Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 48

Standard

“Nak masak apa Mak Temah?” tanya Adlina sambil memerhati Makcik Temah ligat membersihkan beras.

“Masak nasi lemak sahaja. Ingatkan nak buat cucur udang sekali.”

“Biar saya buat saja. Mak Temah tolong sahaja.” Dengan pantas, Adlina sudah habis membersihkan ikan selar kuning. Nasi sudah pun ditanak dan ikan dan ikan bilis sudah pun siap digoreng. Mak Temah cuma menolong apa yang patut. Selebihnya, Adlina yang menyediakannya. Dalam diam Mak Temah memuji Adlina yang bukan sahaja cantik paras rupa dan tingkah lakunya malah pandai membuat kerja dapur.

“Keadaan Dato’ bagaimana? ” Adlina cuba mencungkil sedikit informasi mengenai suaminya dari Mak Temah.

“Dato’ dah beransur pulih. Bila mula-mula balik ke sini, keadaan Dato’ agak teruk. Alhamdullilah, semuanya kesan dari sesi terapi setiap hari. Puan Sri tak beritahu mengenai Dato’ pada Datin?”

“Ada juga Mak Temah.” jawab Adlina cuba berselindung dari perkara yang sebenar. Kalau boleh, Adlina tidak mahu hal berkenaan rumahtangganya diketahui oleh orang luar. Adlina kemudian menyiapkan kuih ketayap setelah melihat ada lebihan tepung.

Di dalam masa sejam, semuanya sudah dapat disediakan oleh Adlina. Adlina dan Mak Temah sama-sama menyusun semua hidangan yang ada di atas meja. Haruman bau dari masakan Adlina membuat Puan Sri Nora datang menjenguk ruangan dapur. Adlina dan Makcik Temah masih sibuk menyusun  cawan dan teko di atas dulang.

“Masak apa Mak Temah?” tanya Puan Sri Nora.

“Bukan saya yang masak Puan Sri. Datin Adlina yang masak semuanya.”  jawab Mak Temah.

“Lin, kenapa masak semua ni sayang. Mak Temah kan ada. Lin patut berehat. Lagipun Lin sekarang ni sudah berbadan dua.” omel Puan Sri Nora. Mak Temah kemudian memandang ke arah Adlina dengan seribu persoalan.

“Mak Temah, saya dah berbadan dua. Cuma tak nampak sangat sebab saya terlalu kurus.”

“Dah berapa bulan Datin?” tanya Mak Temah.

“Dah nak masuk lima bulan. Sembilan belas minggu Mak Temah. Minggu depan baru genap lima bulan.” terang Adlina lagi. Puan Sri Nora sudah mengambil tempat untuk bersarapan. Hatinya begitu gembira melihat makanan yang disediakan oleh menantunya. Hati tuanya begitu kagum melihat kepandaian Adlina memasak. Mak Temah kemudian mengambil teko dan menuangkan air kopi ke dalam cawan-cawan yang telah disediakan.

Tidak lama kemudian, terdengar derap langkah yang menuruni tangga rumah mewah milik Allahyarham Tan Sri Hishammudin. Degupan jantung Adlina mula bertukar rentak. Telapak tangannya berasa sejuk. Puan Sri Nora memandang Adlina yang berdiri dengan gaya yang serba tidak kena. Tetapi Puan Sri Nora tahu, Adlina mungkin berasa kurang selesa setelah berbulan lamanya tidak berjumpa dengan Nazrey.

“Assalamualaikum Mama..” Nazrey memberi salam. Puan Sri Nora dan Adlina memandang terus ke arah Nazrey. Tiba-tiba Adlina ingin melenyapkan dirinya pada saat itu. Tiada yang banyak berubah. Dato’ Nazrey Shah Iskandar masih segak dengan kemaja lengan panjang berwarna putih dan berseluar slack. Ya.. tiada yang berubah tentang lelaki itu melainkan pergerakan kaki Nazrey  agak perlahan. Mungkin kesan dari kemalangan yang berlaku beberapa bulan yang lepas.

“Waalaikumsalam anak mama. Dah siap nak pergi kerja? ” Puan Sri Nora terus memeluk dan mencium dahi Nazrey. Adlina mahu melangkah keluar tetapi Puan Sri Nora menahannya.

“Nizam cuti dua minggu. Naz terpaksa masuk pejabat untuk habiskan kerja yang tertangguh.” jawab Nazrey. Mata lelaki itu seolah-olah melekat bila memandang Adlina yang sudah mengambil tempat duduk bertentangan dengan Nazrey.

“Siapa ni mama? Mama baru ambil pembantu rumah baru? Takkan Mak Temah nak berhenti.” Pertanyaan Nazrey menghiris perasaan Adlina pada saat ini. Suaminya langsung tidak mengenali dirinya. Kopi yang diminum tiba-tiba menjadi pahit. Dari bawah meja, Puan Sri Nora mencapai tangan kanannya dan menggenggam erat seolah-olah mahu memberikan sedikit kekuatan. Tapi apa yang Adlina lihat, airmata di tubir mata Puan Sri Nora mula mengalir sedikit demi sedikit.

Nazrey kemudian terus mencedok nasi ke dalam pinggannya. Sambal tumis sotong yang dihidangkan begitu menyelerakannya.

“Sedap Mak Temah masak. Naz paling suka sambal tumis sotong.” puji Nazrey. Sudah tiga kali Nazrey menambah nasi lemak. Kuih ketayap dan cucur udang dicapainya. Adlina dan Puan Sri Nora memandang Nazrey yang makan dengan begitu berselera sekali.

“Mama tahu tak.. dulu masa Nazrey di UK  Nadia selalu sajikan Naz dengan sambal tumis bila Naz datang singgah di rumah sewanya. Rasanya begitu sedap sekali” Nazrey mula bercerita.

Hati Adlina bagai dirobek berkeping-kepingan saat itu. Sambal yang selalu dihidangkan oleh Nadia ialah hasil masakannya. Suaminya langsung tidak mengingati dirinya. Ya Allah.. besar sungguh dugaan ini. Hati Adlina mula merintih. Ditahan air matanya dari keluar. Adlina tidak mahu mengikutkan rasa hatinya. Lagipun Nazrey belum benar-benar sembuh dari amnesia yang dialaminya.

“Kenapa mama menangis?” tanya Nazrey seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Mama gembira Naz sudah mulai sembuh dan dapat bertugas di Saujana Holdings. Sebab tu mama menangis.” selindung Puan Sri Nora.

“Dah lah mama. Jangan menangis. Naz dah sihat ni. Pembantu rumah kita yang baru ni pun dah tengok mama semacam.”

“Bukan pembantu rumah baru. Nurina Adlina ni ‘pembantu peribadi’ mama. Adlina akan bantu mama uruskan perniagaan mama.” Adlina amat terkejut dengan kata-kata yang baru disampaikan oleh Puan Sri Nora.  Puan Sri Nora mengenyitkan sedikit matanya memohon Adlina menurut sahaja.  Adlina masih ingat lagi pesan ibu mertuanya supaya memberikan sedikit ruang untuk Nazrey. Mungkin dengan adanya Adlina di sisi Nazrey, ingatan lelaki itu akan beransur pulih.

“Mama kan dah Maya dan staf yang lain di butik tu. You really need extra manpower mama?” tanya Nazrey kehairanan.

“I need her to do some administrative works and other ad-hoc duties. Mama rasa penat nak lakukan semuanya seorang diri. And for your information, she will be staying with us.” kata Puan Sri Nora lagi.

“Mama….why?” soal Nazrey sekali lagi.

“Beginilah Puan Sri dan Dato’.. saya rasa biar saya tinggal di rumah sewa. Tak perlu saya tinggal di sini.” Akhirnya Adlina membuat keputusan. Adlina tidak mahu sebarang pertelingkahan di ruang makan ini berlarutan.

“Mama nak Adlina duduk di sini. Period!”

“Kalau begitu kata mama, Naz terima keputusan yang mama buat. ” Akhirnya Nazrey bersetuju dengan Puan Sri Nora. Nazrey kemudian mengambil beg sebelum menyalami Puan Sri Nora.

“Jangan cuba nak ambil kesempatan pula.”  Nazrey memberikan amaran kepada Adlina. Nada suara lelaki itu mengingatkan kembali Adlina sewaktu pertama kali bertemu dengan Nazrey  di Cardiff. Suara lelaki serabai yang sentiasa menjengkelkan.  Adlina tersenyum sendirian. Nazrey kemudian hanya memandang Adlina tanpa sebarang senyuman.

Tidak lama kemudian kereta mewah Nazrey meninggalkan ruang  tempat meletak kereta .

“Lin, jangan ambil hati dengan Naz ya. Dia belum pulih sebenarnya. Kita sama-sama bermohon dengan izin-Nya semoga ingatan Naz pulih kembali.” Puan Sri Nora cuba memujuk Adlina.

“Apa pun yang  akan terjadi, mama nak Lin jaga kesihatan dan kandungan. Mama tak mahu Lin ‘stress’. Mama mahu lihat Lin sembuh dan cucu mama membesar dengan sihat.” kata Puan Sri Nora lagi.

“Jadi pembantu peribadi mama?” tanya Adlina. Puan Sri Nora tersenyum. Di dalam fikirannya terlalu banyak perancangan yang dia ingin laksanakan terutama sekali memulihkan ingatan satu-satunya anak lelaki tunggalnya.

“Mama nak Lin tinggal dengan mama. Biar apa Nazrey nak cakap selepas ini, biarkan sahaja. Kita maafkan Nazrey.  ” ujar Puan Sri Nora.

“Kafe Lin di Singapura?” Puan Sri Nora terdiam sambil ligat memikirkan apa yang dia harus lakukan untuk membantu menantunya

“Mama ingatkan nak suruh Lin gunakan sesiapa yang Lin rasa boleh dipercayai sebagai proksi .”

“Tapi mama….”

“Mama nak Lin uruskan salah satu dari anak syarikat Suajana Holdings mulai esok. Bukan butik mama. ” tegas Puan Sri Nora.

Adlina tergamam  dan kelu seribu bahasa.

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s