Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 49

Standard

Sudah sebulan Adlina memulakan tugas sebagai eksekutif di salah sebuah anak syarikat Saujana Holdings. Puan Sri Nora menyuruhnya memulakan tugas sebagai eksekutif kerana tidak mahu membebankan menantunya yang sudah berbadan dua. Puan Sri Nora tidak putus-putus memberikan tunjuk ajar dalam menguruskan anak syarikat itu.  Pada mulanya Adlina agak kekok kerana sudah lama dia meninggalkan dunia koporat kerana mengendalikan perniagaannya sendiri.

“Mama cuma nak Lin berkerja sehingga akhir bulan ini. Bukan apa, mama tak nak apa-apa terjadi pada Saujana Holdings. Hanya Lin yang boleh tolong Mama” kata Puan Sri Nora yang sedang duduk di gazebo menikmati udara petang.

“Maksud mama?” tanya Adlina kehairanan.

“Lin tahukan keadaan Naz macam mana. Masih belum sembuh sepenuhnya. Nizam pula sibuk menguruskan anak syarikat yang sekarang berpangkalan di Dubai. Jadi Mama nak Lin tolong mama  pantau perjalanan syarikat dari jauh. Sebab mama rasa tak sedap hati.”

“Tak sedap hati?” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkannya ingin tahu apa yang telah berlaku sepanjang ketiadaan Nazrey.

“Sepanjang ketiadaan Nazrey, kewangan Saujana Holdings mengalami defisit yang agak teruk. Mama tanya Mokhtar tapi dia sendiri tidak tahu. Maklumlah Mokhtar sendiri ada syarikatnya sendiri untuk diuruskan. Kemudian mama tunjukkan penyata kewangan syarikat pada Nizam. Nizam sendiri terkejut dengan adanya pengaliran wang yang tidak sah.”

“Boleh Lin lihat penyata kewangan bagi suku pertama untuk Saujana Holdings?”

“Nanti mama berikan pada Lin esok di pejabat. ” jawab Puan Sri Nora. Adlina menganggukkan kepalanya.

“Dan satu lagi, mama tak mahu Lin tertekan sangat. Cuma mama ingin Lin tolong mama pantau syarikat itu. Sebab mama rasa di dalam syarikat itu ada gunting di dalam lipatan. Perkara ini sudah terlalu lama sangat.” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkan Adlina berasa terkejut.

Patutlah selama dia di Singapura, Puan Sri Nora jarang menghubunginya. Rupanya sepanjang ketiadaan suaminya di situ, terlalu banyak perkara yang berlaku. Ya Allah, ujian yang diberikan bersilih ganti.

Tidak lama kemudian , kereta Lexus RX hybrid milik Nazrey dipandu masuk ke dalam kawasan rumah Puan Sri Nora. Mata Adlina menyoroti kenderaan mewah itu sebelum dipakir di garaj bersebelahan dengan rumah agam milik ibu mertuanya. Nazrey keluar dari perut kereta dengan masih berpakaian kemas. Selepas kejadian kemalangan yang berlaku ke atas Nazrey, lelaki itu seolah-olah lupa tentang dirinya. Nazrey kembali kepada perangai lamanya. Seorang lelaki serabai yang kuat mengomel dan keras kepala. Nazrey kemudian terus berjalan ke arah Puan Sri Nora sebelum menyalami tangan ibu mertuanya. Adlina mahu menyalami Nazrey tetapi  ditahan kehendaknya kerana Nazrey masih belum mengingatinya.

“Sedapnya kuih talam jagung. Mak Temah buat ke?” tanya Nazrey sambil tangannya mengambil sekeping kuih talam jagung yang dibuat oleh Adlina.

“Bukan Mak Temah. Adlina yang buat.” sangkal Puan Sri Nora. Kunyahan Nazrey yang penuh diisi penuh dengan kuih talam jagung tiba-tiba terhenti. Mata lelaki itu terus menikam dalam anak mata Adlina. Kemudian Nazrey meneruskan kunyahan kuih talam jagung.

“Dato’ nak kopi atau teh?” tanya Adlina. Adlina tidak mahu membahasakan Nazrey sebagai ‘abang’ kerana Adlina tahu akan keadaan Nazrey dan tidak mahu merumitkan lagi. Adlina mahu mendekati Nazrey secara perlahan-lahan dan bukan cara

“Takpe. Saya nak naik ke atas dulu.” jawab Nazrey ringkas sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Puan Sri Nora hanya memandang Adlina dengan sebuah pandangan yang kosong. Kemudian tangan Puan Sri Nora menggenggam tangan kanan Adlina.

“Lin.. sabar ya sayang. Nazrey perlukan waktu untuk kembali ke asalnya.” pujuk Puan Sri Nora.

” Tapi sampai bila mama?” tanya Adlina sambil merintih. Saban hari Adlina tidak putus-putus berdoa agar ingatan Nazrey kembali seperti sediakala. Adlina mahukan Nazrey berada di sisinya saat dia bersalin nanti. Seorang suami yang akan menemani saat dia diambang maut Adlina juga mahukan Nazrey yang dia pernah kenali dahulu. Bukan Nazrey yang bahu sejuk dan menjengkelkan. Tapi apakan daya, Nazrey bukan Nazrey yang dahulu.

“Kita sama-sama berdoa ya sayang semoga ingatan Nazrey dapat pulih serta perniagaan kita dapat diselamatkan.” kata Puan Sri Nora.

Malam itu, Nazrey tidak banyak berkata ketika berada di meja makan. Adlina hanya melihat Nazrey makan dengan bersungguh-sungguh. Sengaja Adlina memasak lauk kegemaran Nazrey seperti sambal goreng pengantin, sambal tumis sotong dan ayam masak merah berserta nasi impit. Makanan ini seolah-olah mengimbau kembali pertemuan Adlina dan Nazrey semasa berada di West Yorkshire, England. Airmata Adlina mula mengalir tatkala mengingati segalanya. Adlina cuba menelah makanan yang ada di hadapannya namun segalanya bagai terasa pahit bak hempedu.

Puan Sri Nora tiada bersama ketika makan malam kerana menghadiri majlis persandingan di hotel Concorde, Shah Alam dan akan bermalam di sana. Tinggalah Adlina dan Nazrey berdua di rumah mewah yang boleh diketogorikan sebagai istana. Semua susun atur di dalam rumah nampak begitu mewah kerana diimport dari luar negara.

Nazrey mula perasan bila Adlina tidak makan makanan yang ada dihadapannya. Adlina hanya menguis sisa makanan di dalam pinggan.

“Kenapa tak makan? Kalau tak makan , nanti anak dalam kandungan tak dapat zat.” bebel Nazrey. Saat mendengar kata-kata yang terluncur dari mulut Nazrey, Adlina terus menangis. Ya.. dia menangis kerana Nazrey begitu prihatin terhadap dirinya walaupun mungkin lelaki itu langsung tidak akan mengenali dirinya serta anak yang bakal lahir.

“Tekak saya sakit, Dato’. Sebab tu saya tak banyak makan.” dalih Adlina kepada Nazrey. Nazrey kemudian mencuci tangannya yang sudah agak kotor. Kemudian Nazrey kembali duduk di bertentangan Adlina sambil menikmati ‘creme brulee’ yang disediakan oleh Adlina sebagai pencuci mulut.

“You tahu tak.. setiap kali I makan masakan you, ia bagai mengimbas ingatan I kembali kepada anak saudara I Nadia yang berada di UK sekarang ini. Rasanya begitu sama sekali dengan masakan you. Untung suami you tetapi sayang dia tidak menghargai you.”  Kata-kata Nazrey bagai ditusuk sembilu. Masakan yang dikatakan hasil air tangan Nadia sebenarnya adalah hasil air tangannya. Suaminya langsung tidak ingat sama sekali tentang dirinya.

“I selalu tanya mama I.. siapa you sebenarnya. Kenapa tiba-tiba wanita yang sarat mengandung berada di dalam rumah I. Dan yang peliknya kenapa tiba-tiba mama nak ambil you sebagai eksekutif di salah satu anak syarikat Saujana Holdings. But mama just kept quiet.”

“Dan I nak tahu siapa you sebenarnya..”

Adlina kemudian mengeluarkan sekeping gambar persandingannya bersama dengan Nazrey dari begnya yang terletak di tepi meja makan. Kemudian Adlina menghulurkan gambar itu ke arah Nazrey. Salinan surat nikah dikeluarkan dari beg tersebut.

“Gambar persandingan saya dan suami beberapa bulan yang lalu.” Suara Adlina kedengaran begitu sayu.

“Nama suami saya ialah Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar Tan Sri Hishamuddin. Ini dia sijil nikah”  Mata Nazrey membulat seakan tidak percaya dengan kata-kata Adlina. Mana mungkin dirinya sudah berkahwin.

“Tak mungkin.. Tak mungkin!!” balas Nazrey sambil menggelengkan kepalanya. Nazrey sudah kelihatan berdiri dari tempat duduknya

“Duduk dulu abang. Mungkin abang tak ingat Lin. Tapi Lin masih mengingati suami Lin yang sudah berbulan-bulan tiada di sisi Lin.  Dan di saat Lin menginginkan dakapan abang.” Kata Adlina sambil menangis terisak-isak. Adlina tidak sanggup menyimpan segalanya. Sampai bila dia harus menyembunyikan perkara yang sebenar. Lagipun tidak salah bagi diri Adlina kerana Nazrey masih suaminya yang sah.

“Apa muslihat you sebenarnya Adlina?” tanya Nazrey dengan nada suara yang agak tegas.

“Lin tiada muslihat. Tapi itulah kebenarannya.” jawab Adlina.

“Nope. I tak percaya I dah berkahwin dengan you. Tak mungkin berlaku. Setahu I, Dania tunang I. Masa kan I boleh berkahwin dengan you.”

“Tapi itu kenyataannya. Abang suami Lin. Sah dari segi hukum syarak.”

“Dah lah perempuan. Jangan nak mengada-ngada. Dah mengandung anak siapa.. nak mengaku aku ni suami.” Kata-kata yang keluar dari mulut Nazrey semakin tajam. Hati  Adlina disiat-siat. Mungkin ini ada salah satu sebabnya ibu mertuanya tidak mahu beritahu hal yang sebenar. Puan Sri Nora hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu dirinya tertekan apatah lagi sekarang ini sudah berbadan dua.

Saat ini, Adlina mahu sahaja terbang ke Singapura dan memeluk erat kedua orang tuanya. Tiba-tiba Adlina terasa badannya terjelepuk ke lantai. Padangannya mula berbalam dan kabur. Ketika itulah Nazrey berlalu pergi meninggalkan dirinya keseorangan menanggung kesakitan di tepi meja makan yang mewah.

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s