Ingatkan Dia – Bab 6

Standard

Aku berasa di awangan ketika menaiki VNA dan berasa agak gayat ketika melihat ke bawah bila aku berada di rak tingkat sepuluh. Bayangkan VNA itu bergerak perlahan-lahan. Kalau boleh, aku mahu menghabiskan pemeriksaan ke atas barang-barang stok di gudang 2. Tali keselamatan aku ikat di tempatnya. Tanganku berasa agak sejuk ketika VNA itu bergerak naik ke atas. Sememangnya aku takut pada tempat yang tinggi. Raju yang berada di sebelahku tersenyum bila melihat wajahku yang putih seperti mayat.

 

Aku menyuruhnya menurunkan VNA ke bawah setelah aku selesai memeriksa stok. Akhirnya aku mampu menarik nafas lega kerana sudah selesai melakukannya. Sedang aku menulis angka di dalam kertas laporan, bunyi walkie-talkie yang tersangkut di kocek baju seragamku berbunyi.

 

“ Warehouse 1 to Base over!” Kedengaran suara Razak di walkie-talkie. Aku terus mencapainya dan menekan butang untuk bercakap.

 

“Send over” aku menjawab kembali.

 

“I need help in warehouse 1 urgently” kata Razak dengan nada yang agak cemas.

 

“Roger and out!”. Aku terus membuka ikatan tali keselamatan yang diikat di VNA lalu mengorak langkah dengan pantas. Di dalam hatiku berdoa semoga tiada apa-apa yang serius berlaku di gudang 1. Tiba di gudang satu, jantungku bagaikan mahu terkeluar. Mukaku sudah masam mencuka apabila melihat empat bag berisi ‘resin’ bertaburan di atas lantai gudang bersama dengan empat rangka rak. Sebuah forklif terpakir disebelahnya.

 

“Apa yang dah berlaku, Razak?” tanyaku. Pegawai keselamatan di komplex kimia ini sedang sibuk mengambil gambar.

 

“Empat rak terjatuh tadi” jawab Razak.

“Empat rak jatuh sekaligus? Macam mana boleh jadi begini?” Siapa pemandu forklif nombor dua?” tanyaku. Padanganku masih terarah ke bahan-bahan resin dan rak yang jatuh di lantai.

 

“Azman cuba ambil empat rak sekaligus. Hilang pertimbangan dan semuanya jatuh di lantai.” Aku pandang ke arah Azman yang berdiri berdekatan dengan forklif. Mahu sahaja aku tarik telinganya dan ketuk kepalanya. Prosedur atau  ‘Standard Operating Procedures (S.O.P) mengangkat rak besi mengandungi beg resin tidak melebihi satu sudah diketahui oleh semua pekerja. Malahan pekerja-pekerja gudang selalu diingatkan semasa ‘briefing’ yang diadakan setiap pagi. Aku terus memanggil Azman untuk naik ke atas pejabat setelah pegawai keselamatan mengambil laporan.

 

Azman menarik kerusi dan duduk mendiamkan dirinya. Encik Tetsuya Nakamura dan Encik Sato Hiroyuki masuk ke dalam pejabatku. Aku mengambil tempat duduk bertentangan dengan Azman.

 

“Azman, bagaimana boleh terjadi? Empat rak dengan beg berisi resin seberat lapan ratus lima puluh kilogram setiap satu jatuh.” Azman mendiamkan diri bila ditanya olehku. Kemudian aku terdengar keluhan yang agak perlahan dari mulut Azman

 

“Saya.. saya  cuba ambil semua empat rak sekaligus,” jawab Azman tersekat-sekat.

 

“Kenapa? Awak tahukan yang prosedur untuk mengangkat beg seberat lapan ratus lima kilogram dengan rak besi tidak boleh diambil melebihi satu. Forklif tak dapat menampung berat itu.” kataku geram.

 

Azman hanya menundukkan kepalanya. Aku mengagak yang dia amat menyesali dengan perbuatannya. Tetapi nasi sudah jadi bubur.

 

“Nasib baik resin dan rak tak jatuh timpa awak. Kalau tak, dengan nyawa awak sekali melayang.”

 

Akhirnya, pengurus kananku serta pengurus kanan di bahagian keselamatan mengambil keputusan untuk memberhentikan Azman dua puluh empat jam kerana tidak mematuhi peraturan keselamatan di dalam komplex kimia. Aku cuba sedaya upaya untuk menolong Azman tetapi pengurus kananku tetap dengan keputusan untuk memberhentikan Azman dengan serta merta. Aku berasa kasihan dengan Azman kerana dia mempunyai keluarga dan anak kecil yang masih di dalam tanggungannya. Tetapi apakan daya, Azman harus menerima keputusan dari pihak pengurusan. Hilang pekerjaan boleh dicari. Jika hilang nyawa, bagaiman mahu dicari ganti.

Kini bukan sahaja Azman yang diberhentikan kerja bahkan kerjaku bertambah apabila aku terpaksa menyiapkan laporan lengkap tentang kejadian melibatkan Azman. Satu lagi tambahan kerja selain dari kerja-kerja yang masih menimbun dan terbengkalai di atas meja. Aku akui ini adalah asam garam menjadi pengurus logistik di komplex kimia yang agak besar.

 

Aku hanya dapat menyelesaikan laporan tentang kejadian itu bila jam sudah menginjak ke angka enam petang. Ramai pekerja di komplex gudang sudah beransur pulang. Aku tinggalkan seketika pekerjaanku yang masih belum selesai untuk mengerjakan solat asar. Aku ambil beg kecil yang berisi telekung untuk ke bilik solat yang terletak di dalam kantin.

 

Setibanya aku di kantin, tidak ramai lagi pekerja yang berada di situ. Hanya beberapa pekerja asing yang sedang duduk minum petang. Aku tolak daun pintu bilik solat. Rupanya ada orang di dalamnya. Aku ambil kerusi di luar bilik itu lalu duduk menunggu giliran. Beberapa minit kemudian, daun pintu solat ditolak.

Raimi keluar dari bilik itu dan memakai kasut keselamatan. Rambutnya masih basah. Mungkin dari kesan wudhu. Raimi masih leka memakai kasut keselamatan tanpa menyedari aku memerhatikannya. Raimi seorang yang agak rendah ketinggiannya jika dibandingkan dengan rakan-rakannya. Namun raut wajahnya yang sentiasa tenang menjadi kegilaan Kamala dan beberapa pekerja wanita yang belum berumahtangga. Raimi kemudian mendongakkan kepalanya dan menangkap aku yang leka memerhatikannya.

 

“Cik Zafirah nak pakai bilik solat? Saya dah selesai.” Suaranya menyentakkan lamunanku seketika. Mukaku tiba-tiba menjadi merah padam. Aku lihat Raimi tersenyum. Mungkin kerana gelagatku yang leka memerhatikannya.

“Ah ah. Dah habis pakai?” Aku menggaruk kepalaku. Tudung di kepala aku cuba betulkan. Sebenarnya aku ingin menutup malu kerana memerhatikan Raimi sedari tadi. Raimi hanya menganggukkan kepalanya. Aduhai kenapalah boleh tertangkap kali ini. Tanpa membuang masa aku terus menunaikan kewajipanku pada yang Maha-Esa.

 

Aku ingat Raimi sudah pulang. Rupanya masih duduk sambil melayari internet di telefon bimbitnya.

 

“Tak balik lagi?” tanyaku sekadar berbasa-basi.

 

“Belum.” jawabnya sekilas. Aku mengangguk dan terus berjalan keluar. Tetapi langkahku terhenti bila aku teringatkan sesuatu. Aku palingkan mukaku ke arahnya yang sedang memerhatikanku.

 

“ Terima kasih kerana bersusah payah belikan sarapan “ kataku. Ingin sahaja aku mengatakan kepadanya supaya berhenti membelikan sarapan untukku tetapi mulutku tiba-tiba terkunci. Segala ayat tersekat di kerongkong. Aku hanya melihat dia tersenyum.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s