Ingatkan Dia – Bab 8

Standard

Aku menoleh ke sebelah kiri. Pemuda yang berada di sebelah tempat dudukku sedang asyik menonton filem yang dipaparkan di skrin depan tempat duduknya. Penumpang yang lain kebanyakkannya sudah tertidur. Aku tidak sebenarnya tidak selesa berada di dalam perut kapal terbang terlalu lama. Bayangkanlah semasa aku di dalam penerbangan dari Singapura ke Glasgow beberapa tahun yang lalu. Cuma Tuhan sahaja yang tahu berapa terseksanya berada terlalu lama di dalam kapal terbang. Baru beberapa jam yang lalu, aku serta penumpang yang lain dihidangkan dengan makanan oleh pramugari yang bertugas Tahap kebosananku berada di tahap tertinggi. Rasanya setiap apa yang masuk ke saluran kerongkongku tidak punya apa-apa rasa. Memandang perutku sudah berkeroncong sedari tadi, aku paksa diriku untuk menelan apa sahaja yang dihidang

.

Sekali lagi, aku membayangkan masakan ibu seperti ayam lemak cili padi, asam pedas ikan duri dan nasi rawon yang menjadi kesukaanku selama ini. Aku menelan air liurku bila membayangkannya. Nasib baik cuma seminggu sahaja aku dihantar ke Jepun. Kalau setahun, aku rasa mukaku sudah seiras ikan salmon mentah. Aku layankan mataku tanpa menghiraukan penumpang yang berada di sebelahku.. Aku tidak sedar bila aku tertidur sehinggakan bila aku bangun, kepalaku sudah terlentok di bahu kanan lelaki yang berada disebelahku. Aduhai, kenapa aku boleh tertidur sampai di bahu lelaki yang berada di sebelahku. Aku diterpa dengan perasaan yang sangat malu. Manalah tahu, sepanjang aku tertidur di bahu lelaki itu, mulutku ternganga dengan air liur basi meleleh. Aku terasa wajahku kian hangat menahan malu yang sukar untuk diungkap.

 

“Sorry.. sorry.” Itu sahaja yang mampu aku ungkapkan ketika itu. Lelaki itu memandangku dengan wajah yang sukar untuk aku tafsirkan. Aku membetulkan tudungku yang aku rasakan seperti sudah agak senget sedikit. Mukaku merah menahan malu apabila lelaki itu memberikan pandangan yang agak tajam.

 

“Tak apa. Bahu saya memang cap “Dunlopillo”. Kalau awak rasa letih lagi, dipersilakan lah.” kata lelaki itu sinis.

Aku tak tahu samada lelaki itu sekadar bergurau . Tetapi bila aku pandang lelaki itu,  aku rasakan senyumannya seperti agak sinis. Selepas itu yang aku dengar sedikit omelan yang terkeluar dari mulutnya. Entah apa yang diomelkan. Loghat yang digunakan seperti dari salah satu negeri Pantai Timur di Malaysia; Kelantan. Rasa-rasanya lelaki yang bertubuh sasa dan tinggi lampai macam tiang lampu ni ‘Abe Kelante’. Mungkin dari raut wajahnya, aku meneka dia berusia di dalam lingkungan awal tiga puluhan atau mungkin pertengahan tiga-puluhan

 

Teringat semasa aku ke Kota Bahru Kelantan beberapa tahun yang lalu. Ketika itu, aku mahu membeli roti prata atau di Malaysia yang dikenali sebagai roti canai untuk sarapan. Jadi aku bertanyakan salah seorang wanita yang berada di tepi jalan. Oleh kerana aku tidak beberapa faham sebutannya, aku seperti terdengar wanita itu mengatakan kalau mahu membeli roti canai, kena pergi ke ‘Kedah’. Takkan lah hendak membeli dua keping roti canai, aku harus ke ‘Kedah’. Setelah berfikir seketika secara waras, rupanya ‘Kedah’ yang dimaksudkan ialah kedai. Aku hampir tergelak sekuat hati di dalam kapal terbang bila memikirkan tahap ‘keselenge-an’ aku.

Lelaki di sebelahku memandangku dengan seribu kerutan.

 

Selepas itu, ada sedikit omelan dari lelaki itu yang aku tak berapa faham dan tangkap loghat perbualannya. Malas mahu melayan omelan dari lelaki yang duduk disebelahku, aku menyambung menonton cerita-cerita yang disediakan di skrin kecil di hadapanku. Beberapa minit kemudian, aku terdengar dengkuran kecil disebelahku. Rupanya ‘Abe Kelante’ dah penat mengomel sampai tertidur-tidur. Aku kerling mataku. Aku amati seketika lelaki itu mempunyai kulit cerah serta kumis nipis. Tak sangka lelaki pun kuat mengomel juga.

 

Tiba-tiba, lelaki itu menggerakkan sedikit badannya dan menoleh ke arahku. Aku cepat-cepat mengambil apa sahaja yang ada di depanku untuk pura-pura membaca serta membetulkan tudungku.

 

“Bagus kalau kita sekali-sekala ambil tahu tentang perihal kecemasan di dalam kapal terbang. Manalah tahukan kalau kita dah terlupa apa nak buat.”

 

Aku lihat kertas yang ada di dalam tanganku. Rupanya aku sedang memegang informasi tentang kecemasan yang berlaku di dalam kapal terbang dan bagaimana penumpang harus beriaksi jika ada seberang kecemasan. Darah terus menyerbu ke wajahku. Rasanya panas lagi berbahang. ‘Abe Kelante’ macam nak nak kenakan aku. Aku pandang mukanya. Lelaki itu sedang senyum senget dengan lesung pipit terserlah di pipi kanannya. Aku pusing ke arah tingkap kecil di sebelahku. Apa yang tersingkap di sebalik kaca tingkap pesawat hanyalah kepulan awan sahaja. Tanpa menghiraukan kata-kata daripada lelaki itu, aku terus menyandar ke belakang badan di tempat dudukku dan memejamkan mata.

 

“Ilyas Effendy.” Aku terdengar suara lelaki itu tiba-tiba memecahkan kebisuan. Tempat duduk di sebelahnya kosong. Mulutku terlebih pantas dari akal fikiranku.

“Ohh hai! Saya Zafirah” jawabku seraya sambil menoleh ke arah lelaki itu. Lelaki itu memandangku kehairanan.

 

Aduhai, maluku sudah setebal berinci- inci. Lelaki di sebelahku rupa-rupanya sedang bercakap dengan pramaguri yang bertugas. Kalau boleh, mahu aku sorok mukaku di bawah tempat duduk. Lelaki itu menoleh ke arahku dengan sebuah pandangan yang sukar dimengertikan. Aku lihat seribu kerutan di wajahnya. Mungkin dibayangi dengan seribu persoalan. Rasanya penerbangan ini seolah-olah lagi lama dari penerbanganku ke Glasgow. Aku sudah rasa tidak betah berada di dalam pesawat. Punggungku sudah panas seperti sedang disalai di atas unggun api. Aku seolah-olah tidak sabar menanti pesawat ini mendarat di Lapangan Terbang Changi walaupun aku tahu longgokkan kerjaku di gudang sedang menantiku.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s