Rindu Yang Menghempas Hati- Bab 47

Standard

Malam itu juga Adlina terus terbang pulang ke Kuala Lumpur. Najwa tidak dapat ikut serta kerana suaminya mempunyai masih mempunyai urusan kerja di Singapura. Apabila Adlina mengambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tuanya di Kuala Lumpur, Najwa terus menelefon Puan Sri Nora. Hampir bernanah telinganya apabila Puan Sri Nora memarahinya kerana memberitahu keadaan Nazrey yang sebenar kepada Adlina. Tetapi Puan Sri Nora tahu suatu hari nanti juga Adlina pasti tahu tentang nasib yang menimpa anak lelakinya.

Bunyi ketukan di pintu rumahnya kedengaran. Puan Sri Nora mengerling ke arah jam di dinding rumah agamnya yang menunjukkan sudah ke pukul satu setengah minit pagi. Mujur Pak Din tukang kebun masih belum tidur. Lelaki tua itu terus membuka pintu rumah Puan Sri Nora. Kelihatan Adlina berdiri di luar dengan beg kecil di tangannya.

Adlina!! Kenapa balik malam-malam ini sayang. Siapa hantar ke mari?” tanya Puan Sri Nora sambil mengurut perlahan-lahan belakang badan menantunya.

“Lin naik teksi sahaja.. Mama.” jawab Adlina sambil mencium tangan ibu mertuanya.

“Lain kali jangan balik macam begini. Malam-malam merbahaya. Kalau nak balik pun tunggu esok pagi. Mama boleh suruh driver ambil Lin dari lapangan terbang. Nak kena jugak budak Najwa ni….” omel Puan Sri Nora.

“Pak Bidin, bawa beg Adlina naik ke atas.” arah Puan Sri Nora.

“Mak dan ayah tahu Lin balik rumah mama?” tanya Puan Sri Nora. Matanya terus memandang ke arah Lin dengan sebuang pandangan yang redup. Menantunya begitu baik orangnya. Bila mengetahui yang Nazrey memilih Adlina sebagai menantunya, Puan Sri Nora begitu gembira sekali. Tetapi arwah suaminya tidak berminat untuk menjadikan Adlina sebahagian dari keluarganya atas dasar banyak terhutang budi dengan keluarga Sharifah Sarina sekaligus ingin mengiratkan usahasama perniagaan masing-masing.

Bagi Puan Sri Nora, sebuah perkahwinan tidak harus berlandaskan di atas dasar kepentingan perniagaan. Puan Sri Nora membantah keras apabila Allahyarham Tan Sri Hishamuddin ingin menjodohkan anaknya Dato’ Nazrey Shah Iskandar bersama dengan Sharifah Sarina. Jodoh, pertemuan dan perpisahan semuanya di tangan Tuhan. Walaupun cuba dipisahkan kedua-duanya, akhirnya bertemu jua di Tanah Suci sewaktu mengerjakan ibadah haji. Siapa sangka diantara berjuta-juta umat manusia yang berada di Tanah Suci, anaknya Nazrey berjumpa dengan Adlina. Hati tuanya kuat mengatakan bahawa mereka berdua sudah ditakdirkan untuk hidup bersama. Apatah lagi Puan Sri Nora begitu berkenan sekali dengan tingkah laku Adlina.  Menantunya itu juga pandai memasak.

“Mama..” Suara Adlina mematikan lamunan Puan Sri Nora.

“Ya sayang..” Puan Sri Nora mengesat perlahan airmatanya.

“Kenapa mama menangis?” tanya Adlina kehairanan.

“Lin duduk dulu. Mama nak ke dapur sebentar.” kata Puan Sri Nora sebelum berlalu ke arah pintu dapur. Sepanjang ketiadaan Puan Sri Nora, Adlina sempat mengamati keindahan ruang tamu yang begitu mewah dengan hiasan serta potret-potret keluarga yang tergantung di dinding.  Gambar suaminya Nazrey ketika menerima darjah kebesaran dengan membawa gelaran Dato’ Wira jelas terpampang di dinding.

Gambar perkahwinannya serta Najwa juga dibingkaikan dengan indah dan diletakkan di satu sudut. Dalam diam Adlina mengkagumi bakat Puan Sri Nora yang pandai menghias rumah. Suaminya Nazrey juga pandai menghias rumah. Kediaman suaminya dihiasi dengan indah  tatkala Adlina pertama kali melangkah masuk. Tidak lama kemudian, Puan Sri Nora masuk ke ruang tamu sambil menatang dulang yang berisi susu panas dan sepiring buah-buahan. Adlina terus bangun dan terus mencapai dulang yang berada di tangan Puan Sri Nora.

“Adlina duduk sahaja. Bukan susah sangat.” kata Puan Sri Nora. Adlina berasa amat beruntung mendapat ibu mertua yang sangat baik.

“Mama buatkan Lin susu panas. Ada sedikit buah kiwi dan epal. Lin minum dulu. Susu ini kalau dah sejuk dah sedap. Lagipun susu dan buah-buahan bagus untuk ibu mengandung.” nasihat Puan Sri Nora kepada Adlina. Adlina menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.

“Mama sihat?” tanya Adlina memandang ke arah Puan Sri Nora.

“Biasalah. Mama dah tua. Tapi alhamdullilah, dapat juga mengerjakan solat walaupun terpaksa duduk. Lutut mama agak sakit sejak kebelakangan ini.” adu Puan Sri Nora.

“Mama kerja kuat sangat.”

“Mungkin mama terpelecok semasa berlari-lari anak tempoh hari.”

“Mama bukannya nak beritahu Lin.” omel Adlina.

” Mama tak nak susahkan sesiapa.”

“Najwa tahu tentang Mama?” tanya Adlina. Puan Sri Nora hanya menggelengkan kepalanya. Adlina mengeluh berat.

” Mama nak Lin habiskan minuman dan makanan. Lepas tu Lin rehat. Lin ambil tempat tidur di bawah. Lagipun mama tak nak Lin panjat tangga. Takut terjadi apa-apa dekat Lin. Mama tak nak. Cukuplah apa yang terjadi pada Nazrey.” Airmata Puan Sri Nora mula mengalir bila menyebut nama Nazrey.

“Abang Nazrey mana mama?” tanya Adlina sambil memerhatikan disekelilingnya jika ada kelibat Nazrey.

“Nazrey dah tidur, sayang. Esok sahaja ya. Dah jauh malam sangat. Mama mahu Lin berehat. Esok ada masa yang panjang. Boleh kita borak lama sedikit.” pujuk Puan Sri Nora.

“Tapi mama…”

“Sayang.. we have plenty of time tomorrow. Lin di sini.. Siapa yang uruskan kafe?” soal Puan Sri Nora.

“Zahra ada. ” jawab Adlina ringkas. Mata Adlina masih meliar. Masih mengharapkan kelibat Nazrey. Hati Adlina meronta-ronta ingin bertemu dengan Nazrey. Tetapi Adlina tahu dia harus bersabar.

“Buat sementara ini, Lin tinggal sahaja dengan Mama. Mama pun keseorangan. ”

“Mama kan ada abang Nazrey..” sangkal Adlina. Puan Sri Nora mengeluh dengan perlahan dan memandang Adlina dengan sebuah pandangan yang kosong.

“Mama rasa lebih baik Lin berehat dahulu. Lin datang dari jauh. Lagipun Nazrey masih tidur. Esok-esok Lin boleh jumpa dengan Nazrey.” kata Puan Sri Nora. Tidak banyak soal, Adlina terus menghabiskan sisa minuman dan buah-buahan lalu mengangkatnya ke ruang dapur.

“Sebelum itu, mama nak pesan pada Lin. Nazrey yang Lin akan jumpa sama sekali berbeza dari yang pernah Lin kenal dahulu. Dia mungkin ingat Lin atau mungkin lupa Lin.  Mama tak pasti.Tapi Mama nak Lin jangan salahkannya. Kerana mama tahu dia juga tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Jika bukan kerana mama yang….” Suara Puan Sri Nora menjadi tersekat-sekat. Airmata mula merembes keluar. Adlina terus memeluk Puan Sri Nora erat.

“Mama ingin Lin berikan sedikit masa dan ruang untuk Naz. Mama tak tahu sampai bila. Tapi mama harap Lin banyak bersabar ya sayang…”

Adlina menganggukkan kepalanya tanda mengerti akan maksud ibu mertuanya. Adlina pasrah dengan dugaan yang menimpa dengan dirinya. Adlina mengusap perlahan-lahan perutnya.  Adlina dapat merasakan sedikit pergerakkan dari benih yang sudah bernyawa. Anak yang di dalam kandungannya seolah-olah ingin memberikan dirinya kekuatan untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Adlina harus kuat demi anaknya yang tercinta walaupun Nazrey tidak akan menerima anak itu.

Hati Adlina bagai meronta-ronta ingin berjumpa dengan Nazrey yang sudah lama dia tidak jumpa. Adlina juga inginkan kepastian tentang gambar-gambar Nazrey dan bekas tunang yang dihantar di Watsapps beberapa bulan yang lepas sewaktu Adlina masih terlantar di hospital. Tetapi bagi Adlina semua itu tiada kepentingan buat masa ini.

Setelah membersihkan diri, Adlina terus menghamparkan sejadah untuk menunaikan solat tahajjud. Itu yang sering dilakukan saban dinihari sejak bergelar mahasiswa lagi. Adlina dapat merasakan ketenangan setelah menunaikan solat sunat tahajjud. Segala resah dan kebimbangan bagai terhapus sudah. Dihamparkan segala rayuan dan keluh resah kepada yang Maha ESA.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’” (Hadis Riwayat Al-Jama’ah).

Seperti biasa selesai solat subuh, Adlina akan terus ke dapur untuk menyediakan juadah untuk sarapan pagi. Memandangkan Adlina masih berada di rumah ibu mertuanya, Adlina pasti Mak Temah sedang menyiapkan sarapan. Keadaan di ruang tamu dan ruang makan masih lagi gelap. Hanya lampu di ruang dapur sahaja terang benderang. Adlina terus melangkahkan kakinya ke dalam ruang dapur yang agak luas.  Mak Temah sedang sibuk mengeluarkan bahan-bahan dari peti ais.

“Assalamualaikum Mak Temah.” sapa Adlina. Matanya memerhatikan ruang dapur yang begitu mewah sekali dari segi peralatan dan kabinet dapur. Adlina sendiri tidak mampu memiliki dapur secantik ibu mertuanya.

“Allahu Akbar. Terkejut Mak Temah. Datin!! Allah!! Allah.” Mak Temah terus meletakkan sayur di atas meja dan meluru ke arah Adlina. Dan sekelip mata, tubuh Adlina didakap erat oleh Mak Temah.

“Bila Datin sampai?” Mak Temah bertanya. Adlina mengurut perlahan-lahan lengan Mak Temah sambil tersenyum.

“Pagi tadi.” jawab Adlina.

“Pagi tadi? Makcik tak nampak pun Datin. Rindu sangat dengan Datin”

“Ya saya. Jangan panggil saya Datin. Adlina sudah memadai.”

“Jangan Datin. Nanti Puan Sri Nora marah saya.”

“Jangan bimbang Mak Temah. Datin tu pangkat sahaja. Saya menumpang nama. Rasa kekok bila Mak Temah panggil saya begitu.” Mak Temah tersenyum bila Adlina mengatakan begitu. Jarang sekali Mak Temah berjumpa dengan seorang yang merendah diri. Puan Sri Nora majikannya juga seorang yang merendah diri dan baik hati. Mak Temah  yang sudah berusia melebihi separuh abad sudah lama berkhidmat dengan keluarga Allahyarham Tan Sri Hishamuddin.

Mak Temah berasal dari keluarga yang susah dan mempunyai ramai orang anak. Suami Mak Temah sudah lama meninggal dunia akibat lemas ketika menaiki rakit menuju ke kampung seberang. Mak Temah memang sudah pun bertugas di rumah Puan Sri Nora sebagai pembantu rumah. Sejak dari hari itu, Puan Sri Nora mengambil Mak Temah tinggal bersama dengannya. Sebuah rumah untuk tetamu di belakang rumah agam Allahyarham Tan Sri Hishamuddin dijadikan tempat berteduh Mak Temah sekeluarga. Kini kesemua anak-anak Mak Temah sudahpun bekerjaya dan mempunyai keluarga masing-masing. Di rumah agam inilah, Mak Temah bertemu dengan jodohnya untuk kali kedua bersama dengan Pak Din tukang kebun rumah Puan Sri Nora.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s