakkan ke dalam teko.

“Semalam Lin pengsan. Dato’ yang mengangkat Lin masuk ke dalam bilik,” kata Mak Temah secara tiba-tiba. Kata-kata itu bagai sudah menjawab segala persoalan yang berligar di kepala Adlina sedari tadi.

” Mak Temah ke dapur malam itu untuk mengeluarkan bahan-bahan untuk memasak bila ternampak Adlina terbaring di tepi meja makan. Muka Dato’ pucat lesi. Terus dipanggil doktor peribadi.” jelas Mak Temah panjang lebar. Tangannya masih sibuk menggoreng nasi di dalam kuali.

“Dato’ di mana sekarang ini?” tanya Adlina.

“Dato’ baru sahaja keluar.  Malam semalam dia yang menjaga Adlina. Sebelum Mak Temah terlupa, Dato’ ada tinggalkan kunci kereta.” Mak Temah terus menyerahkan kunci kereta kepada Adlina. Bila Adlina melihat kunci kereta yang ada tangannya, menggeletar seluruh badannya. Suaminya menyuruhnya memandu kereta  Lexus RX hybrid ke tempat kerja. Tak ada kereta kecil ke, bisik hati Adlina.

“Mak Temah ada nombor telefon Dato’? tanya Adlina.

“Adlina tak ada ke nombor telefon Dato?” Soalan dibalas dengan soalan juga oleh Mak Temah.

“Eeerrr.. Saya dah simpan nombor Dato’. Tapi semasa saya menukar telefon bimbit, semua nombor yang disimpan hilang. ” kata Adlina beralasan. Tanpa mengesyaki apa-apa, Mak Temah terus memberitahu nombor bimbit Nazrey.  Bila Adlina cuba memasukkan nombor telefon bimbit Nazrey, rupanya Nazrey tidak pernah menukar nombor telefon selama ini. Entah kenapa saat itu Adlina merasa lega. Selepas Adlina makan sarapan, Adlina terus bergegas keluar sebelum memandu ke bangunan di mana terletaknya Saujana Holdings.

Adlina terus melangkah masuk ke dalam lif sambil menekan butang lif ke tingkat dua puluh. Keluar sahaja dari lif, Adlina ternampak Azean sedang menunduk membaca sesuatu. Di dalam fikiran Adlina hanya satu sahaja. Dia mahu memulangkan kunci kereta kepada suaminya kerana Adlina lebih senang memandu kereta yang lebih kecil seperti kereta Chevrolet yang pernah dipandunya semasa bertugas dengan Saujana Holdings. Adlina pula sudah bertekad mahu tinggal bersama dengan sepupunya yang sudah berpindah ke Cheras buat sementara waktu kerana kurang selesa bila berada di dalam rumah mewah itu.

Mungkin Adlina akan mencari rumah sewa yang berdekatan dengan pejabatnya. Untuk tinggal di rumah mewah itu.. rasanya dia seolah-olah tidak layak untuk tinggal di situ apatah lagi dengan layanan bahu sejuk oleh Nazrey. Cuma Adlina takut Puan Sri Nora tidak bersetuju dengan cadangannya yang mahu berpindah dalam keadaan sarat mengandung. Adlina pula tidak tahu apa yang terjadi kepada penthouse milik Nazrey; hadiah perkahwinannya kerana Adlina langsung tidak menjejakkan kakinya sehingga kini semenjak Nazrey pergi keluar negara.

“Assalamualaikum Azean.”  Adlina menyapa Azean.

“Ya Allah!!! Datin Adlina. Apa khabar?” pekik Azean seumpama melihat makhluk halus dihadapannya. Azean terus bangun dari tempat duduknya dan terus memeluk Adlina.

“Alhamdullilah sihat. Azean apa khabar?” tanya Adlina sambil tersenyum.

“Alhamdullilah. Khabar baik dan tak..” Azean memuncungkan mulutnya. Adlina ketawa berdekah-dekah

“Kenapa?”

“Biasalah bos. Sejak peristiwa kemalangan yang berlaku ke atas dirinya.. Bos dah jadi harimau bintang dengan kumbang ketuk.” bisik Azean. Adlina memandang Azean kehairanan.

“Bos ni asyik nak marah-marah. Semuanya tak kena. Dulu tak macam begini. ” Azean meluahkan isi hatinya.

“Bos ada di dalam tak?” tanya Adlina.

“Ada di dalam pejabat dengan Cik Dania.” bisik Azean.

“Cik Dania?”  Kepala Adlina sudah mula befikir. Takkan Dania bekas tunang Nazrey ada di dalam bilik pejabat. Atas urusan apa? Bisik hati kecil Adlina.

“Boleh saya jumpa dengan bos sekejap sahaja?”

“Saya cuba ya Cik Adlina. Saya pun takut sebenarnya. Takut kena hamput dengan Dato.”

Azean terus menekan butang interkom untuk memberitahu Nazrey akan kedatangan Adlina di pejabat. Suara Nazrey mula bergema di corong interkom.

“Suruh Adlina masuk.” kata Nazrey.

Adlina terus ke bilik Nazrey yang betul betul terletak berhadapan dengan meja Azean. Dahulunya bilik itu dihuni oleh Allahyarham Tan Sri Hishamuddin. Dan kini bilik pejabat yang begitu luas itu dihuni oleh Nazrey. Adlina mengetuk pintu bilik Nazrey sambil menghela nafas panjang

“Masuk!!” laung Nazrey dari dalam biliknya. Adlina memusingkan tombol pintu sebelum masuk ke dalam bilik yang begitu luas. Ketika melangkah masuk, Adlina melihat Dania sedang duduk berhadapan dengan Nazrey.

Entah kenapa Adlina berasa hiba dan cemburu.Tiba-tiba terlayar gambar-gambar  mesra Nazrey dan Dania yang diterimanya di Watsapps. Api cemburu mula menguasai Adlina namun disabarkannya. Buat apa mahu melenting pada saat ini kerana Nazrey langsung tidak mengingati dirinya. Adlina harus kuat menempuh ujian ini. Lagipun Adlina mahu menolong ibu mertuanya memantau perjalan syarikat Saujana sebelum bersalin. Adlina sudah berjanji dengan Puan Sri Nora untuk mencungkil apa yang telah di syarikat Saujana sepanjang ketiadaan Nazrey beberapa bulan yang lepas.

“Nazrey, I’ve to go right now. Jangan lupa lunch kita nanti.” kata Dania sebelum mengangkat pungunggung dan terus berlalu keluar dari bilik.

“Boleh saya duduk?” tanya Adlina. Anak mata Nazrey terus memanah masuk ke dalam anak mata Adlina. Ketika itu Adlina berasa kurang selesa walaupun berhadapan dengan suaminya sendiri. Mungkin hatinya masih membengkak bila teringatkan gambar-gambar mesra Nazrey dan Dania. Bukan itu sahaja api cemburu sudah menguasai hatinya ketika ini kerana Dania berada di dalam bilik Nazrey. Bersangka baik sahaja lah Adlina, bisik hatinya lagi.

“Dato’, saya nak berikan kunci ini kembali.” Adlina terus menyerahkan kunci kereta Lexus RX Hybrid kepada Nazrey. Sengaja diri membahasakan lelaki itu dengan panggilan Dato’. Lelaki itu langsung tidak

“Kenapa? Tak cukup besar?” kata-kata itu terus terluncur terus dari mulut Nazrey. Kenapa suaminya berubah dengan begitu mendadak. Ya Allah! Tak kuat rasanya Adlina menghadapinya. Gambar-gambar yang diterima, suaminya hilang ingatan dan kini layanan suaminya kian membeku terhadap dirinya seolah-olah mencengkam nafasnya. Dirinya yang sudah sarat perlukan suaminya di sisi. Namun bagaimana suaminya ingin melayannya dan berada di sisinya sedangkan tidak ada satu perkara yang lelaki itu ingat tentang dirinya Adlina sedaya upaya menahan diri dari mengalirkan airmata. Dia mesti kuat menghadapinya.

“Terlebih besar Dato’ ” jawab Adlina pantas.

“Jadi kenapa kau menolak?” tanya Nazrey. Kata ganti namanya itu bagaikan terlalu kasar kedengaran di cuping telinganya.

“Saya akan beli kereta kecil. Cukup untuk saya berulang alik ke pejabat.”

“Ini bukan kehendak aku. Kehendak mama. Dia yang telefon semalam dan memberitahu aku supaya berikan kereta Lexus itu untuk dipakai oleh kau. Kau ingat aku nak sangat berikan kereta itu kepada orang yang aku tak kenali. Disebabkan mama aku turuti. Aku pun tak tahu muslihat kau sampai Mama pinta aku berikan Lexus itu kepada kau.” Suara garau lelaki itu memecahkan kesunyian bilik pejabatnya

“Kalau bukan kehendak Dato’ … Saya akan berikan semula kunci kereta ini. Lagipun saya akan berada di KL tidak lama.Cuma tiga bulan sebelum bersalin. Selepas itu saya akan pulang ke Singapura,” jawab Adlina mendatar.

“Kenapa sampai nak beli? Kalau dah mama aku suruh kau pakai.. pakai sahaja lah.”

“Soal Puan Sri, jangan Dato’ gusar. Saya akan beritahunya nanti bila pulang.”

“Suka hati kau lah.”

Adlina meminta diri dan terus keluar dari pejabat. Sejak akhir-akhir ini, Adlina sering kepenatan. Mungkin semakin kandungan ini besar, semakin dia berasa berasa cepat lelah. Adlina tidak terus masuk ke pejabatnya yang berada di tingkat lima Menara Saujana. Sudah dimaklumkan kepada Saerah salah seorang pembantunya di pejabat yang dia tidak akan kembali ke pejabat sehingga selepas waktu makan tengahari. Lagipun Adlina sudah berjanji dengan sepupunya Indah untuk makan tengahari bersama di salah sebuah restoran berdekatan dengan Menara Saujana.

Sambil berfikir tentang apa yang harus dibuatnya di pejabat nanti, Adlina menuruni tangga pintu keluar dan masuk Menara Saujana Holdings. Entah kenapa, Adlina berasa tubuhnya seakan-akan hilang imbangan dan terus tergelincir dari tangga tersebut. Tiba-tiba Adlina berasa perutnya begitu bisa sekali. Cecair darah membasahi baju dan seluarnya. Saat itu, Adlina terdengar seseorang memekik namanya dengan kuat sekali.

 

 

 

 

 

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 49

Standard

Sudah sebulan Adlina memulakan tugas sebagai eksekutif di salah sebuah anak syarikat Saujana Holdings. Puan Sri Nora menyuruhnya memulakan tugas sebagai eksekutif kerana tidak mahu membebankan menantunya yang sudah berbadan dua. Puan Sri Nora tidak putus-putus memberikan tunjuk ajar dalam menguruskan anak syarikat itu.  Pada mulanya Adlina agak kekok kerana sudah lama dia meninggalkan dunia koporat kerana mengendalikan perniagaannya sendiri.

“Mama cuma nak Lin berkerja sehingga akhir bulan ini. Bukan apa, mama tak nak apa-apa terjadi pada Saujana Holdings. Hanya Lin yang boleh tolong Mama” kata Puan Sri Nora yang sedang duduk di gazebo menikmati udara petang.

“Maksud mama?” tanya Adlina kehairanan.

“Lin tahukan keadaan Naz macam mana. Masih belum sembuh sepenuhnya. Nizam pula sibuk menguruskan anak syarikat yang sekarang berpangkalan di Dubai. Jadi Mama nak Lin tolong mama  pantau perjalanan syarikat dari jauh. Sebab mama rasa tak sedap hati.”

“Tak sedap hati?” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkannya ingin tahu apa yang telah berlaku sepanjang ketiadaan Nazrey.

“Sepanjang ketiadaan Nazrey, kewangan Saujana Holdings mengalami defisit yang agak teruk. Mama tanya Mokhtar tapi dia sendiri tidak tahu. Maklumlah Mokhtar sendiri ada syarikatnya sendiri untuk diuruskan. Kemudian mama tunjukkan penyata kewangan syarikat pada Nizam. Nizam sendiri terkejut dengan adanya pengaliran wang yang tidak sah.”

“Boleh Lin lihat penyata kewangan bagi suku pertama untuk Saujana Holdings?”

“Nanti mama berikan pada Lin esok di pejabat. ” jawab Puan Sri Nora. Adlina menganggukkan kepalanya.

“Dan satu lagi, mama tak mahu Lin tertekan sangat. Cuma mama ingin Lin tolong mama pantau syarikat itu. Sebab mama rasa di dalam syarikat itu ada gunting di dalam lipatan. Perkara ini sudah terlalu lama sangat.” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkan Adlina berasa terkejut.

Patutlah selama dia di Singapura, Puan Sri Nora jarang menghubunginya. Rupanya sepanjang ketiadaan suaminya di situ, terlalu banyak perkara yang berlaku. Ya Allah, ujian yang diberikan bersilih ganti.

Tidak lama kemudian , kereta Lexus RX hybrid milik Nazrey dipandu masuk ke dalam kawasan rumah Puan Sri Nora. Mata Adlina menyoroti kenderaan mewah itu sebelum dipakir di garaj bersebelahan dengan rumah agam milik ibu mertuanya. Nazrey keluar dari perut kereta dengan masih berpakaian kemas. Selepas kejadian kemalangan yang berlaku ke atas Nazrey, lelaki itu seolah-olah lupa tentang dirinya. Nazrey kembali kepada perangai lamanya. Seorang lelaki serabai yang kuat mengomel dan keras kepala. Nazrey kemudian terus berjalan ke arah Puan Sri Nora sebelum menyalami tangan ibu mertuanya. Adlina mahu menyalami Nazrey tetapi  ditahan kehendaknya kerana Nazrey masih belum mengingatinya.

“Sedapnya kuih talam jagung. Mak Temah buat ke?” tanya Nazrey sambil tangannya mengambil sekeping kuih talam jagung yang dibuat oleh Adlina.

“Bukan Mak Temah. Adlina yang buat.” sangkal Puan Sri Nora. Kunyahan Nazrey yang penuh diisi penuh dengan kuih talam jagung tiba-tiba terhenti. Mata lelaki itu terus menikam dalam anak mata Adlina. Kemudian Nazrey meneruskan kunyahan kuih talam jagung.

“Dato’ nak kopi atau teh?” tanya Adlina. Adlina tidak mahu membahasakan Nazrey sebagai ‘abang’ kerana Adlina tahu akan keadaan Nazrey dan tidak mahu merumitkan lagi. Adlina mahu mendekati Nazrey secara perlahan-lahan dan bukan cara

“Takpe. Saya nak naik ke atas dulu.” jawab Nazrey ringkas sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Puan Sri Nora hanya memandang Adlina dengan sebuah pandangan yang kosong. Kemudian tangan Puan Sri Nora menggenggam tangan kanan Adlina.

“Lin.. sabar ya sayang. Nazrey perlukan waktu untuk kembali ke asalnya.” pujuk Puan Sri Nora.

” Tapi sampai bila mama?” tanya Adlina sambil merintih. Saban hari Adlina tidak putus-putus berdoa agar ingatan Nazrey kembali seperti sediakala. Adlina mahukan Nazrey berada di sisinya saat dia bersalin nanti. Seorang suami yang akan menemani saat dia diambang maut Adlina juga mahukan Nazrey yang dia pernah kenali dahulu. Bukan Nazrey yang bahu sejuk dan menjengkelkan. Tapi apakan daya, Nazrey bukan Nazrey yang dahulu.

“Kita sama-sama berdoa ya sayang semoga ingatan Nazrey dapat pulih serta perniagaan kita dapat diselamatkan.” kata Puan Sri Nora.

Malam itu, Nazrey tidak banyak berkata ketika berada di meja makan. Adlina hanya melihat Nazrey makan dengan bersungguh-sungguh. Sengaja Adlina memasak lauk kegemaran Nazrey seperti sambal goreng pengantin, sambal tumis sotong dan ayam masak merah berserta nasi impit. Makanan ini seolah-olah mengimbau kembali pertemuan Adlina dan Nazrey semasa berada di West Yorkshire, England. Airmata Adlina mula mengalir tatkala mengingati segalanya. Adlina cuba menelah makanan yang ada di hadapannya namun segalanya bagai terasa pahit bak hempedu.

Puan Sri Nora tiada bersama ketika makan malam kerana menghadiri majlis persandingan di hotel Concorde, Shah Alam dan akan bermalam di sana. Tinggalah Adlina dan Nazrey berdua di rumah mewah yang boleh diketogorikan sebagai istana. Semua susun atur di dalam rumah nampak begitu mewah kerana diimport dari luar negara.

Nazrey mula perasan bila Adlina tidak makan makanan yang ada dihadapannya. Adlina hanya menguis sisa makanan di dalam pinggan.

“Kenapa tak makan? Kalau tak makan , nanti anak dalam kandungan tak dapat zat.” bebel Nazrey. Saat mendengar kata-kata yang terluncur dari mulut Nazrey, Adlina terus menangis. Ya.. dia menangis kerana Nazrey begitu prihatin terhadap dirinya walaupun mungkin lelaki itu langsung tidak akan mengenali dirinya serta anak yang bakal lahir.

“Tekak saya sakit, Dato’. Sebab tu saya tak banyak makan.” dalih Adlina kepada Nazrey. Nazrey kemudian mencuci tangannya yang sudah agak kotor. Kemudian Nazrey kembali duduk di bertentangan Adlina sambil menikmati ‘creme brulee’ yang disediakan oleh Adlina sebagai pencuci mulut.

“You tahu tak.. setiap kali I makan masakan you, ia bagai mengimbas ingatan I kembali kepada anak saudara I Nadia yang berada di UK sekarang ini. Rasanya begitu sama sekali dengan masakan you. Untung suami you tetapi sayang dia tidak menghargai you.”  Kata-kata Nazrey bagai ditusuk sembilu. Masakan yang dikatakan hasil air tangan Nadia sebenarnya adalah hasil air tangannya. Suaminya langsung tidak ingat sama sekali tentang dirinya.

“I selalu tanya mama I.. siapa you sebenarnya. Kenapa tiba-tiba wanita yang sarat mengandung berada di dalam rumah I. Dan yang peliknya kenapa tiba-tiba mama nak ambil you sebagai eksekutif di salah satu anak syarikat Saujana Holdings. But mama just kept quiet.”

“Dan I nak tahu siapa you sebenarnya..”

Adlina kemudian mengeluarkan sekeping gambar persandingannya bersama dengan Nazrey dari begnya yang terletak di tepi meja makan. Kemudian Adlina menghulurkan gambar itu ke arah Nazrey. Salinan surat nikah dikeluarkan dari beg tersebut.

“Gambar persandingan saya dan suami beberapa bulan yang lalu.” Suara Adlina kedengaran begitu sayu.

“Nama suami saya ialah Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar Tan Sri Hishamuddin. Ini dia sijil nikah”  Mata Nazrey membulat seakan tidak percaya dengan kata-kata Adlina. Mana mungkin dirinya sudah berkahwin.

“Tak mungkin.. Tak mungkin!!” balas Nazrey sambil menggelengkan kepalanya. Nazrey sudah kelihatan berdiri dari tempat duduknya

“Duduk dulu abang. Mungkin abang tak ingat Lin. Tapi Lin masih mengingati suami Lin yang sudah berbulan-bulan tiada di sisi Lin.  Dan di saat Lin menginginkan dakapan abang.” Kata Adlina sambil menangis terisak-isak. Adlina tidak sanggup menyimpan segalanya. Sampai bila dia harus menyembunyikan perkara yang sebenar. Lagipun tidak salah bagi diri Adlina kerana Nazrey masih suaminya yang sah.

“Apa muslihat you sebenarnya Adlina?” tanya Nazrey dengan nada suara yang agak tegas.

“Lin tiada muslihat. Tapi itulah kebenarannya.” jawab Adlina.

“Nope. I tak percaya I dah berkahwin dengan you. Tak mungkin berlaku. Setahu I, Dania tunang I. Masa kan I boleh berkahwin dengan you.”

“Tapi itu kenyataannya. Abang suami Lin. Sah dari segi hukum syarak.”

“Dah lah perempuan. Jangan nak mengada-ngada. Dah mengandung anak siapa.. nak mengaku aku ni suami.” Kata-kata yang keluar dari mulut Nazrey semakin tajam. Hati  Adlina disiat-siat. Mungkin ini ada salah satu sebabnya ibu mertuanya tidak mahu beritahu hal yang sebenar. Puan Sri Nora hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu dirinya tertekan apatah lagi sekarang ini sudah berbadan dua.

Saat ini, Adlina mahu sahaja terbang ke Singapura dan memeluk erat kedua orang tuanya. Tiba-tiba Adlina terasa badannya terjelepuk ke lantai. Padangannya mula berbalam dan kabur. Ketika itulah Nazrey berlalu pergi meninggalkan dirinya keseorangan menanggung kesakitan di tepi meja makan yang mewah.

 

 

 

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 48

Standard

“Nak masak apa Mak Temah?” tanya Adlina sambil memerhati Makcik Temah ligat membersihkan beras.

“Masak nasi lemak sahaja. Ingatkan nak buat cucur udang sekali.”

“Biar saya buat saja. Mak Temah tolong sahaja.” Dengan pantas, Adlina sudah habis membersihkan ikan selar kuning. Nasi sudah pun ditanak dan ikan dan ikan bilis sudah pun siap digoreng. Mak Temah cuma menolong apa yang patut. Selebihnya, Adlina yang menyediakannya. Dalam diam Mak Temah memuji Adlina yang bukan sahaja cantik paras rupa dan tingkah lakunya malah pandai membuat kerja dapur.

“Keadaan Dato’ bagaimana? ” Adlina cuba mencungkil sedikit informasi mengenai suaminya dari Mak Temah.

“Dato’ dah beransur pulih. Bila mula-mula balik ke sini, keadaan Dato’ agak teruk. Alhamdullilah, semuanya kesan dari sesi terapi setiap hari. Puan Sri tak beritahu mengenai Dato’ pada Datin?”

“Ada juga Mak Temah.” jawab Adlina cuba berselindung dari perkara yang sebenar. Kalau boleh, Adlina tidak mahu hal berkenaan rumahtangganya diketahui oleh orang luar. Adlina kemudian menyiapkan kuih ketayap setelah melihat ada lebihan tepung.

Di dalam masa sejam, semuanya sudah dapat disediakan oleh Adlina. Adlina dan Mak Temah sama-sama menyusun semua hidangan yang ada di atas meja. Haruman bau dari masakan Adlina membuat Puan Sri Nora datang menjenguk ruangan dapur. Adlina dan Makcik Temah masih sibuk menyusun  cawan dan teko di atas dulang.

“Masak apa Mak Temah?” tanya Puan Sri Nora.

“Bukan saya yang masak Puan Sri. Datin Adlina yang masak semuanya.”  jawab Mak Temah.

“Lin, kenapa masak semua ni sayang. Mak Temah kan ada. Lin patut berehat. Lagipun Lin sekarang ni sudah berbadan dua.” omel Puan Sri Nora. Mak Temah kemudian memandang ke arah Adlina dengan seribu persoalan.

“Mak Temah, saya dah berbadan dua. Cuma tak nampak sangat sebab saya terlalu kurus.”

“Dah berapa bulan Datin?” tanya Mak Temah.

“Dah nak masuk lima bulan. Sembilan belas minggu Mak Temah. Minggu depan baru genap lima bulan.” terang Adlina lagi. Puan Sri Nora sudah mengambil tempat untuk bersarapan. Hatinya begitu gembira melihat makanan yang disediakan oleh menantunya. Hati tuanya begitu kagum melihat kepandaian Adlina memasak. Mak Temah kemudian mengambil teko dan menuangkan air kopi ke dalam cawan-cawan yang telah disediakan.

Tidak lama kemudian, terdengar derap langkah yang menuruni tangga rumah mewah milik Allahyarham Tan Sri Hishammudin. Degupan jantung Adlina mula bertukar rentak. Telapak tangannya berasa sejuk. Puan Sri Nora memandang Adlina yang berdiri dengan gaya yang serba tidak kena. Tetapi Puan Sri Nora tahu, Adlina mungkin berasa kurang selesa setelah berbulan lamanya tidak berjumpa dengan Nazrey.

“Assalamualaikum Mama..” Nazrey memberi salam. Puan Sri Nora dan Adlina memandang terus ke arah Nazrey. Tiba-tiba Adlina ingin melenyapkan dirinya pada saat itu. Tiada yang banyak berubah. Dato’ Nazrey Shah Iskandar masih segak dengan kemaja lengan panjang berwarna putih dan berseluar slack. Ya.. tiada yang berubah tentang lelaki itu melainkan pergerakan kaki Nazrey  agak perlahan. Mungkin kesan dari kemalangan yang berlaku beberapa bulan yang lepas.

“Waalaikumsalam anak mama. Dah siap nak pergi kerja? ” Puan Sri Nora terus memeluk dan mencium dahi Nazrey. Adlina mahu melangkah keluar tetapi Puan Sri Nora menahannya.

“Nizam cuti dua minggu. Naz terpaksa masuk pejabat untuk habiskan kerja yang tertangguh.” jawab Nazrey. Mata lelaki itu seolah-olah melekat bila memandang Adlina yang sudah mengambil tempat duduk bertentangan dengan Nazrey.

“Siapa ni mama? Mama baru ambil pembantu rumah baru? Takkan Mak Temah nak berhenti.” Pertanyaan Nazrey menghiris perasaan Adlina pada saat ini. Suaminya langsung tidak mengenali dirinya. Kopi yang diminum tiba-tiba menjadi pahit. Dari bawah meja, Puan Sri Nora mencapai tangan kanannya dan menggenggam erat seolah-olah mahu memberikan sedikit kekuatan. Tapi apa yang Adlina lihat, airmata di tubir mata Puan Sri Nora mula mengalir sedikit demi sedikit.

Nazrey kemudian terus mencedok nasi ke dalam pinggannya. Sambal tumis sotong yang dihidangkan begitu menyelerakannya.

“Sedap Mak Temah masak. Naz paling suka sambal tumis sotong.” puji Nazrey. Sudah tiga kali Nazrey menambah nasi lemak. Kuih ketayap dan cucur udang dicapainya. Adlina dan Puan Sri Nora memandang Nazrey yang makan dengan begitu berselera sekali.

“Mama tahu tak.. dulu masa Nazrey di UK  Nadia selalu sajikan Naz dengan sambal tumis bila Naz datang singgah di rumah sewanya. Rasanya begitu sedap sekali” Nazrey mula bercerita.

Hati Adlina bagai dirobek berkeping-kepingan saat itu. Sambal yang selalu dihidangkan oleh Nadia ialah hasil masakannya. Suaminya langsung tidak mengingati dirinya. Ya Allah.. besar sungguh dugaan ini. Hati Adlina mula merintih. Ditahan air matanya dari keluar. Adlina tidak mahu mengikutkan rasa hatinya. Lagipun Nazrey belum benar-benar sembuh dari amnesia yang dialaminya.

“Kenapa mama menangis?” tanya Nazrey seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Mama gembira Naz sudah mulai sembuh dan dapat bertugas di Saujana Holdings. Sebab tu mama menangis.” selindung Puan Sri Nora.

“Dah lah mama. Jangan menangis. Naz dah sihat ni. Pembantu rumah kita yang baru ni pun dah tengok mama semacam.”

“Bukan pembantu rumah baru. Nurina Adlina ni ‘pembantu peribadi’ mama. Adlina akan bantu mama uruskan perniagaan mama.” Adlina amat terkejut dengan kata-kata yang baru disampaikan oleh Puan Sri Nora.  Puan Sri Nora mengenyitkan sedikit matanya memohon Adlina menurut sahaja.  Adlina masih ingat lagi pesan ibu mertuanya supaya memberikan sedikit ruang untuk Nazrey. Mungkin dengan adanya Adlina di sisi Nazrey, ingatan lelaki itu akan beransur pulih.

“Mama kan dah Maya dan staf yang lain di butik tu. You really need extra manpower mama?” tanya Nazrey kehairanan.

“I need her to do some administrative works and other ad-hoc duties. Mama rasa penat nak lakukan semuanya seorang diri. And for your information, she will be staying with us.” kata Puan Sri Nora lagi.

“Mama….why?” soal Nazrey sekali lagi.

“Beginilah Puan Sri dan Dato’.. saya rasa biar saya tinggal di rumah sewa. Tak perlu saya tinggal di sini.” Akhirnya Adlina membuat keputusan. Adlina tidak mahu sebarang pertelingkahan di ruang makan ini berlarutan.

“Mama nak Adlina duduk di sini. Period!”

“Kalau begitu kata mama, Naz terima keputusan yang mama buat. ” Akhirnya Nazrey bersetuju dengan Puan Sri Nora. Nazrey kemudian mengambil beg sebelum menyalami Puan Sri Nora.

“Jangan cuba nak ambil kesempatan pula.”  Nazrey memberikan amaran kepada Adlina. Nada suara lelaki itu mengingatkan kembali Adlina sewaktu pertama kali bertemu dengan Nazrey  di Cardiff. Suara lelaki serabai yang sentiasa menjengkelkan.  Adlina tersenyum sendirian. Nazrey kemudian hanya memandang Adlina tanpa sebarang senyuman.

Tidak lama kemudian kereta mewah Nazrey meninggalkan ruang  tempat meletak kereta .

“Lin, jangan ambil hati dengan Naz ya. Dia belum pulih sebenarnya. Kita sama-sama bermohon dengan izin-Nya semoga ingatan Naz pulih kembali.” Puan Sri Nora cuba memujuk Adlina.

“Apa pun yang  akan terjadi, mama nak Lin jaga kesihatan dan kandungan. Mama tak mahu Lin ‘stress’. Mama mahu lihat Lin sembuh dan cucu mama membesar dengan sihat.” kata Puan Sri Nora lagi.

“Jadi pembantu peribadi mama?” tanya Adlina. Puan Sri Nora tersenyum. Di dalam fikirannya terlalu banyak perancangan yang dia ingin laksanakan terutama sekali memulihkan ingatan satu-satunya anak lelaki tunggalnya.

“Mama nak Lin tinggal dengan mama. Biar apa Nazrey nak cakap selepas ini, biarkan sahaja. Kita maafkan Nazrey.  ” ujar Puan Sri Nora.

“Kafe Lin di Singapura?” Puan Sri Nora terdiam sambil ligat memikirkan apa yang dia harus lakukan untuk membantu menantunya

“Mama ingatkan nak suruh Lin gunakan sesiapa yang Lin rasa boleh dipercayai sebagai proksi .”

“Tapi mama….”

“Mama nak Lin uruskan salah satu dari anak syarikat Suajana Holdings mulai esok. Bukan butik mama. ” tegas Puan Sri Nora.

Adlina tergamam  dan kelu seribu bahasa.

 

 

 

 

 

Rindu Yang Menghempas Hati- Bab 47

Standard

Malam itu juga Adlina terus terbang pulang ke Kuala Lumpur. Najwa tidak dapat ikut serta kerana suaminya mempunyai masih mempunyai urusan kerja di Singapura. Apabila Adlina mengambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tuanya di Kuala Lumpur, Najwa terus menelefon Puan Sri Nora. Hampir bernanah telinganya apabila Puan Sri Nora memarahinya kerana memberitahu keadaan Nazrey yang sebenar kepada Adlina. Tetapi Puan Sri Nora tahu suatu hari nanti juga Adlina pasti tahu tentang nasib yang menimpa anak lelakinya.

Bunyi ketukan di pintu rumahnya kedengaran. Puan Sri Nora mengerling ke arah jam di dinding rumah agamnya yang menunjukkan sudah ke pukul satu setengah minit pagi. Mujur Pak Din tukang kebun masih belum tidur. Lelaki tua itu terus membuka pintu rumah Puan Sri Nora. Kelihatan Adlina berdiri di luar dengan beg kecil di tangannya.

Adlina!! Kenapa balik malam-malam ini sayang. Siapa hantar ke mari?” tanya Puan Sri Nora sambil mengurut perlahan-lahan belakang badan menantunya.

“Lin naik teksi sahaja.. Mama.” jawab Adlina sambil mencium tangan ibu mertuanya.

“Lain kali jangan balik macam begini. Malam-malam merbahaya. Kalau nak balik pun tunggu esok pagi. Mama boleh suruh driver ambil Lin dari lapangan terbang. Nak kena jugak budak Najwa ni….” omel Puan Sri Nora.

“Pak Bidin, bawa beg Adlina naik ke atas.” arah Puan Sri Nora.

“Mak dan ayah tahu Lin balik rumah mama?” tanya Puan Sri Nora. Matanya terus memandang ke arah Lin dengan sebuang pandangan yang redup. Menantunya begitu baik orangnya. Bila mengetahui yang Nazrey memilih Adlina sebagai menantunya, Puan Sri Nora begitu gembira sekali. Tetapi arwah suaminya tidak berminat untuk menjadikan Adlina sebahagian dari keluarganya atas dasar banyak terhutang budi dengan keluarga Sharifah Sarina sekaligus ingin mengiratkan usahasama perniagaan masing-masing.

Bagi Puan Sri Nora, sebuah perkahwinan tidak harus berlandaskan di atas dasar kepentingan perniagaan. Puan Sri Nora membantah keras apabila Allahyarham Tan Sri Hishamuddin ingin menjodohkan anaknya Dato’ Nazrey Shah Iskandar bersama dengan Sharifah Sarina. Jodoh, pertemuan dan perpisahan semuanya di tangan Tuhan. Walaupun cuba dipisahkan kedua-duanya, akhirnya bertemu jua di Tanah Suci sewaktu mengerjakan ibadah haji. Siapa sangka diantara berjuta-juta umat manusia yang berada di Tanah Suci, anaknya Nazrey berjumpa dengan Adlina. Hati tuanya kuat mengatakan bahawa mereka berdua sudah ditakdirkan untuk hidup bersama. Apatah lagi Puan Sri Nora begitu berkenan sekali dengan tingkah laku Adlina.  Menantunya itu juga pandai memasak.

“Mama..” Suara Adlina mematikan lamunan Puan Sri Nora.

“Ya sayang..” Puan Sri Nora mengesat perlahan airmatanya.

“Kenapa mama menangis?” tanya Adlina kehairanan.

“Lin duduk dulu. Mama nak ke dapur sebentar.” kata Puan Sri Nora sebelum berlalu ke arah pintu dapur. Sepanjang ketiadaan Puan Sri Nora, Adlina sempat mengamati keindahan ruang tamu yang begitu mewah dengan hiasan serta potret-potret keluarga yang tergantung di dinding.  Gambar suaminya Nazrey ketika menerima darjah kebesaran dengan membawa gelaran Dato’ Wira jelas terpampang di dinding.

Gambar perkahwinannya serta Najwa juga dibingkaikan dengan indah dan diletakkan di satu sudut. Dalam diam Adlina mengkagumi bakat Puan Sri Nora yang pandai menghias rumah. Suaminya Nazrey juga pandai menghias rumah. Kediaman suaminya dihiasi dengan indah  tatkala Adlina pertama kali melangkah masuk. Tidak lama kemudian, Puan Sri Nora masuk ke ruang tamu sambil menatang dulang yang berisi susu panas dan sepiring buah-buahan. Adlina terus bangun dan terus mencapai dulang yang berada di tangan Puan Sri Nora.

“Adlina duduk sahaja. Bukan susah sangat.” kata Puan Sri Nora. Adlina berasa amat beruntung mendapat ibu mertua yang sangat baik.

“Mama buatkan Lin susu panas. Ada sedikit buah kiwi dan epal. Lin minum dulu. Susu ini kalau dah sejuk dah sedap. Lagipun susu dan buah-buahan bagus untuk ibu mengandung.” nasihat Puan Sri Nora kepada Adlina. Adlina menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.

“Mama sihat?” tanya Adlina memandang ke arah Puan Sri Nora.

“Biasalah. Mama dah tua. Tapi alhamdullilah, dapat juga mengerjakan solat walaupun terpaksa duduk. Lutut mama agak sakit sejak kebelakangan ini.” adu Puan Sri Nora.

“Mama kerja kuat sangat.”

“Mungkin mama terpelecok semasa berlari-lari anak tempoh hari.”

“Mama bukannya nak beritahu Lin.” omel Adlina.

” Mama tak nak susahkan sesiapa.”

“Najwa tahu tentang Mama?” tanya Adlina. Puan Sri Nora hanya menggelengkan kepalanya. Adlina mengeluh berat.

” Mama nak Lin habiskan minuman dan makanan. Lepas tu Lin rehat. Lin ambil tempat tidur di bawah. Lagipun mama tak nak Lin panjat tangga. Takut terjadi apa-apa dekat Lin. Mama tak nak. Cukuplah apa yang terjadi pada Nazrey.” Airmata Puan Sri Nora mula mengalir bila menyebut nama Nazrey.

“Abang Nazrey mana mama?” tanya Adlina sambil memerhatikan disekelilingnya jika ada kelibat Nazrey.

“Nazrey dah tidur, sayang. Esok sahaja ya. Dah jauh malam sangat. Mama mahu Lin berehat. Esok ada masa yang panjang. Boleh kita borak lama sedikit.” pujuk Puan Sri Nora.

“Tapi mama…”

“Sayang.. we have plenty of time tomorrow. Lin di sini.. Siapa yang uruskan kafe?” soal Puan Sri Nora.

“Zahra ada. ” jawab Adlina ringkas. Mata Adlina masih meliar. Masih mengharapkan kelibat Nazrey. Hati Adlina meronta-ronta ingin bertemu dengan Nazrey. Tetapi Adlina tahu dia harus bersabar.

“Buat sementara ini, Lin tinggal sahaja dengan Mama. Mama pun keseorangan. ”

“Mama kan ada abang Nazrey..” sangkal Adlina. Puan Sri Nora mengeluh dengan perlahan dan memandang Adlina dengan sebuah pandangan yang kosong.

“Mama rasa lebih baik Lin berehat dahulu. Lin datang dari jauh. Lagipun Nazrey masih tidur. Esok-esok Lin boleh jumpa dengan Nazrey.” kata Puan Sri Nora. Tidak banyak soal, Adlina terus menghabiskan sisa minuman dan buah-buahan lalu mengangkatnya ke ruang dapur.

“Sebelum itu, mama nak pesan pada Lin. Nazrey yang Lin akan jumpa sama sekali berbeza dari yang pernah Lin kenal dahulu. Dia mungkin ingat Lin atau mungkin lupa Lin.  Mama tak pasti.Tapi Mama nak Lin jangan salahkannya. Kerana mama tahu dia juga tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Jika bukan kerana mama yang….” Suara Puan Sri Nora menjadi tersekat-sekat. Airmata mula merembes keluar. Adlina terus memeluk Puan Sri Nora erat.

“Mama ingin Lin berikan sedikit masa dan ruang untuk Naz. Mama tak tahu sampai bila. Tapi mama harap Lin banyak bersabar ya sayang…”

Adlina menganggukkan kepalanya tanda mengerti akan maksud ibu mertuanya. Adlina pasrah dengan dugaan yang menimpa dengan dirinya. Adlina mengusap perlahan-lahan perutnya.  Adlina dapat merasakan sedikit pergerakkan dari benih yang sudah bernyawa. Anak yang di dalam kandungannya seolah-olah ingin memberikan dirinya kekuatan untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Adlina harus kuat demi anaknya yang tercinta walaupun Nazrey tidak akan menerima anak itu.

Hati Adlina bagai meronta-ronta ingin berjumpa dengan Nazrey yang sudah lama dia tidak jumpa. Adlina juga inginkan kepastian tentang gambar-gambar Nazrey dan bekas tunang yang dihantar di Watsapps beberapa bulan yang lepas sewaktu Adlina masih terlantar di hospital. Tetapi bagi Adlina semua itu tiada kepentingan buat masa ini.

Setelah membersihkan diri, Adlina terus menghamparkan sejadah untuk menunaikan solat tahajjud. Itu yang sering dilakukan saban dinihari sejak bergelar mahasiswa lagi. Adlina dapat merasakan ketenangan setelah menunaikan solat sunat tahajjud. Segala resah dan kebimbangan bagai terhapus sudah. Dihamparkan segala rayuan dan keluh resah kepada yang Maha ESA.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’” (Hadis Riwayat Al-Jama’ah).

Seperti biasa selesai solat subuh, Adlina akan terus ke dapur untuk menyediakan juadah untuk sarapan pagi. Memandangkan Adlina masih berada di rumah ibu mertuanya, Adlina pasti Mak Temah sedang menyiapkan sarapan. Keadaan di ruang tamu dan ruang makan masih lagi gelap. Hanya lampu di ruang dapur sahaja terang benderang. Adlina terus melangkahkan kakinya ke dalam ruang dapur yang agak luas.  Mak Temah sedang sibuk mengeluarkan bahan-bahan dari peti ais.

“Assalamualaikum Mak Temah.” sapa Adlina. Matanya memerhatikan ruang dapur yang begitu mewah sekali dari segi peralatan dan kabinet dapur. Adlina sendiri tidak mampu memiliki dapur secantik ibu mertuanya.

“Allahu Akbar. Terkejut Mak Temah. Datin!! Allah!! Allah.” Mak Temah terus meletakkan sayur di atas meja dan meluru ke arah Adlina. Dan sekelip mata, tubuh Adlina didakap erat oleh Mak Temah.

“Bila Datin sampai?” Mak Temah bertanya. Adlina mengurut perlahan-lahan lengan Mak Temah sambil tersenyum.

“Pagi tadi.” jawab Adlina.

“Pagi tadi? Makcik tak nampak pun Datin. Rindu sangat dengan Datin”

“Ya saya. Jangan panggil saya Datin. Adlina sudah memadai.”

“Jangan Datin. Nanti Puan Sri Nora marah saya.”

“Jangan bimbang Mak Temah. Datin tu pangkat sahaja. Saya menumpang nama. Rasa kekok bila Mak Temah panggil saya begitu.” Mak Temah tersenyum bila Adlina mengatakan begitu. Jarang sekali Mak Temah berjumpa dengan seorang yang merendah diri. Puan Sri Nora majikannya juga seorang yang merendah diri dan baik hati. Mak Temah  yang sudah berusia melebihi separuh abad sudah lama berkhidmat dengan keluarga Allahyarham Tan Sri Hishamuddin.

Mak Temah berasal dari keluarga yang susah dan mempunyai ramai orang anak. Suami Mak Temah sudah lama meninggal dunia akibat lemas ketika menaiki rakit menuju ke kampung seberang. Mak Temah memang sudah pun bertugas di rumah Puan Sri Nora sebagai pembantu rumah. Sejak dari hari itu, Puan Sri Nora mengambil Mak Temah tinggal bersama dengannya. Sebuah rumah untuk tetamu di belakang rumah agam Allahyarham Tan Sri Hishamuddin dijadikan tempat berteduh Mak Temah sekeluarga. Kini kesemua anak-anak Mak Temah sudahpun bekerjaya dan mempunyai keluarga masing-masing. Di rumah agam inilah, Mak Temah bertemu dengan jodohnya untuk kali kedua bersama dengan Pak Din tukang kebun rumah Puan Sri Nora.

 

Rindu Yang Menghempas Hati- Bab 46

Standard

Adlina menanti Nazrey saban hari tanpa sebarang perkhabaran. Sudah empat bulan dia menanti, namun masih menjadi teka-teki. Puan Sri Nora seolah-olah mendiamkan diri. Hanya airmata sahaja yang mengalir di tubir mata Puan Sri Nora. Sudah berkali-kali Adlina merayu, namun tiada jawapan yang keluar dari mulut Puan Sri Nora.  Mulut wanita tua yang masih anggun itu bagai dikunci serapat-rapatnya. Ditanya juga kepada kedua orang tuanya namun hampa jawapannya.  Mereka cuma ingin Adlina sentiasa bersabar.

Tetapi berapa lamakah Adlina harus bersabar. Kandungannya saban hari semakin membesar. Adlina mahukan suaminya di saat ini. Di saat dia amat memerlukan lelaki itu. Setiap malam, Adlina menangis di hamparan sejadah. Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu akan isi hatinya. Diusap-usap perlahan perutnya yang membesar. Benih kasih antara dia dan Nazrey tersemai di dalam rahimnya. Tidak banyak kerenah sepanjang tempoh empat bulan kandungannya seolah-olah anak yang membesar di dalam rahimnya mengetahui ibunya sedang berdukacita. Adlina tidak lagi pulang ke kondominium milik Nazrey.

Adlina sudah pun kembali menetap dengan kedua orang tuanya. Adlina bersyukur kerana mempunyai keluarga yang banyak memberikan sokongan dikala dia masih di dalam keadaan yang tidak menentu. Adlina cuba menyibukkan dirinya dengan perniagaan kafenya. Semakin hari, ramai pelanggan yang datang untuk makan dan minum di situ. Kadangkala, Adlina sendiri tidak menang tangan bila tiba waktu hujung minggu. Ramai pelanggannya yang membawa ahli keluarga untuk menjamu selera di kafenya.

“Adlina, ada orang nak jumpa dengan kau.” kata Zahra. Adlina ketika itu baru sahaja selesai solat asar di bilik pejabatnya.

“Siapa Zahra?” tanya Adlina kehairanan. Zahra hanya menjongketkan kedua belah bahunya. Waktu petang begini, kafenya sudah pun agak lengang. Terasa ada sedikit tendangan di dalam perutnya. Adlina tersenyum sambil mengusap perutnya perlahan-lahan.

“Adlina, hati-hati bila kau melangkah keluar. Hanis baru sahaja selesai mop lantai. Agak basah sedikit.”  Zahra mengingatkan Adlina sebelum berlalu ke dapur.

Seorang wanita yang sedang memakai kacamata hitam sedang duduk memerhatikan keliling kafenya. Wanita yang sudah lama Adlina tidak ketemu. Kali terakhir sehari sebelum wanita itu berhijrah ke luar negara bersama dengan suaminya.

“Najwa?” tanya Adlina sebelum mengambil tempat duduk di hadapan wanita itu. Najwa terus bangun dari kerusi dan memeluk erat Adlina. Adlina dapat merasakan bahu bajunya sedikit basah. Najwa menangis, bisik hati Adlina.

“I miss you so much Adlina… It has been a while. ” Najwa menarik kerusi yang ada disebelah Adlina dan duduk di atasnya.

” I miss you too.” Adlina mula menangis terisak-isak. Matanya menjadi bengkak akibat menangis.  Najwa mengusap perut Adlina perlahan-lahan.

“How many month?” tanya Najwa sambil membuka kacamata hitamnya dan terus meletakkannya di atas meja. Hanis, salah seorang pekerja di kafe Adlina merapati kedua wanita itu.

“I am so sorry. Any drinks for both of you?” tanya Hanis teragak-agak.

“Najwa, any drinks for you? Nak makan ke? ” tanya Adlina.

“Ice Caramel Latte sahaja.”

“Makan?”

“Takper. I baru sahaja lunch.”

“Lunch? Dah pukul berapa ni Najwa. I insist. Kalau tak nak yang berat.. Ada kek dan pie.”

“Anything…” Akhirnya Najwa beralah setelah didesak oleh Adlina.

“Hanis,  buatkan dua gelas Ice Caramel Latte dan satu Yorkshire Pudding.” arah Adlina sebelum Hanis berlalu pergi. Tidak lama kemudian, dua gelas Ice Caramel Latter dan Yorkshire Pudding sudah berada di atas meja.

“Yorkshire Pudding..” Najwa mengambil sudu kecil yang berada di atas meja lalu mengambil sedikit puding Yorkshire sebelum memakannya.

“Dah berapa bulan kandungan Lin sekarang ni?” tanya Najwa sebelum meneguk air Ice Caramel Latte.

“Dah nak masuk lima bulan.” jawab Adlina perlahan-lahan.

“Bila Najwa sampai Singapura?” tanya Adlina sambil memandang Najwa yang sedang leka makan puding yang berada di hadapannya.

“Pagi tadi. Check- in di M Hotel sebelum datang ke sini. Ni pun tanya mama alamat kafe. Telefon Lin di rumah tapi tak berjawab. So.. cekalkan hati terus datang sini naik teksi.” jelas Najwa panjang lebar. Adlina hanya tersenyum mendengarkannya. Najwa masih lagi kelihatan anggun walaupun sudah mempunyai seorang cahaya mata.

“Baby dan suami tak bawa sekali?” tanya Adlina.

“Ohh.. Sedang berehat di hotel.” Pudding Yorkshire sudah hampir selesai dimakan oleh Najwa.

Tiba-tiba Najwa terpandang epok-epok yang ada di dalam tempat di mana segala kuih muih dipamerkan.

“Nazrey suka sangat dengan karipap berisi telur dan kentang.” kata Najwa perlahan. Kata-katanya walaupun perlahan sangat jelas di pendengaran Adlina.

“Nak tanya sikit boleh tak?”

“Apa dia?” Najwa menyedut perlahan airnya. Mata kecokletannya terarah ke anak mata Adlina.

“Najwa tahu di mana Nazrey berada? Semua seolah-olah tidak merahsiakan di mana suami Lin berada. Tanya mama.. mama menangis. Tanya mak dan ayah Lin pun sama.. semua diam membisu kemudian menangis. Dah hampir lima bulan Lin cuba hubungi Abang Nazrey. Tapi hampa. Hari-hari Lin cuba hubungi dia. Lin dah macam separuh gila dibuatnya. Lin kalau boleh nak terbang terus ke Turin jumpa Abang Nazrey tapi mama, ayah dan mak tak kasi. Katanya takut terjadi apa-apa yang kurang baik pada Lin. ” Adlina mula menangis. Wajahnya yang cerah menjadi kemerah-merahan.

Nasib baik kafenya telah ditutup. Ramai pekerjanya sudah pulang. Yang tinggal hanya Hanis dan Zahra yang sedang bersiap sedia untuk pulang. Tidak mahu masuk campur, kedua-duanya terus berjalan ke luar pintu kafe sebelum memusingkan papan tanda  “TUTUP” di hapadan pintu kaca kafe. Tinggallah Najwa dan Adlina berdua di dalam kafe tanpa sesiapa yang datang mengganggu mereka berdua.

Airmata Najwa mula mengalir perlahan-lahan. Najwa ingatkan dia kuat untuk berdepan dengan Adlina namun dia gagal. Melihatkan keadaan Adlina, Najwa seolah-olah tidak mampu untuk berahsia lagi walaupun mamanya Puan Sri Nora menegahnya untuk memberitahu hal yang sebenarnya. Puan Sri Nora tidak mahu Adlina berasa begitu tertekan setelah mengetahui keadaan Nazrey hingga menjejas kesihatan dirinya dan kandungan.

Apatah lagi kadungannya berisiko tinggi kerana ada ketumbuhan ‘cycst’. Mengikut doktor pakar yang merawat Adlina, cycst yang ada di dalam rahim Adlina tidak menjejas kandungan Adlina dan tidak perlu menjalani pembedahan untuk mengeluar ketumbuhan tersebut setelah menjalani satu lagi ujian pemeriksaan secara terperinci. Adlina amat bersyukur kerana dia tidak perlu menjalani pembedahan.

“Apa yang sebenarnya yang terjadi pada Nazrey?” desak Adlina. Adlina semakin kurang sabar kerana ia sudah tersimpan terlalu lama. Semua teka-teki harus dirungkai supaya dirinya berasa lega. Jika Nazrey sudah ada pilihan lain? Adlina akur. Najwa menghela nafasnya. Bagaimana harus dia susun kata-kata supaya Adlina dapat menerima khabar berita yang tentang Nazrey.

“Adlina… Najwa harap yang Lin bersabar ya. Bukan tak mahu beritahu. Tapi kami semua tidak mahu kesihatan Lin terganggu.”

“Susah sangat ke semua nak beritahu Lin tentang keadaan Abang Nazrey. Dia suami Lin. Dan Lin masih isterinya yang sah.” Nada suara Adlina sudah bertukar menjadi kasar.

“Beritahu Lin apa yang sebenarnya yang berlaku kepada suami Lin. I have the right to know!”  Najwa cuba menelan air liurnya tetapi terasa begitu kesat dan pahit sekali.

” Nazrey terlibat dalam kemalangan di Turin semasa menyeberang jalan selepas berbual dengan mama di telefon. Keadaan Nazrey begitu kritikal selepas kejadian itu. Kami semua tak sampai hati nak beritahu Lin perkara yang sebenar.” jelas Najwa perlahan. Adlina berasa dunianya seakan gelap gelita. Seluruh tubuhnya terasa longlai.  Adlina cuba menarik nafasnya perlahan-lahan. Dia tahu dia perlu kuat. Akhirnya berita tentang suaminya sudah diketahuinya.

“Nazrey cedera agak teruk di bahagian kepala. Nazrey koma selama dua hari di ICU sebelum tersedar. Kemudian doktor mengesahkan Nazrey mengalami ‘post traumatic amnesia’. Masa itu Lin masih dirawat di hospital ketika kejadian itu berlaku. Sebab tu mama dengan yang lain tidak mahu Lin berasa tertekan.” sambung Najwa. Akhirnya apa yang terbuku dan tersimpan selama ini akhirnya diberitahu kepada Adlina. Najwa berharap Adlina tabah menghadapi ujian ini.

“Kenapa sampai dah lima bulan baru beritahu semua ini?” tanya Adlina geram.

“Macam yang Najwa cakapkan tadi.. Kita tidak mahu kesihatan Lin terganggu.”

“Tapi dia suami Lin. Lin patut tahu! Kenapa semua senyap sahaja bila Lin tanya” Suara Adlina sudah meninggi.

“Ya. Dia suami Lin. Tapi kita semua sayang dekat Lin. Kita tak mahu terjadi apa-apa yang tak diingini. Mama cuba lindungi Lin. Tak mahu Lin terbeban. Sebab mama berasa bersalah selama ini. Mama selalu marahkan dirinya. Salahkan dirinya. Kalau tidak kerana panggilan yang dibuat mama dan desakkan mama untuk Nazrey segera pulang, semua ini takkan terjadi.” jelas Najwa. Najwa juga berasa kasihan kerana mamanya selalu menyalahkan dirinya.

“Dr Shahrul tahu? ” tanya Adlina kepada Najwa. Najwa perlahan-lahan menganggukkan kepalanya

“Dr Shahrul yang menguruskan Nazrey dipindahkan ke hospital di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan susulan dan terapi.” jelas Najwa

“Jadi semua tahu? Semua tahu kecuali Lin. Allahu Akhar! Kenapa? Kenapa?” Adlina merintih sambil meraup wajahnya berkali-kali. Najwa pula berasa tertekan dengan keadaan Adlina. Najwa takut Adlina hilang pertimbangan bila mengetahui keadaan sebenar Nazrey. Tapi sangkaannya melesit sama sekali. Adlina hanya merintih dan terus merintih. Beristigfar berulang kali. Kuat sungguh Adlina. Desis hati Najwa. Najwa sendiri tidak tahu samada dia mampu menjadi sekuat Adlina bila ditimpa ujian sebegini.

Tetapi Najwa akur dengan qada’ dan qadar dari yang Maha- Esa. Api kemarahan Adlina mulai reda bila mendengar penjelasan dari Najwa. Patutlah Puan Sri Nora menangis bila Adlina mengajukan soalan dimana Nazrey berada. Rupanya ibu mertuanya juga berasa begitu sedih.

Adlina cuba menghadamkan segala penjelasan yang diberikan oleh Najwa. Ya Allah, ujian ini seolah-olah begitu berat untuk ditanggung, hati Adlina mula merintih. Najwa mula menangis tersedu-sedan. Tisu yang diambil di dalam tas tangannya dikesat di tubir matanya perlahan-lahan.

” Keadaan Nazrey bagaimana? Di mana Nazrey berada sekarang ini?” tanya Adlina bertubi-tubi. Suaranya seolah-olah mendesak Najwa untuk memberitahu jawapannya.

“Rumah Mama.” jawab Najwa tanpa berfikir panjang. Belum sempat Najwa menghabiskan kata-katanya, Adlina terus bangun dari tempat duduk. Adlina kemudian mencapai beg dan kunci kafenya.

“Lin nak ke mana?” tanya Najwa terpinga-pinga. Adlina tergesa-gesa menutup kafenya.

“I am flying to KL tonight.” jawab Adlina.

Najwa tergamam.

 

 

 

 

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 45

Standard

Semalam, Doktor Razak datang ke wad Adlina untuk berjumpa dengannya setelah mendapat laporan lengkap dari makmal tentang tahap kesihatan Adlina. Mengikut Doktor Razak, Adlina mempunyai ketembuhan ‘cycst’ yang agak besar di dalam rahimnya dan harus menjalani pembedahan. Pada masa yang sama, Adlina baru mengetahui kini yang dia sudah berbadan dua. Dari pemeriksaan darah yang dilakukan oleh pihak hospital, kandungan Adlina sudah berusia enam minggu. Adlina bersyukur kerana dikurniakan zuriat dalam masa yang terdekat.

Tetapi yang membuat Adlina runsing tentang ketembuhan ‘cycst’ yang bakal menjejas kandungannya.  Tahap kesihatan Adlina akan dipantau secara terperinci oleh Doktor Razak walaupun dia sudah keluar dari hospital kelak. Doktor Razak juga menasihatkan Adlina supaya menjalani pembedahan bagi mengeluarkan ‘cycst’ pada usia kadungannya mencapai 18 minggu untuk mengelakkan sebarang komplikasi pada kadungannya.

Pada saat itu, Adlina bagai keseorangan mendengar tiap butir bicara dari doktor tanpa suami disisinya. Tanpa suami untuk memberikan dirinya Sejak berjumpa dengan ahli keluarga dan mertuanya dua hari yang lalu, tiada perkhabaran tentang suaminya. Setahu Adlina, Nazrey sudah berada di Turin. Masih terlayar gambar-gambar suaminya serta bekas tunangnya di Frankfurt Main yang dihantar melalui ‘Watsapps’ . Adlina menjadi tertekan tanpa mengetahui apa yang telah terjadi pada suaminya serta hubungan lelaki itu dengan bekas tunangnya.

Adlina mahukan penjelasan dari suaminya namun bayangan suaminya itu tiada. Setiap kali daun pintu wad ditolak, Adlina mengharapkan suaminya kembali di sisinya namun hampa. Setiap malam, Adlina berendam airmata setiap kali mengingati gambar-gambar suaminya dan bekas tunangnya berjalan beriringan. Sering kali Adlina memikirkan apakah motif si pengirim itu. Adlina ingin sekali memberitahu Nazrey tentang kandungannya kerana dia mahu Nazrey menjadi orang yang pertama mengetahui berita baik. Namun bayangan lelaki itu tiada. Selepas Adlina mengetahui tentang tahap kesihatannya, Puan Sri  Nora, Encik Adnan dan Puan Zulaikha bertanyakan tentang dirinya. Adlina hanya memberitahu bahawa dia hanya demam dan kekurangan air sahaja. Berita tentang kandungan serta ketumbuhan ‘cycst’ dirahsiakan terlebih dahulu. Adlina tidak mahu mereka berasa susah hati tentang keadaan dirinya.

Tiba-tiba telefon di sisinya berbunyi. Nombor yang tidak dikenali tertera di telefon bimbitnya. Pada mulanya Adlina enggan mengangkat panggilan itu. Namun hatinya kuat berkata mungkin itu panggilan dari suaminya. Tiba-tiba suara seorang wanita memecah gegendangan telinganya.

“Boleh saya bercakap dengan Nurina Adlina?” tanya perempuan yang tidak dikenali itu.

” Ya saya, Nurina Adlina bercakap. Siapa ni?”

“Sally. Ingat lagi?”

“Sally? Sally  yang mana satu ya? ” tanya Adlina.

“Girlfriend Dato’ Nazrey.. Ingat lagi tak?”

“Ohhh.. maaf saya lupa. Salimah kan? ” Adlina hanya mendengar dengusan di hujung talian. Mungkin tidak suka dirinya dipanggil Salimah.

“Kesian kan kau. Suami bersuka ria di luar negara. Sampai isteri sakit pun tak datang.” Kata-kata Sally bagai menghiris hati Adlina.  Kepala Adlina tiba-tiba berpinar.

“Macam mana kau tahu aku sakit? Kalau suami aku bersuka ria sekali pun, ini urusan rumahtangga kami. Apa hak kau nak menjaga tepi kain orang.” Adlina bertempik. Sakit di hatinya hanya Tuhan yang tahu. Kalau boleh, mahu sahaja dia mencilikan mulut model tak tahu malu tu.

“Aku cuma nak beritahu kau. Jangan ingat Dato’ tu baik sangat. ”

Sebelum Sally sempat bercakap, Adlina terus meletakkan telefon. Airmata di tubir matanya mengalir. Adlina terus merintih sedih