Ingatkan Dia – Bab 5

Standard

Bau dari dapur sudah membuat perutku berkeroncong dan berdondang sayang. Ibu sedang sibuk di dapur untuk menyediakan juadah sarapan pagi. Abang Aidil pula sudah bersiap sedia untuk pergi ke kerja. Ayah pula masih di dalam bilik mandi. Aku terus menarik kerusi dan terus duduk bertentangan dengan Abang Aidil.

 

Jika dilihat pada pandangan mata kasar, ramai yang menyatakan abangku yang sulung, Abang Aidil agak pendiam. Mungkin dari raut wajahnya yang tenang. Tetapi bila bersama dengan keluarga, Abang Aidil yang paling banyak bersuara. Aku cedok nasi goreng ke dalam pinggan dan memberikan kepada Abang Aidil yang masih menikmati minuman air kopi.

 

“Zafirah balik pukul berapa nanti?” tanya Abang Aidil sambil menghirup kopi yang masih agak panas.

 

“Tak tahu lagi. Kalau tak ada apa-apa hal, mungkin Firah akan balik cepat.” Aku menyuap nasi goreng ke dalam mulutku.

 

“Abang ambil Zafirah macam biasa. Tunggu abang.” arah Abang Aidil. Ibu keluar dengan sepinggan cekodok pisang yang baru digoreng.

 

“Ibu dah cakap. Zafirah belilah kereta yang kecil. Lagipun harga pemilikan (COE) kereta dah turun. Kalau tak cukup duit, beritahu ibu. Ibu boleh berikan duit cengkeram” sampuk ibu. Ibu kemudian menuangkan air kopi ke dalam cawan.

 

“Nanti Zafirah fikirkan.” jawabku. Tidak mengiakan mahupun menolak saranan ibu. Abang Aidil hanya mengganguk.

 

“Lagipun Zafirah selalu balik lambat. Tempat kerja Zafirah pun jauh. Kalau Abang Aidil outstation macam mana? Siapa nak ambil Zafirah?” bebel ibu lagi.

“Kalau Abang Aidil tak ada, ayah kan boleh tolong ambil. Kalau tak pun, Zafirah pakai kereta Abang Aidil. Buat apa nak membazir.” Aku menghabiskan nasi yang masih bersisa di atas pinggan lalu mengangkat pinggan ke dapur.

 

“Cakap pasal kereta, anak ibu yang jelita ni belum lagi ada teman istimewa ke?” tanya ibu sambil tersenyum. Ayah mengambil tempat duduk Abang Aidil.

 

“Ibu tanya Zafirah atau Abang Aidil?” Aku sengaja mengajukan soalan itu kepada itu padahal aku tahu dia sedang menyoalku.

 

“Zafirah lah. Ibu bukan tanya Abang Aidil.”

 

“Abang Aidilkan bujang terlajak. Tanya dia lah. Nanti kalau Firah kahwin dulu, dah serupa langkah bendul.”

 

“Yelah tu Zafirah. Nak mengelak lah tu ibu.” ajuk Abang Aidil. Abang Aidil pernah putus tunang tiga tahun yang lalu. Sejak dari kejadian itu, Abang Aidil tidak pernah menyebut lagi tentang isu perkahwinan atau teman istimewa. Hidupnya hanya bekerja dan bekerja.

 

Bekas tunang Abang Aidil, Kak Mila sudahpun berkahwin dengan jejaka lain. Waktu itu, Kak Mila sedang menuntut di salah sebuah universiti di Australia. Manakala Abang Aidil masih bekerja di Singapura setelah tamat pengajiannya di salah sebuah universiti tempatan. Ramai wanita yang ibu telah syorkan kepada Abang Aidil tetapi jawapannya tetap sama. Mahu menumpukan sepenuhnya terhadap kariernya sebagai jurutera sivil. Mungkin Abang Aidil berasa serik untuk menjalinkan sebarang ikatan dengan mana-mana wanita. Sebagai adik bongsu, aku hanya dapat mendoakan semoga Allah SWT membukakan hati Abang Aidil kembali kerana umurnya sudah pun menginjak ke tiga puluh dua tahun.

 

“ Cepat sikit Zafirah. Takut sesak nanti.” Abang Aidil mengisyaratkanku untuk segera beredar. Aku capai tangan ibu dan ayah untuk bersalaman dengan mereka sebelum keluar dari rumah.

Tiba di komplex kimia tempat aku bekerja, aku lihat Muthu sedang berdiri di luar pondok keselamatan sudah melambaikan tangannya ke arahku. Aku membalasnya sambil tersenyum. Aku ternampak kelibat kereta Nissan Skyline milik Helmi masuk ke dalam perkarangan komplex kimia ini. Motor milik Raimi pula sudah sedia terpakir. Cuma pemiliknya tiada di situ.

 

Seperti biasa aku akan menukar ke baju seragam kerja dan memakai topi dan kasut keselamatan. Aku ikat tali keselamatan atau ‘safety harness’ di pinggangku kerana aku akan membuat pemeriksaan inventori secara rambang di gudang 2. Tali keselamatan aku periksa sebelum melangkah keluar dari bilik persalinan. Tudung di kepala aku betulkan. Kebetulan bilik persalinan berdekatan dengan kantin, aku terus menolak pintu. Bau haruman bancuhan kopi menusuk ke rongga hidungku. Aku lihat ramai pekerja-pekerja di komplex kimia ini masih bersarapan atau membaca akhbar.

Beberapa pekerja memandangku sambil tersenyum. Aku akui tidak ramai pekerja wanita yang berkerja di dalam bidang ini. Ramai kaum keluargaku berasa agak pelik bila aku menyatakan yang aku bekerja sebagai pengurus logistik di komplex kimia.Terpaksa memandu forklif atau VNA jika perlu. Ada yang pernah menyarankan supaya aku mencari kerja lain kerana bimbangkan akan keselamatanku. Tetapi aku begitu selesa bekerja di sini kerana pekerjaan ini agak mencabar. Dan aku pula sukakan cabaran.

 

“Ohayou gozaimasu Zafirah-san.” Encik Tetsuya Nakamura menyapaku di dalam bahasa Jepun

 

“Selamat pagi Nakamura-san.” balas ku sambil membongkokkan separuh badanku untuk memberikan tunduk hormat. Begitulah adat orang-orang Jepun. Mereka akan menunduk hormat.

 

“Hari ini ada ‘stock check’ di warehouse dua?” tanya Encik Tetsuya Nakamura.

 

“Ya. Saya akan buat ‘stock check’ sekejap lagi.” Jawabku kepada ketuaku. Encik Tetsuya Nakamura mengaggukkan kepalanya.

“Selepas makan tengahari saya akan ke gudang. Pagi ini saya ada mesyuarat dengan Masahiko Sato-san dari Tokyo.” beritahu Encik Tetsuya Nakamura kepadaku sebelum berlalu pergi. Aku terus mengayuh basikal untuk ke pejabatku yang terletak di tingkat dua di atas gudang.

 

Kebanyakkan pekerja sudah pun menghidupkan forklif. Aku ternampak Razak dan yang lain-lain sedang memeriksa kargo untuk dieskport. Stacy pula sedang berbual dengan Kamala di luar gudang. Aku terus menaiki tangga untuk ke pejabat.Seperti biasa, di atas mejaku ada sepaket kopi yang masih panas dan satu bungkusan makanan. Kali ini apa pula yang dibelikan oleh Raimi. Aku buka sedikit bungkusan makanan. Dua keping roti prata dan kuah dalca di dalam bungkusan itu. Memandangkan aku sudah pun bersarapan di rumah, aku terus berjalan untuk ke gudang yang terletak di tingkat satu. Secara kebetulan, Stacy dan Kamala sudah sampai di luar pintu pejabat.

 

“Kamala.. Stacy, ada sesiapa nak roti prata dan kuah dalca?” Aku angkat bungkusan itu ke arah mereka.

 

“Kau tak nak makan ke?” tanya Kamala kehairanan.

 

“Bukan tak nak makan, dia takut kena jampi-jampi.” Stacy ketawa terkekek-kekek sambil menutup mulut. Mukaku sudah berubah. Amoi yang di depanku memang nak kena.

 

“Aku dah sarapan di rumah. Nasi goreng ikan bilis.” jawabku. Stacy masih lagi ketawa sehinggakan mukanya berubah menjadi sedikit merah padam.

 

“Eh, Stacy. Apa yang jampi-jampi. Siapa yang kena jampi?” tanya Kamala lagi. Muka Kamala sudah berkerut seribu. Mungkin masih lagi tidak faham. Apalagi, kali ini aku dan Stacy sudah ketawa terbahak-bahak.

 

“Cik Zafirah kita ni takut kena jampi-jampi. Siang malam teringatkan budak Raimi. Sebab tu dia tak nak makan. Kalau kau nak mimpikan si budak Raimi, dipersilakan makan roti prata ini berkuahkan dalca. Aku pasti, hari-hari kau teringatkan dia.” jelas Stacy yang masih kedengaran dengan sisa tawanya.

 

“Budak production tu ke? Yang hensem pakai motor BMW tu? tanya Kamala teruja.

 

“Yelah Kamala. Siapa lagikan. ” jawab Stacy pula. Aku hanya mendiamkan diri. Malas mahu masuk campur.

 

“Stacy, ramai tau yang pakai motor besar. BMW, Suzuki Hayabusa dan African Twin. Tapi dalam banyak-banyak, Raimi sahaja yang hensem.”

 

“Nah, ambil roti prata ni dengan dalca.Kau makan okay.” Aku hulurkan kepada Kamala. Kamala mengambilnya sambil tersenyum.

 

“Kau turun gudang ke Zafirah?” tanya Stacy.

 

“Hari ini aku kena periksa inventori. Kena naik VNA. Nanti aku suruh Raju bawa aku naik VNA.” jelasku.

 

“Hati-hati tau Zafirah.” kata Stacy sebelum aku berlalu pergi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s