Ingatkan Dia – Bab 3

Standard

 

“Zafirah, saya mau bagi tau sama you yang warehouse kita tak ada tempat untuk simpan kargo production. Production manager ada cakap mau tabah lagi enam ribu tan keluar dari line production nombor dua dengan tiga” kata Steven salah seorang pemandu forklif di situ.

 

Aku terus tercengang. Kenapa bahagian pengeluaran tak beritahu yang ada tambahan enam ribu tan akan dikeluarkan. Aku fikir sejenak sambil berkira-kira berapa akan masuk ke dalam gudang. Semua sedia maklum tempat untuk menyimpan kargo amat terhad dan terpaksa di simpan di gudang luar dari kawasan pengeluaran. Aku pandang Steven dengan sebuah pandangan yang kosong. Sebelum aku jumpa pengurus pengeluaran, lebih baik aku fikirkan dimana aku harus simpan barang-barang pengeluaran yang baru.

 

Steven sudah berkerja sebagai pemandu forklif di syarikat tempat aku bekerja selama dua tahun berdiri bagai patung cendana menunggu arahan dariku. Steven seorang pekerja yang begitu rajin pada pandanganku. Dia akan sedia bekerja lebih masa jika aku perlukan tenaga pekerja untuk membereskan segala pekerjaan yang berkaitan dengan eksport dan bahagian gudang.

 

“Sekejap Steven. Saya naik atas untuk periksa kalau gudang nombor dua ada tempat isi kargo tambahan. Suruh Rosli jumpa saya.” arah aku kepada Steven.

 

“Pukul dua petang, line production dua dengan tiga akan mula. You mahu letak kargo tu dimana? tanya Steven lagi

 

“Kalau tak ada tempat, you tolong suruh yang lain letak dekat tepi rak nombor sepuluh dan sebelas. Nanti saya periksa dengan Stacy jika ada sebarang eksport.”

 

Tanpa membuang masa aku terus naik tangga dan masuk ke dalam pejabatku.

 

“Kamala, printkan barcode. Production line dua dengan tiga akan dimulakan tidak lama lagi. Lepas tu, panggil Ahmad ambil barcode. Razak, berikan saya laporan tentang rak-rak kosong di dalam gudang satu dan dua.” Aku terus memberikan arahan. Tanpa membuang masa, Kamala dan Razak terus melakukan apa yang disuruh.

 

“Pihak pengeluaran tak bagitahu kau ada tambahan?” tanya Stacy kehairanan.

 

“Itulah. Aku terkejut bila mendapat tahu dari Steven yang pihak pengeluaran nak keluarkan enam ribu tan.” jawabku sambil meletakkan helmet keselamatan di atas meja.

 

“Aku rasa kau patut bagitahu Nakamura-san tentang ni.” kata Stacy.

 

“Petang nanti, aku nak jumpa dengan Helmi tentang perkara ini.”

 

Kamala yang duduk dihadapan terus memandangku.

 

“Zafirah, nak print barcode untuk lot no. berapa?” tanya Kamala. Dahinya aku lihat berkerut seribu.

 

Aku mengisyaratkan Kamala yang aku akan menelefon bahagian pengeluaran. Jari-jemariku terus menekan butang nombor telefon bahagian pengeluaran.

 

“Hello. Boleh saya bercakap dengan Helmi?”

“Dia masih di dalam bilik mesyuarat.”

 

“Tolong fax laporan penuh untuk pengeluaran hari ini. Saya nak laporan itu sekarang” arahku tegas.

 

“ Cik Zafirah, nanti saya akan fax.”

 

“Siapa ni?” tanyaku

 

“Raimi.”

 

“Raimi, fax laporan tu sekarang juga.” arahku tegas dan terus meletakkan gagang telefon.

 

Tidak lama kemudian, laporan pengeluaran berada di mesin fax. Aku terus berikan kepada Kamala untuk mencetak label barcode sebelum diberikan kepada Ahmad. Aku lihat pintu pejabat ditolak. Rosli muncul dibalik daun pintu.

 

“Cik Zafirah nak jumpa saya?” Aku terus mengambil laporan pengeluaran dan berikan kepada Rosli. Aku berasa agak bengang bagaimana Steven tahu tentang pengeluaran tambahan. Aku sebagai pengurus dan Razak sebagai penyelia gudang tidak tahu menahu tentang hal ini.

 

“Rosli, bahagian pengeluaran ada beritahu tentang tambahan enam ribu tan?” tanyaku pada Rosli. Rosli hanya menunduk dan mendiamkan diri. Mungkin dia sudah sedia maklum tentang perangaiku jika maklumat tidak disampaikan dengan betul. Sudah pasti aku akan mengamuk.

 

“Saya pun baru diberitahu tentang perkara ini tentang Lot TX-100 akan diproses dan dikeluarkan oleh bahagian pengeluaran” Aku menoleh ke arah Stacy yang sedang sibuk bercakap di telefon. Kemudian Stacy meletakkan kembali gagang telefon sambil memandangku.

 

“Anita dari bahagian penjualan beritahu ada order daripada China untuk Lot TX-100 dan AD-800. Sebanyak tiga puluh kontainer kosong dua puluh kaki akan sampai dari Seng Hock pukul satu tengahari.”

 

Lega hatiku bila diberitahu ada eksport ke China. Nampak gayanya gudang sudah ada sedikit ruang simpanan tambahan untuk mengisi barang-barang pengeluaran bagi tiga hari mendatang. Aku pula tidak perlu bersusah payah untuk menelefon gudang luar seperti Mitsui-Soko untuk menampung tambahan barang-barang pengeluaran. Ini kerana pihak gudang luar seperti Mitsui-Soko akan mengenakan harga yang agak mahal untuk ruang simpanan bagi menempatkan barang-barang di gudangnya. Secara tidak langsung ia akan menaikkan kos pengangkutan dan ruang simpanan yang sedia ada.

 

Rosli masih tercegat di hadapanku menantikan arahanku selanjutnya.

 

“Rosli, saya nak awak beritahu Amir, Steven dan Prakesh untuk ‘standby’ ambil Lot TX-100 dan AD-800 dari bahagian pengeluaran. Bila kontainer kosong dah dipakir, saya nak Lot TX-100 dan AD-800 terus ke ‘vanning area’ dan dimasukkan terus ke dalam kontainer.” kataku memberi arahan kepada Rosli. Rosli terus mencatatkan apa yang harus dilakukan.

 

“Jangan lupa beritahu budak-budak yang operate VNA (Very Narrow Aisle Machine) untuk turunkan AD-800 dari gudang 2. Suruh Uncle Lim standby untuk periksa semua kargo ditelakkan di atas 4-way pallet.”

 

Aku ambil ‘seal’ kontainer,laporan kargo dan berikan kepada Rosli. Aku berjalan menuju ke tingkap pejabat. Kontainer-kontainer dua kaki sudah pun siap dipakir. Aku lihat jam di pergelanganku yang menunjukkan jam dua belas tengahari. Cepat betul budak-budak Seng Hock hantar, bisik hatiku.

 

Stacy sudah siap memakai helmet keselamatan menuju ke arah pintu pejabat untuk ke kantin yang disediakan untuk pekerja. Stacy sudah maklum jika aku terlalu banyak kerja, dia akan membelikan makanan untuk tengahari.

 

“Zafirah, lunch macam biasa? Nasi campur?” tanya Stacy.

 

“Kalau ada mee rebus, kau tolong ‘tapau’kan. Kalau tak ada, kirim salam saja dengan makcik kantin. “ kataku seraya memandang ke arah skrin komputer untuk menghabiskan kerja-kerja yang masih terbengkalai.

 

“Takkan kau nak makan biskut cicah dengan milo setiap hari. Lama-lama kurus kering.” Stacy menasihatiku. Tangannya sudah mencapai helmet keselamatan.

 

Aku terus menaip di papan kunci komputer tanpa membalas kembali apa yang diperkatakan oleh Stacy. Bila aku menoleh ke kiri, Stacy sudah tiada di pejabat. Kamala dan yang lain juga sudah ke kantin untuk makan tengahari. Begitulah rutinku di syarikat kimia ini. Seringkali aku abaikan makan tengahariku kerana banyak kerja yang harus aku bereskan.

 

Aku teringat semasa aku diterima masuk sebagai pekerja di syarikat kimia ini. Pada masa itu, umurku baru sahaja mencecah dua puluh tiga tahun. Aku baru sahaja menamatkan pengajian sarjana mudaku di University of Glasgow, Scotland. Aku teringat semasa aku diterima masuk ke syarikat kimia ini, pihak sumber manusia inginkan seseorang yang fasih berbahasa Jepun. Secara kebetulan, aku memang fasih berbahasa Jepun kerana mengambil mata pelajaran bahasa Jepun semasa belajar di salah sebuah kolej di Singapura.

 

Tidak lama kemudian, Stacy kembali membawa dua bungkusan makanan dan air ais limau. Aku kehairanan kerana Stacy selalunya makan di kantin. Stacy terus meletakkan bungkusan makanan sambil menarik kerusi. Aku lihat dia menuangkan paket yang mengadungi ais limau ke dalam dua cawan yang dibawanya dari pantri.

 

“Jom makan.” ajak Stacy.

 

“Kau beli apa Stacy?”

 

“Mee rebus. Aku beli tapi bukan aku yang bayar.”

 

“Habis siapa?” soalku kehairanan. Stacy tidak menjawab soalanku tetapi terus menikmati makanan yang tersedia di atas meja.

 

“Makan sahaja. Nanti kau kebulur. Badah kau pun dah macam kerengga. Lagipun kalau kau lambat makan mee rebus ni, takut mee kembang. Bukan itu sahaja, selera kau terus mati,” jawab Stacy.

 

“Amoi, kau belum bagi jawapan untuk soalan aku tu.” Stacy terus berhenti mengunyah.

 

“Raimi.”  Ringkas sahaja jawapan yang diberikan oleh Stacy. Stacy terlalu asyik menikmati makan tengaharinya.

 

Aku terdiam bila mendengar nama Raimi. Apalagi budak tu nak dari aku. Hari-hari dibelikan sarapan untukku tapi tidak pernah sekali aku menjamahnya. Selalunya ia akan menjadi rezeki kepada salah seorang pekerja gudang. Bukan sombong tetapi aku selalu sudah bersarapan di rumah sebelum ke tempat kerja.

 

“Jangan rasa takut makanan tu dijampi Cik Zafirah. Aku yang belikan. Raimi yang tolong bayarkan. Dia kirim salam.” Stacy terus mengunyah makanan yang ada di dalam mulutnya.

 

“Selain kiriman salam Raimi, dia ada cakap apa-apa tak?” tanyaku kepada Stacy.

 

“Tak ada.”

 

Aku terus menyuapkan mee rebus ke dalam mulutku tetapi di dalam fikiranku sarat dengan beribu persoalan.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s