Ingatkan Dia – Bab 4

Standard

Entah kenapa aku ingin bersendirian di luar gudang. Mungkin sejak kebelakangan ini kerja di pejabat makin menimbun. Aku pula harus memantau operasi pengeluaran dan gudang setiap hari. Ditambahkan pula dengan Encik Akihito Tanaka yang saban hari akan datang untuk membuat ‘kacau’ setiap pagi. Cuma tiga minggu yang lepas, Encik Akihito Tanaka tiada di Singapura kerana pulang bercuti di negaranya Jepun. Jadi dapatlah aku menarik nafas lega tanpa berhadapan dengan lelaki Jepun yang aku ketegorikan sebagai lelaki kekwat. Teringat tiga minggu yang lepas, Encik Akihito Tanaka datang ke pejabatku untuk bertanyakan itu dan ini.

 

“Zafirah-san, kenapa kos pengangkutan ke gudang luar begitu mahal. Saya nak awak cari syarikat lain yang lebih murah.” bebel Encik Akihito Tanaka sambil mengetuk-mengetuk pen di atas meja.

 

Aku pandang mukanya dengan perasaan yang sukar dimengertikan. Kalau boleh ingin sahaja aku mengetuk kepalanya. Setahu aku, dia juga yang luluskan kos tambahan ini. Nampak sangat dah nyanyuk lelaki Jepun ini walaupun umurnya tiga tahun lebih tua dariku.

 

Pengurus kananku, Encik Tetsuya Nakamura cuba menerangkan bagi pihakku. Namun hampa. Malahan, soalan-soalan cepumas terus disogokkan kepada ku dan Encik Tetsuya Nakamura. Pening aku melayan lelaki Jepun ini. Tiga minggu tanpa dia, hidupku di gudang ini agak ‘terurus’ walaupun kerja semakin banyak kerana operasi eksport ke luar negara semakin meningkat.

 

Aku ambil angin sebentar di luar gudang yang terletak berhadapan dengan laut. Angin laut amat mendamaikan pada waktu. Tiada lagi hiruk pikuk suara pekerja-pekerja gudang dan bunyi forklif. Operasi di gudang dan pengilangan sudah berhenti sejam yang lalu. Ramai pekerja sudah bertukar pakaian dan bersedia di sekitar mesin ‘punch kad’ untuk ‘clock out’.

Aku pandang ke arah laut yang terbentang luas. Angin laut di Pulau Sakra bertiup agak kencang. Hari ini aku boleh menarik nafas lega kerana operasi gudang berjalan dengan agak lancar tanpa sebarang masalah. Aku pula sudah berjumpa dengan Helmi, pengurus pengeluaran tentang pengeluaran saat-saat akhir yang kerap berlaku. Ia berlaku tanpa memberitahu bahagian pengurusan gudang. Maklumat akhir selalu diberikan kepada pekerja bawahan tanpa memberitahu aku, Razak ataupun Encik Tetsuya Nakamura. Tiba-tiba terasa bahuku dicuit seseorang. Agak terkejut sedikit kerana tidak sangka ada seseorang di sebelahku. Aku pandang ke kiriku dan melihat Helmi pengurus pengeluaran di sebelahku.

 

“Macam mana kau tahu aku di sini Helmi?” tanyaku kehairanan memandang Helmi berdiri di sebelahku. Helmi menjongketkan bahunya.

 

“Aku pakai six- sense” Helmi ketawa perlahan.

 

Aku menggelengkan kepalaku sambil tersenyum. Mataku masih terarah ke laut yang berada di hadapanku. Zulhelmi atau lebih dikenali sebagai Helmi oleh rakan sekerja sudah empat tahun bekerja dengan syarikat kimia ini. Apa yang pernah diberitahu kepadaku, dia sebelum ini pernah bekerja dengan syarikat minyak Shell di Pulau Bukom dan  juga Sabah sebagai seorang jurutera kimia.

 

Pengalaman yang diraih Helmi di dalam sektor minyak dan kimia begitu membanggakan. Banyak yang aku pelajari dari Helmi mengenai perkara-perkara yang tidak aku ketahui. Aku pula baru tiga tahun bekerja di sektor kimia dan tiada pengalaman lain sebelum ini. Pernah aku ajukan soalan kenapa Helmi berhenti dari syarikat Shell. Aku tahu syarikat Shell yang sememangnya agak sukar menerima pekerja melainkan mempunyai kelayakkan dan pengalaman yang setimpal. Ramai yang sudah tahu syarikat Shell memberikan habuan yang agak menarik untuk pekerjanya dari segi elaun, gaji, bonus dan berbagai lagi.

 

Alasan Helmi katanya dia begitu rindukan tanahair bila jauh di perantauan. Tambahan pula dia bekerja di pelantar minyak yang terletak di luar pesisir. Walaupun bergaji lumayan, tahap bahaya bekerja di pelantar minyak begitu tinggi sekali.

 

Helmi aku gelarkan bujang ‘terang tang tang’. Umurnya yang bakal menginjak ke tiga puluh tujuh masih tidak berteman. Sudah mempunyai kerjaya yang mantap, kereta mewah dan bakal mendapat rumah tetapi masih bersendirian. Aku tidak pernah bertanyakan dia hal ini kerana menganggap perkara ini agak peribadi. Aku mendapat tahu hal ini daripada Stacy yang agak peramah bila bertanyakan bab-bab peribadi.

 

“Sebelum kau buka mulut, aku nak bagi ‘warning’  jangan tanya perihal kerja. Satu hari aku mengadap kerja-kerja yang tak pernah habis. Naik bosan” aku memberikan amaran. Helmi ketawa terbahak-bahak bila aku cemberutkan mukaku.

 

“Bonus enam bulan kau nak?” tanya Helmi sambil tersenyum memandangku

 

“Mestilah aku nak. Bonus enam bulan makan tak habis cik abang oii..”

 

“Kalau nak bonus enam bulan, kerja pun mesti setimpal dengan habuan yang diberikan oleh syarikat . Mana boleh kerja setakat sapu habuk sahaja dapat bonus enam bulan,” jawab Helmi memandang terus ke arahku. Aku terdiam bila mendengar jawapan dari Helmi. Tidak dapat aku sangkalkan akan kebenaran dari kata-kata lelaki itu.

 

“Kau nak apa sampai cari aku dekat gudang. Dari bahagian production sampai sini jauh sangat kau merantau.”

 

Komplex kimia ini agak luas. Untuk pergi satu jabatan ke satu jabatan yang lain, pekerja di sini harus menaiki basikal yang disediakan. Gudang di mana aku bekerja terletak di hujung komplek kimia ini adalah yang paling jauh sekali jika dibandingkan dengan bangunan administrasi dan kantin.

 

“Nak melepak di sini. Agak tenang bila mengadap laut. Lagipun aku nak tanya pukul berapa kau nak balik nanti.”

 

Aku lihat jam di pergelangan tangan.

 

“Pukul enam setengah nanti. Nak solat asar dulu sebelum tu.” Jawabku

 

“Balik naik apa?” tanya Helmi.

 

“Biasalah. Bas luar kan ada.” jawabku sekadar berbasa-basi.

 

“Nak aku tumpangkan tak sampai Jurong Port Road?” tanya Helmi serius. Aku gelengkan kepala.

 

“Aku bimbang keselamatan kau. Kau pula bersahaja. Kau tau kan di luar tu banyak pekerja asing.” Aku mendiamkan diri. Memang aku akui ramai pekerja asing di luar komplex kimia ini.

 

“Abang atau ayah kau ambil kau macam biasa di Jurong Port Road?”

 

“Abang aku yang akan ambil di sana. Aku dah telefon dia dan kebetulan dia baru habis kerja. Bolehlah aku tumpang.” Helmi mengangguk.

 

Ramai pekerja di syarikat ini tahu yang aku menetap jauh di kawasan timur Singapura. Rakan-rakan sekerjaku hairan mengapa aku tidak memiliki sebarang kenderaan untuk ke tempat kerja kerana tempat tinggalku agak jauh dari tempat dimana aku bekerja. Aku tidak merasakan sebarang keperluan untuk memiliki sebarang kenderaan kerana ayah serta abangku memiliki kereta yang berasingan. Jika aku harus pulang lewat, aku akan menelefon syarikat teksi untuk mengambilku.

“Aku nak tanyakan kau satu soalan tapi kau jangan marah.”

 

“Bergantung pada jenis soalan.”

 

“Kau dengan Raimi ada apa-apa ke? Maksud aku, macam ada perasaan.” Aku tergelak bila mendengar soalan dari Helmi.

 

“Kau rasa?” aku tanya kembali soalan kepada Helmi.

 

“Aku rasa dia yang syok sendiri.” Aku dan Helmi ketawa sekuat hati.

 

“Tapi aku rasa perasaan Raimi terhadap kau agak serius,” kata Helmi sebelum matanya memandang terus ke laut.

 

“Aku hanya anggap Raimi sebagai kawan sekerja sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang,” tingkahku cuba membidas apa yang dikatakan oleh Helmi.

 

“Kalau aku? Bagaimana?” tanya Helmi memandang terus ke dalam anak mataku

 

“Dengan kau? No way!”

 

“Why?” tanya Helmi lagi

 

“Kau tu dah tua tahap maxima,” jawabku sambil ketawa. Muka Helmi aku lihat sudah berubah kemerahan menahan geram dengan jawapan yang aku berikan kepadanya.

 

“Kau jangan cakap habis. Silap haribulan lelaki tua macam aku ini buat kau tersungkur dengan cinta,” kata Helmi geram

 

Helmi terus berjalan keluar dari gudang dengan tanpa berkata apa-apa seolah-olah berkecil hati denganku.

Seperti biasa, sementara aku menantikan bas datang, Helmi akan memberhentikan keretanya di bahu jalan. Setelah aku selamat menaiki bas, barulah kereta yang dipandu Helmi berlalu pergi. Hampir setiap hari, Helmi akan buat begitu. Menantikan aku selamat menaiki bas, barulah dia beransur pergi.

 

Pada aku, Helmi seorang rakan sekerja yang prihatin dan baik hati. Pernah dia suarakan kebimbangannya tentang keselamatan aku bila aku pulang lewat waktu malam. Aku pula hanya ambil sambil lewa kerana tidak selalu aku akan pulang lewat. Kalau aku lewat sekalipun, ramai pekerja-pekerja gudang akan berada di perhentian bas. Walaupun begitu, Helmi akan tetap menanti di bahu jalan seperti biasa melainkan jika dia bercuti.

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s