Rindu Yang Menghempas Hati- Bab 30

Standard

Selama dua hari berada di rumah, Adlina menghabiskan waktu terluang membaca novel Melayu ataupun menonton televisyen. Mahu sahaja dia keluar sebentar dari rumah tetapi rasanya masih belum terlarat lagi. Mungkin dia belum sihat sepenuhnya. Adlina menggunakan apa sahaja yang tinggal di dalam peti aisnya untuk memasak. Nasib baik sebelum kecelakaan yang menimpa dirinya, Adlina sempat membeli barang keperluan di dapur. Untuk dua hari itu juga, Shahrul yang rajin bertanyakan khabar tentang dirinya samada melaluinya pesanan ringkas atau menelefon. Nazrey pula bagai membisu sepanjang dia di dalam cuti sakit. Mungkin terlalu sibuk dengan tugas yang digalas oleh lelaki itu. Malahan staf-staf di Saujana Holdings sedia maklum sebagai Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Suajana Holdings, Nazrey jarang berada di pejabat. Masanya banyak dihabiskan di luar negara untuk bertemu dengan rakan-rakan niaga.

Kadangkala, masanya dihabiskan di rumah keluarganya di Leeds, U.K. Setiausaha peribadinya yang banyak melakukan tugasnya di pejabat. Paling lama Nazrey akan berada di pejabat adalah selama tiga hari. Adlina sendiri terpaksa berhubung dengan Nazrey melalui email ataupun Skype.  Pernah Adlina terfikir bagaimana lelaki itu hidup hanya memikirkan  soal-soal bisnes and menyibukan dirinya dengan pelbagai tugas.  Tak mungkin Adlina dapat melalui gaya hidup seperti Nazrey yang sentiasa sibuk dengan perihal dunia. Mungkin ini antara sebabnya lelaki itu hingga kini belum berumahtangga.  Atau lelaki itu begitu cerewet dalam memilih pasangan hidup.  Ahhhh!!! Adlina, kenapa mesti memikirkan tentang lelaki itu.

Entah kenapa Adlina tiba-tiba teringat yang Nazrey bakal menunaikan umrah bersama dengan Shahrul. Dan dia hampir terlupa lelaki itu akan mengadakan sedikit majlis tahlil serta bacaan doa selamat pada keesokan harinya sebelum berangkat pada minggu hadapan.  Dicapai segera beg tangan serta kunci kereta dengan segera. Dalam kotak fikirannya kini untuk memberikan sedikit kuih-muih buatan sendiri di majlis tahlil itu nanti.

Kuih bakar manis menjadi buatan sendiri menjadi buah tangan untuk ke majlis tahlil. Sudah menjadi cara keluarga Adlina untuk datang ke sebarang majlis kenduri membawa sedikit kuih muih. Akan menempah kuih-muih jika tidak sempat untuk membuatnya sendiri. Adlina bernasib baik kerana di dalam apartmen kondominiumnya sudah tersedia peralatan membuat kuih seperti ketuhar. Jadi senang untuk Adlina membuat sebarang kek atau kuih di apartmennya. Semasa berada di perantauan, Adlina juga rajin membuat kuih muih serta kek lagi-lagi bila lebaran bakal menjelang ketika dia masih bergelar seorang pelajar. Rakan-rakan serumahnya seperti Fazlina, Amira serta Nadia rajin membantu menyiapkan kek atau kuih muih. Memori yang indah semasa di West Yorkshire akan tetap terpahat di sanubari. Mungkin jika ada kesempatan, Adlina mahu kembali ke tempat itu lagi. Tempat yang banyak mengajarnya erti berdikari tanpa pertolongan keluarga yang terdekat.

Jubah moden hijau emerald berkain satin menjadi pilihan Adlina untuk ke majlis tahlil itu. Kepalanya ditutupi dengan lilitan shawl berona coklat muda. Walaupun tanpa sebarang alat solek di wajahnya, Adlina masih tetap anggun. Wajahnya seringkali dikaitkan seperti wajah anak patung ataupun “baby face”.

Adlina memandu ke kediaman keluarga Nazrey yang terletak di sebuah kawasan elit. Ini adalah kali kedua Adlina ke rumah Nazrey. Pertama kalinya semasa majlis pernikahan Najwa setahun yang lalu. Adlina memandu masuk ke dalam ruang luar kediaman keluarga Nazrey yang terang benderang.  Terdapat beberapa kereta mewah yang terpakir di kawasan itu. Beberapa orang lelaki yang berbaju melayu dan bersongkok berada di kawasan itu.  Adlina memakirkan keretanya di tepi pintu masuk utama banglo mewah itu. Seorang lelaki yang agak berumur menyambutnya sebaik sahaja Adlina menapak ke tangga menuju ke dalam banglo mewah itu.

Tangannya menjinjing plastik yang berisi dua kotak kuih bakar manis yang sempat dibuatnya petang tadi. Rasanya agak kekok jika ke majlis tanpa membawa buah tangan.  Di dalam banglo itu sudah terhampar karpet yang besar dan agak mahal. Beberapa orang tetamu yang hadir sedang duduk sambil berbual menunggu majlis tahlil bermula. Adlina terpadang seseorang yang bertubuh tegap berdiri di tepi jambangan bunga yang agak besar merenung ke arahnya. Dato’ Nazrey Shah Iskandar! Lelaki itu segak berbaju melayu berwarna hijau tua dan berkain pelikat tersarung di tubuhnya yang agak tegap. Terasa bagai berjanji pula memakai baju hijau. Pandangan lelaki itu sukar dimengertikan.

“Adlina…!!” suara seorang wanita menerjah ke dalam gendang telinganya. Adlina memusingkan kepalanya. Nadia sedang berdiri dibelakangnya sambil tersenyum.

“Ya Allah!! Lamanya aku tak jumpa kau Nadia. So.. How’s life?”

” Alhamdullilah. Semuanya berjalan dengan lancar. Tak sangka kau datang hari ini. Ehhh… tangan kau ni mesti ada kuih kan.? Kuih apa eh?”  Tanya Nadia  sambil tersenyum riang.

“Macam tahu aje aku bawa kuih.. Kuih bakar manis” Adlina ketawa perlahan.

“Hello kawan. Aku ni da lama tinggal serumah dengan kau. Kau ni tahap pro memasak. Ada aje yang nak digodehnya. Sempat! Kalau aku kan.. tempah aje kuih.  Mari.. aku ambil kuih kau ni bawa masuk ke dalam dapur.”

” Aku duduk dekat depan dulu ya.”

” Marilah… aku kenalkan kau dengan mama dan Aunty Nora. Jom!” Nadia cuba menarik tangannya menuju ke ruang dapur.

” Ishh!! Aku duduk dekat depan aje lah.”

” Ok. Nanti lepas majlis tahlil, kau jangan balik dulu. Aku nak sembang dengan kau. Dah lama tak ‘story morry’ kisah kita masa di UK. Mengenang kisah lama. Haisshhh!!”

” Insha’Allah. Aku tak janji, Lagipun aku ni dalam cuti sakit tau. Tadi pakcik kau merangkap bos aku tu dah tengok aku semacam.” kata Adlina.

“Eleh.. pakcik aku tu tengok kau bukan semacam lagi. Dah bermacam-macam. Okay, aku nak bawak masuk kuih kau tu ke dapur. Tunggu aku ya.” Nadia berlalu ke dapur dengan kuih yang dibawa oleh Adlina tadi.

Adlina kemudian duduk bersimpuh bersama dengan beberapa orang wanita yang agak berusia di ruang tamu. Ramai yang sedang menantikan majlis tahlil bermula. Adlina melihat ruang tamu di banglo mewah milik keluarga Nazrey. Susun atur barang perhiasan kelihatan begitu mewah sekali. Amat sesuai dengan kedudukan keluarga Nazrey. Tan Sri Hishamuddin kelihatan agak uzur kali ini. Susuk tubuhnya yang agak kurus dari sebelumnya mengandaikan bahawa lelaki korporat itu kurang sihat. Dr. Shahrul Ammar pula duduk bersama dengan Nazrey dan beberapa orang tetamu yang hadir.  Majlis tahlil serta bacaan doa selamat dimulakan setengah jam kemudian. Setelah selesai, para tetamu yang hadir dijemput untuk makan malam. Yang istimewanya kali ini, hidangan nasi Ambeng menjadi menu untuk majlis tahlil. Rasanya sudah lama tidak makan nasi Ambeng yang penuh dengan lauk pauk dan dihidangkan di dalam dulang untuk dikongsi bersama empat orang.

” Aunty Nora…” suara seorang perempuan tiba-tiba menyapa kuat di gegendang telinga Adlina semasa mengambil kendi air untuk membasuh tangannya. Hampir terlepas kendi air yang dipegangnya bila terdengar suara gedik wanita itu. Bila menoleh kebelakang, barulah Adlina perasan suara itu datangnya dari Sharifah Sarina.  Sharifah Sarina cantik berbaju kurung Pahang. Sehelai seledang berona yang sama dengan baju dipakai disangkut di atas kepala menutupi hanya sebahagian kepalanya.Ya Allah!! Wanita gedik ini ada rupanya di majlis tahlil. Barulah Adlina teringat perempuan itu bakal tunang Dato’ Nazrey Shah Iskandar. Nasib baik Sally tiada. Kalau tidak, rumah banglo mewah ini pasti roboh dengan kekecohan antara dua wanita yang bersaing ingin merebut jejaka idaman satu Malaya.   Dengan kebaya ketat dan selendang panjang yang menutupi sebahagian rambutnya, Sharifah Sarina terus menuju ke bahagian ruang dapur. Kelihatan Puan Sri Noraziana tersenyum senang melihat Sharifah Sarina.  Sedang Adlina asyik memerhatikan gelagat Sharifah Sarina, suara garau yang amat dikenalinya tiba-tiba menyapa.

“You buat apa dekat sini? You sepatutnya berehat di rumah. Bukan merayap.”  Nazrey membuka mukadimah

“Auhh?! Tengah tonton drama slot Akasia TV3. ”

Muka Nazrey mula cemberut mendengar jawapan dari Adlina.

Perang mulut bakal meletus malam itu.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s