Monthly Archives: January 2016

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 50

Standard

Adlina tidak tahu apa yang terjadi selepas dia memberitahu Nazrey perkara yang sebenar. Pagi itu, apabila Adlina membuka matanya dia sudah berada di atas katil di dalam bilik tidurnya. Kepala Adlina masih terasa berat. Adlina mengerling ke arah jam yang berada di atas meja di sisi katilnya. Jam menunjukkan sudah menginjak ke pukul enam pagi. Perlahan-lahan Adlina bangun dari katilnya dan membersihkan diri sebelum menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim.

Apabila Adlina keluar dari biliknya, rumah mewah itu sudah diterangi dengan lampu. Kelibat Mak Temah  sedang sibuk di dapur menyediakan makanan. Adlina pula sudah siap berpakaian untuk ke pejabat.

“Lin dah bangun? Lin okay tak? ” tanya Mak Temah dengan nada yang begitu prihatin. Diusap perlahan-lahan lengan Adlina.

“Alhamdullilah. Lin okay Mak Temah.” jawab Adlina. Tangannya sibuk mengambil serbuk kopi sebelum ditelakkan ke dalam teko.

“Semalam Lin pengsan. Dato’ yang mengangkat Lin masuk ke dalam bilik,” kata Mak Temah secara tiba-tiba. Kata-kata itu bagai sudah menjawab segala persoalan yang berligar di kepala Adlina sedari tadi.

” Mak Temah ke dapur malam itu untuk mengeluarkan bahan-bahan untuk memasak bila ternampak Adlina terbaring di tepi meja makan. Muka Dato’ pucat lesi. Terus dipanggil doktor peribadi.” jelas Mak Temah panjang lebar. Tangannya masih sibuk menggoreng nasi di dalam kuali.

“Dato’ di mana sekarang ini?” tanya Adlina.

“Dato’ baru sahaja keluar.  Malam semalam dia yang menjaga Adlina. Sebelum Mak Temah terlupa, Dato’ ada tinggalkan kunci kereta.” Mak Temah terus menyerahkan kunci kereta kepada Adlina. Bila Adlina melihat kunci kereta yang ada tangannya, menggeletar seluruh badannya. Suaminya menyuruhnya memandu kereta  Lexus RX hybrid ke tempat kerja. Tak ada kereta kecil ke, bisik hati Adlina.

“Mak Temah ada nombor telefon Dato’? tanya Adlina.

“Adlina tak ada ke nombor telefon Dato?” Soalan dibalas dengan soalan juga oleh Mak Temah.

“Eeerrr.. Saya dah simpan nombor Dato’. Tapi semasa saya menukar telefon bimbit, semua nombor yang disimpan hilang. ” kata Adlina beralasan. Tanpa mengesyaki apa-apa, Mak Temah terus memberitahu nombor bimbit Nazrey.  Bila Adlina cuba memasukkan nombor telefon bimbit Nazrey, rupanya Nazrey tidak pernah menukar nombor telefon selama ini. Entah kenapa saat itu Adlina merasa lega. Selepas Adlina makan sarapan, Adlina terus bergegas keluar sebelum memandu ke bangunan di mana terletaknya Saujana Holdings.

Adlina terus melangkah masuk ke dalam lif sambil menekan butang lif ke tingkat dua puluh. Keluar sahaja dari lif, Adlina ternampak Azean sedang menunduk membaca sesuatu. Di dalam fikiran Adlina hanya satu sahaja. Dia mahu memulangkan kunci kereta kepada suaminya kerana Adlina lebih senang memandu kereta yang lebih kecil seperti kereta Chevrolet yang pernah dipandunya semasa bertugas dengan Saujana Holdings. Adlina pula sudah bertekad mahu tinggal bersama dengan sepupunya yang sudah berpindah ke Cheras buat sementara waktu kerana kurang selesa bila berada di dalam rumah mewah itu.

Mungkin Adlina akan mencari rumah sewa yang berdekatan dengan pejabatnya. Untuk tinggal di rumah mewah itu.. rasanya dia seolah-olah tidak layak untuk tinggal di situ apatah lagi dengan layanan bahu sejuk oleh Nazrey. Cuma Adlina takut Puan Sri Nora tidak bersetuju dengan cadangannya yang mahu berpindah dalam keadaan sarat mengandung. Adlina pula tidak tahu apa yang terjadi kepada penthouse milik Nazrey; hadiah perkahwinannya kerana Adlina langsung tidak menjejakkan kakinya sehingga kini semenjak Nazrey pergi keluar negara.

“Assalamualaikum Azean.”  Adlina menyapa Azean.

“Ya Allah!!! Datin Adlina. Apa khabar?” pekik Azean seumpama melihat makhluk halus dihadapannya. Azean terus bangun dari tempat duduknya dan terus memeluk Adlina.

“Alhamdullilah sihat. Azean apa khabar?” tanya Adlina sambil tersenyum.

“Alhamdullilah. Khabar baik dan tak..” Azean memuncungkan mulutnya. Adlina ketawa berdekah-dekah

“Kenapa?”

“Biasalah bos. Sejak peristiwa kemalangan yang berlaku ke atas dirinya.. Bos dah jadi harimau bintang dengan kumbang ketuk.” bisik Azean. Adlina memandang Azean kehairanan.

“Bos ni asyik nak marah-marah. Semuanya tak kena. Dulu tak macam begini. ” Azean meluahkan isi hatinya.

“Bos ada di dalam tak?” tanya Adlina.

“Ada di dalam pejabat dengan Cik Dania.” bisik Azean.

“Cik Dania?”  Kepala Adlina sudah mula befikir. Takkan Dania bekas tunang Nazrey ada di dalam bilik pejabat. Atas urusan apa? Bisik hati kecil Adlina.

“Boleh saya jumpa dengan bos sekejap sahaja?”

“Saya cuba ya Cik Adlina. Saya pun takut sebenarnya. Takut kena hamput dengan Dato.”

Azean terus menekan butang interkom untuk memberitahu Nazrey akan kedatangan Adlina di pejabat. Suara Nazrey mula bergema di corong interkom.

“Suruh Adlina masuk.” kata Nazrey.

Adlina terus ke bilik Nazrey yang betul betul terletak berhadapan dengan meja Azean. Dahulunya bilik itu dihuni oleh Allahyarham Tan Sri Hishamuddin. Dan kini bilik pejabat yang begitu luas itu dihuni oleh Nazrey. Adlina mengetuk pintu bilik Nazrey sambil menghela nafas panjang

“Masuk!!” laung Nazrey dari dalam biliknya. Adlina memusingkan tombol pintu sebelum masuk ke dalam bilik yang begitu luas. Ketika melangkah masuk, Adlina melihat Dania sedang duduk berhadapan dengan Nazrey.

Entah kenapa Adlina berasa hiba dan cemburu.Tiba-tiba terlayar gambar-gambar  mesra Nazrey dan Dania yang diterimanya di Watsapps. Api cemburu mula menguasai Adlina namun disabarkannya. Buat apa mahu melenting pada saat ini kerana Nazrey langsung tidak mengingati dirinya. Adlina harus kuat menempuh ujian ini. Lagipun Adlina mahu menolong ibu mertuanya memantau perjalan syarikat Saujana sebelum bersalin. Adlina sudah berjanji dengan Puan Sri Nora untuk mencungkil apa yang telah di syarikat Saujana sepanjang ketiadaan Nazrey beberapa bulan yang lepas.

“Nazrey, I’ve to go right now. Jangan lupa lunch kita nanti.” kata Dania sebelum mengangkat pungunggung dan terus berlalu keluar dari bilik.

“Boleh saya duduk?” tanya Adlina. Anak mata Nazrey terus memanah masuk ke dalam anak mata Adlina. Ketika itu Adlina berasa kurang selesa walaupun berhadapan dengan suaminya sendiri. Mungkin hatinya masih membengkak bila teringatkan gambar-gambar mesra Nazrey dan Dania. Bukan itu sahaja api cemburu sudah menguasai hatinya ketika ini kerana Dania berada di dalam bilik Nazrey. Bersangka baik sahaja lah Adlina, bisik hatinya lagi.

“Dato’, saya nak berikan kunci ini kembali.” Adlina terus menyerahkan kunci kereta Lexus RX Hybrid kepada Nazrey. Sengaja diri membahasakan lelaki itu dengan panggilan Dato’. Lelaki itu langsung tidak

“Kenapa? Tak cukup besar?” kata-kata itu terus terluncur terus dari mulut Nazrey. Kenapa suaminya berubah dengan begitu mendadak. Ya Allah! Tak kuat rasanya Adlina menghadapinya. Gambar-gambar yang diterima, suaminya hilang ingatan dan kini layanan suaminya kian membeku terhadap dirinya seolah-olah mencengkam nafasnya. Dirinya yang sudah sarat perlukan suaminya di sisi. Namun bagaimana suaminya ingin melayannya dan berada di sisinya sedangkan tidak ada satu perkara yang lelaki itu ingat tentang dirinya Adlina sedaya upaya menahan diri dari mengalirkan airmata. Dia mesti kuat menghadapinya.

“Terlebih besar Dato’ ” jawab Adlina pantas.

“Jadi kenapa kau menolak?” tanya Nazrey. Kata ganti namanya itu bagaikan terlalu kasar kedengaran di cuping telinganya.

“Saya akan beli kereta kecil. Cukup untuk saya berulang alik ke pejabat.”

“Ini bukan kehendak aku. Kehendak mama. Dia yang telefon semalam dan memberitahu aku supaya berikan kereta Lexus itu untuk dipakai oleh kau. Kau ingat aku nak sangat berikan kereta itu kepada orang yang aku tak kenali. Disebabkan mama aku turuti. Aku pun tak tahu muslihat kau sampai Mama pinta aku berikan Lexus itu kepada kau.” Suara garau lelaki itu memecahkan kesunyian bilik pejabatnya

“Kalau bukan kehendak Dato’ … Saya akan berikan semula kunci kereta ini. Lagipun saya akan berada di KL tidak lama.Cuma tiga bulan sebelum bersalin. Selepas itu saya akan pulang ke Singapura,” jawab Adlina mendatar.

“Kenapa sampai nak beli? Kalau dah mama aku suruh kau pakai.. pakai sahaja lah.”

“Soal Puan Sri, jangan Dato’ gusar. Saya akan beritahunya nanti bila pulang.”

“Suka hati kau lah.”

Adlina meminta diri dan terus keluar dari pejabat. Sejak akhir-akhir ini, Adlina sering kepenatan. Mungkin semakin kandungan ini besar, semakin dia berasa berasa cepat lelah. Adlina tidak terus masuk ke pejabatnya yang berada di tingkat lima Menara Saujana. Sudah dimaklumkan kepada Saerah salah seorang pembantunya di pejabat yang dia tidak akan kembali ke pejabat sehingga selepas waktu makan tengahari. Lagipun Adlina sudah berjanji dengan sepupunya Indah untuk makan tengahari bersama di salah sebuah restoran berdekatan dengan Menara Saujana.

Sambil berfikir tentang apa yang harus dibuatnya di pejabat nanti, Adlina menuruni tangga pintu keluar dan masuk Menara Saujana Holdings. Entah kenapa, Adlina berasa tubuhnya seakan-akan hilang imbangan dan terus tergelincir dari tangga tersebut. Tiba-tiba Adlina berasa perutnya begitu bisa sekali. Cecair darah membasahi baju dan seluarnya. Saat itu, Adlina terdengar seseorang memekik namanya dengan kuat sekali.

 

 

 

 

 

Advertisements

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 49

Standard

Sudah sebulan Adlina memulakan tugas sebagai eksekutif di salah sebuah anak syarikat Saujana Holdings. Puan Sri Nora menyuruhnya memulakan tugas sebagai eksekutif kerana tidak mahu membebankan menantunya yang sudah berbadan dua. Puan Sri Nora tidak putus-putus memberikan tunjuk ajar dalam menguruskan anak syarikat itu.  Pada mulanya Adlina agak kekok kerana sudah lama dia meninggalkan dunia koporat kerana mengendalikan perniagaannya sendiri.

“Mama cuma nak Lin berkerja sehingga akhir bulan ini. Bukan apa, mama tak nak apa-apa terjadi pada Saujana Holdings. Hanya Lin yang boleh tolong Mama” kata Puan Sri Nora yang sedang duduk di gazebo menikmati udara petang.

“Maksud mama?” tanya Adlina kehairanan.

“Lin tahukan keadaan Naz macam mana. Masih belum sembuh sepenuhnya. Nizam pula sibuk menguruskan anak syarikat yang sekarang berpangkalan di Dubai. Jadi Mama nak Lin tolong mama  pantau perjalanan syarikat dari jauh. Sebab mama rasa tak sedap hati.”

“Tak sedap hati?” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkannya ingin tahu apa yang telah berlaku sepanjang ketiadaan Nazrey.

“Sepanjang ketiadaan Nazrey, kewangan Saujana Holdings mengalami defisit yang agak teruk. Mama tanya Mokhtar tapi dia sendiri tidak tahu. Maklumlah Mokhtar sendiri ada syarikatnya sendiri untuk diuruskan. Kemudian mama tunjukkan penyata kewangan syarikat pada Nizam. Nizam sendiri terkejut dengan adanya pengaliran wang yang tidak sah.”

“Boleh Lin lihat penyata kewangan bagi suku pertama untuk Saujana Holdings?”

“Nanti mama berikan pada Lin esok di pejabat. ” jawab Puan Sri Nora. Adlina menganggukkan kepalanya.

“Dan satu lagi, mama tak mahu Lin tertekan sangat. Cuma mama ingin Lin tolong mama pantau syarikat itu. Sebab mama rasa di dalam syarikat itu ada gunting di dalam lipatan. Perkara ini sudah terlalu lama sangat.” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkan Adlina berasa terkejut.

Patutlah selama dia di Singapura, Puan Sri Nora jarang menghubunginya. Rupanya sepanjang ketiadaan suaminya di situ, terlalu banyak perkara yang berlaku. Ya Allah, ujian yang diberikan bersilih ganti.

Tidak lama kemudian , kereta Lexus RX hybrid milik Nazrey dipandu masuk ke dalam kawasan rumah Puan Sri Nora. Mata Adlina menyoroti kenderaan mewah itu sebelum dipakir di garaj bersebelahan dengan rumah agam milik ibu mertuanya. Nazrey keluar dari perut kereta dengan masih berpakaian kemas. Selepas kejadian kemalangan yang berlaku ke atas Nazrey, lelaki itu seolah-olah lupa tentang dirinya. Nazrey kembali kepada perangai lamanya. Seorang lelaki serabai yang kuat mengomel dan keras kepala. Nazrey kemudian terus berjalan ke arah Puan Sri Nora sebelum menyalami tangan ibu mertuanya. Adlina mahu menyalami Nazrey tetapi  ditahan kehendaknya kerana Nazrey masih belum mengingatinya.

“Sedapnya kuih talam jagung. Mak Temah buat ke?” tanya Nazrey sambil tangannya mengambil sekeping kuih talam jagung yang dibuat oleh Adlina.

“Bukan Mak Temah. Adlina yang buat.” sangkal Puan Sri Nora. Kunyahan Nazrey yang penuh diisi penuh dengan kuih talam jagung tiba-tiba terhenti. Mata lelaki itu terus menikam dalam anak mata Adlina. Kemudian Nazrey meneruskan kunyahan kuih talam jagung.

“Dato’ nak kopi atau teh?” tanya Adlina. Adlina tidak mahu membahasakan Nazrey sebagai ‘abang’ kerana Adlina tahu akan keadaan Nazrey dan tidak mahu merumitkan lagi. Adlina mahu mendekati Nazrey secara perlahan-lahan dan bukan cara

“Takpe. Saya nak naik ke atas dulu.” jawab Nazrey ringkas sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Puan Sri Nora hanya memandang Adlina dengan sebuah pandangan yang kosong. Kemudian tangan Puan Sri Nora menggenggam tangan kanan Adlina.

“Lin.. sabar ya sayang. Nazrey perlukan waktu untuk kembali ke asalnya.” pujuk Puan Sri Nora.

” Tapi sampai bila mama?” tanya Adlina sambil merintih. Saban hari Adlina tidak putus-putus berdoa agar ingatan Nazrey kembali seperti sediakala. Adlina mahukan Nazrey berada di sisinya saat dia bersalin nanti. Seorang suami yang akan menemani saat dia diambang maut Adlina juga mahukan Nazrey yang dia pernah kenali dahulu. Bukan Nazrey yang bahu sejuk dan menjengkelkan. Tapi apakan daya, Nazrey bukan Nazrey yang dahulu.

“Kita sama-sama berdoa ya sayang semoga ingatan Nazrey dapat pulih serta perniagaan kita dapat diselamatkan.” kata Puan Sri Nora.

Malam itu, Nazrey tidak banyak berkata ketika berada di meja makan. Adlina hanya melihat Nazrey makan dengan bersungguh-sungguh. Sengaja Adlina memasak lauk kegemaran Nazrey seperti sambal goreng pengantin, sambal tumis sotong dan ayam masak merah berserta nasi impit. Makanan ini seolah-olah mengimbau kembali pertemuan Adlina dan Nazrey semasa berada di West Yorkshire, England. Airmata Adlina mula mengalir tatkala mengingati segalanya. Adlina cuba menelah makanan yang ada di hadapannya namun segalanya bagai terasa pahit bak hempedu.

Puan Sri Nora tiada bersama ketika makan malam kerana menghadiri majlis persandingan di hotel Concorde, Shah Alam dan akan bermalam di sana. Tinggalah Adlina dan Nazrey berdua di rumah mewah yang boleh diketogorikan sebagai istana. Semua susun atur di dalam rumah nampak begitu mewah kerana diimport dari luar negara.

Nazrey mula perasan bila Adlina tidak makan makanan yang ada dihadapannya. Adlina hanya menguis sisa makanan di dalam pinggan.

“Kenapa tak makan? Kalau tak makan , nanti anak dalam kandungan tak dapat zat.” bebel Nazrey. Saat mendengar kata-kata yang terluncur dari mulut Nazrey, Adlina terus menangis. Ya.. dia menangis kerana Nazrey begitu prihatin terhadap dirinya walaupun mungkin lelaki itu langsung tidak akan mengenali dirinya serta anak yang bakal lahir.

“Tekak saya sakit, Dato’. Sebab tu saya tak banyak makan.” dalih Adlina kepada Nazrey. Nazrey kemudian mencuci tangannya yang sudah agak kotor. Kemudian Nazrey kembali duduk di bertentangan Adlina sambil menikmati ‘creme brulee’ yang disediakan oleh Adlina sebagai pencuci mulut.

“You tahu tak.. setiap kali I makan masakan you, ia bagai mengimbas ingatan I kembali kepada anak saudara I Nadia yang berada di UK sekarang ini. Rasanya begitu sama sekali dengan masakan you. Untung suami you tetapi sayang dia tidak menghargai you.”  Kata-kata Nazrey bagai ditusuk sembilu. Masakan yang dikatakan hasil air tangan Nadia sebenarnya adalah hasil air tangannya. Suaminya langsung tidak ingat sama sekali tentang dirinya.

“I selalu tanya mama I.. siapa you sebenarnya. Kenapa tiba-tiba wanita yang sarat mengandung berada di dalam rumah I. Dan yang peliknya kenapa tiba-tiba mama nak ambil you sebagai eksekutif di salah satu anak syarikat Saujana Holdings. But mama just kept quiet.”

“Dan I nak tahu siapa you sebenarnya..”

Adlina kemudian mengeluarkan sekeping gambar persandingannya bersama dengan Nazrey dari begnya yang terletak di tepi meja makan. Kemudian Adlina menghulurkan gambar itu ke arah Nazrey. Salinan surat nikah dikeluarkan dari beg tersebut.

“Gambar persandingan saya dan suami beberapa bulan yang lalu.” Suara Adlina kedengaran begitu sayu.

“Nama suami saya ialah Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar Tan Sri Hishamuddin. Ini dia sijil nikah”  Mata Nazrey membulat seakan tidak percaya dengan kata-kata Adlina. Mana mungkin dirinya sudah berkahwin.

“Tak mungkin.. Tak mungkin!!” balas Nazrey sambil menggelengkan kepalanya. Nazrey sudah kelihatan berdiri dari tempat duduknya

“Duduk dulu abang. Mungkin abang tak ingat Lin. Tapi Lin masih mengingati suami Lin yang sudah berbulan-bulan tiada di sisi Lin.  Dan di saat Lin menginginkan dakapan abang.” Kata Adlina sambil menangis terisak-isak. Adlina tidak sanggup menyimpan segalanya. Sampai bila dia harus menyembunyikan perkara yang sebenar. Lagipun tidak salah bagi diri Adlina kerana Nazrey masih suaminya yang sah.

“Apa muslihat you sebenarnya Adlina?” tanya Nazrey dengan nada suara yang agak tegas.

“Lin tiada muslihat. Tapi itulah kebenarannya.” jawab Adlina.

“Nope. I tak percaya I dah berkahwin dengan you. Tak mungkin berlaku. Setahu I, Dania tunang I. Masa kan I boleh berkahwin dengan you.”

“Tapi itu kenyataannya. Abang suami Lin. Sah dari segi hukum syarak.”

“Dah lah perempuan. Jangan nak mengada-ngada. Dah mengandung anak siapa.. nak mengaku aku ni suami.” Kata-kata yang keluar dari mulut Nazrey semakin tajam. Hati  Adlina disiat-siat. Mungkin ini ada salah satu sebabnya ibu mertuanya tidak mahu beritahu hal yang sebenar. Puan Sri Nora hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu dirinya tertekan apatah lagi sekarang ini sudah berbadan dua.

Saat ini, Adlina mahu sahaja terbang ke Singapura dan memeluk erat kedua orang tuanya. Tiba-tiba Adlina terasa badannya terjelepuk ke lantai. Padangannya mula berbalam dan kabur. Ketika itulah Nazrey berlalu pergi meninggalkan dirinya keseorangan menanggung kesakitan di tepi meja makan yang mewah.