Rindu Yang Menghempas Hati- Bab 24

Standard

Setelah mengetahui mengenai dirinya yang perlu menemani Nazrey ke majlis makan malam untuk meraikan majlis pembukaan bagi pusat bisnes yang baru, Adlina memikirkan baju apa yang harus dipakainya ke majlis tersebut. Setelah kembali dari pejabat, diselak beberapa baju yang tergantung di almari. Ada beberapa helai baju kurung serta baju pejabat. Adlina mengeluh. Takkan nak pakai baju lace yang berwarna kuning keemasan. Dah seperti memakai baju untuk berhari raya atau ke majlis perkahwinan.

Si mamat serabai tu pun satu. Kod pemakaian ke majlis tersebut pun tidak diberitahu. Susah sangat, rasanya mahu saja Adlina memakai jeans dan baju t lengan panjang ke majlis tersebut. Baru mamat serabai tu tahu. Baru Adlina teringat, esok hari Sabtu. Esok Adlina tidak bekerja dan dapat meluangkan masa untuk mencari baju yang sesuai untuk ke majlis makan malam esok. Lagipun, baju kurung adalah pakaian yang di rasakan paling selamat untuk ke majlis makan malam esok memandangkan Adlina tidak mempunyai sebarang informasi mengenai majlis tersebut secara terperinci. Baju kurung ada ada di dalam simpanannya sudah pun agak lama. Sejak berada di rantauan, Adlina tidak pernah menempah sebarang pakaian baru untuk setiap tahun. Kalau ada,ibunya yang akan mengirimkan sepasang dua dari Singapura.

Sedang Adlina memikirkan baju apakah yang harus dipakainya ke majlis malam esok, bunyi telefon bimbitnya berdering. Dikerlingkan matanya ke skrin telefon bimbitnya.  Nama Azean, setiausaha Nazrey terpancar di skrin telefon bimbitnya. Kenapa pula Azean menelefonnya pada malam hari. Mungkin ada hal pejabat yang mustahak sehinggakan Nazrey terpaksa menyuruh Azean menelefonnya. Tanpa membuang masa, Adlina mengangkat panggilan tersebut.

” Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Cik Adlina.” Suara Azean bergema. Adlina kemudian menjawab salam Azean.

” Cik Adlina, esok tengahari saya dan pemandu Dato’ akan mengambil Cik Adlina dari rumah. Dato’ dah pesan dengan saya tadi sebelum dia pulang. ”

” Azean.. maaf. Kenapa Dato’ nak suruh Azean ambil saya di rumah? Ada hal mustahak ke di pejabat? Kalau ada yang mustahak, saya boleh pandu sendiri ke pejabat esok.” Bertubi-tubi soalan dari Adlina.   Suara Adlina pula menggambarkan perasaan kurang senangnya dengan cara Nazrey. Kalau ada hal mustahak pun, tak payah nak ambil dari rumah. Ini perintah ataupun satu sindiran. Sejak berada di dalam pemerintahan kuku besi, sukar bagi Adlina bernafas. Ada sahaja kemahuan lelaki itu yang harus dia turuti sebagai pekerja.  Hati Adlina membengkak. Kalau boleh, ingin saja Adlina mencekik batang leher lelaki yang perasan bagus.

” Saya cuma sampaikan pesanan Dato’. Jangan lupa ya ..Cik Adlina, saya akan sampai dalam pukul dua petang.”

” Tapi esok saya ada hal di sebelah pagi dan petang. Macam mana ya… Kalau mustahak saya akan ke pejabat. Lagipun  Azean, esok hari Sabtu. Saya salah kira hari ke? ” getus Adlina.

” Jangan macam begini Cik Adlina, nanti Dato’ marah saya. Lagipun Cik Adlina tahukan Dato’ macam mana. Kalau putih, putih jadi nya. Kalau katanya hitam.. hitamlah. Mengikut Dato’ tadi,  dia sudah memberitahu Cik Adlina untuk membatalkan semua temujanji Cik Adlina.” Bila Adlina mendengar kata-kata Azean, Adlina mendengus geram. Lelaki serabai itu memang tak makan saman. Memang dia ni seperti dictator. Mahu semua ikut telunjuknya. Harap sahaja muka bajet hensem, tetapi perangai betul-betul menjengkelkan. Habis rancangan dan harapan Adlina untuk mencari baju baru untuk ke majlis makan malam. Adlina sudah berkira-kira di dalam otaknya mahu mengenakan lelaki perasan bagus itu. Baju t lengan panjang dan seluar jeans akan dipakainya esok malam. Kasihan juga Adlina pada Azean. Lagipun Azean hanya menjalankan tugasnya sebagai setiausaha untuk lelaki perasan bagus itu.

” Azean.. baiklah. Pukul dua petang ya?”  Adlina  bertanya untuk mengesahkan kembali temujanji dia dengan Azean

” Ya. Jangan lupa Cik Adlina. Pukul dua petang, saya pemandu peribadi Dato’ datang ke rumah Cik Adlina.” Azean berkata sebelum gagang telefon diletakkan.

Malam itu, Adlina tidak mampu melelapkan matanya. Badan terasa amat penat setelah seharian di pejabat. Mentelaah lagi mamat serabai itu telah kembali bertugas dan dia terpaksa berhadapan dengan perangainya yang agak menjengkelkan. Perangai lelaki itu semakin merimaskan dari sehari ke sehari. Entah kenapa Adlina memikirkan ke mana arah tujuan pemandu peribadi serta setiausaha lelaki itu ingin membawanya keesokan hari. Fikiran Adlina melayang entah ke mana sehingga dia sendiri tidak tahu bila dia terlelap.

Tepat pukul dua petang keesokan harinya, pemandu peribadi Nazrey telah pun menunggu di kawasan kondominium. Azean setiausaha lelaki itu tidak kelihatan.

” Cik Adlina, Azean tunggu cik di butik. Saya akan hantarkan Cik Adlina ke sana.”  kata pemandu peribadi Nazrey seolah-olah dapat membaca apa yang tersirat di dalam fikiran Adlina. Hari itu, Adlina hanya mengenakan baju lengan panjang berwarna ungu, berseluar jeans dan tudung yang berona sama dililit dengan kemas. Hanya solekan nipis sahaja dikenakan. Kereta mewah itu betul-betul berhenti di hadapan sebuah butik baju yang mewah. Pada perkiraan Adlina, butik ini hanya dilanggani oleh golongan elit serta selebriti. Pereka fesyen serta pemilik butik ini adalah antara yang terkenal di Malaysia.

Kelihatan Azean sudah berada di luar kawasan butik mewah itu. Adlina begitu terpinga-pinga mengapa dia harus dibawa ke butik mewah ini. Takkan si mamat serabai  menyuruhnya membeli baju mewah yang berharga ribuan ringgit. Butik mewah ini pula terkenal sebagai sebuah butik yang menawarkan  pakaian ‘haute couture’ . Azean menyambutnya dengan senyuman setelah Adlina keluar dari kereta mewah.

” Cik Adlina, sila ikut saya masuk ke dalam.” Senyuman Azean semakin melebar. Adlina pula terpinga-pinga dengan  Azean. Adlina kemudian masuk ke dalam butik mewah itu. Seumur hidup Adlina, tidak pernah sekalipun dia menjejakkan kakinya ke dalam sebuah butik ‘haute couture.’ Susunan atur di dalam butik itu begitu elegan sekali. Seorang lelaki datang menuju ke arah Adlina sambil tersenyum. Ahhhh.. lelaki itu adalah pereka dan pemilik terkenal butik ini. Kemudian Azean meminta diri untuk beredar dari situ. Tinggal Adlina serta pereka terkenal  dan dua orang pekerja wanita butik itu.  Adlina kemudian berjalan mengikut pereka fesyen  dan juga salah seorang pekerja wanita itu ke salah satu sudut butik tersebut. Seorang lagi pekerja butik itu datang  ke arah Adlina dengan beberapa helai baju yang amat mewah dan elegan.

” Cik Adlina cuba beberapa baju ini. Nanti saya lihat mana yang paling sesuai dengan Cik Adlina. Dato’ suruh saya cari pakaian yang paling sesuai itu Cik Adlina ke majlis makan malam” kata pereka fesyen itu. Adlina terkesima bila mendengar kata-kata dari pereka fesyen itu. Nak marah, pereka fesyen itu hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan oleh pelanggan. Lagipun, Nazrey adalah seorang jutawan yang disegani. Adlina mengeluh berat. Sejak mengenali lelaki itu, Adlina kerap kali mengeluh. Mamat serabai itu tak habis-habis dengan perangainya yang suka memaksa.  Adlina pula tidak suka dipaksa dan memaksa. Memandangkan dia tidak punya baju yang sesuai ke majlis makan malam itu, terpaksa juga dituruti. Setelah beberapa pasangan baju  yang dikenakan, akhirnya Adlina dan pereka fesyen itu bersetuju memilih baju gaun muslimah berwarna hijau yang begitu elegan.

Gaun muslimah itu begitu sesuai sekali untuk Adlina. Rupanya susah untuk bergaul dengan golongan elit, fikir Adlina. Semuanya harus mewah. Adlina pula tidak biasa dengan cara begitu. Walaupun pernah bertugas di sebuah bank antarabangsa, Adlina begitu kekok. Mungkin Adlina jarang menghadiri majlis bersama dengan orang-orang kenamaan.  Adlina kemudian disolek dan didandan. Tudung berona seakan sama dengan gaun muslimah yang dililit kemas. Adlina begitu terkejut dengan penampilan dirinya. Pemakaiannya seolah-olah menggambarkan  dia adalah daripada golongan wanita elit. Adlina tidak pernah memakai pakaian yang begitu mewah. Semalam, ketika dia mengambil sepasang baju kurung lace dia rasakan baju itu tidak sesuai dengan majlis makan malam akan bakal dihadirinya. Kalau dibandingkan dengan baju lace yang ada dalam simpanannya dan juga baju yang sedang dipakainya sekarang umpama langit dan bumi.  Mungkin Nazrey merasakan bahawa dia tidak mempunyai pakaian yang untuk ke majlis itu. Bersangka baik sahaja Adlina.. Bisik hati kecilnya.

” Cantiknya Cik Adlina. Begitu berseri sekali. Nasib baik Cik Adlina bekerja dengan Dato’. Kalau tak, saya dah tawarkan kepada Cik Adlina menjadi ‘In House model’  untuk butik ini.” kata pereka fesyen itu lagi. Adlina hanya tersenyum. Tidak mampu berkata apa-apa. Ketika pertama kali Adlina menatap wajahnya yang telah selesai disolek, Adlina begitu teruja sekali. Cara solekannya pula tidak terlalu tebal.

Tiba-tiba pintu butik dikuak dari luar. Wajah Azean tersembul di muka pintu bersama dengan beberapa beg kertas dari jenama mewah di kedua-dua tangannya. Azean kelihatan begitu termengah-mengah.

” Cik Adlina, Dato’ suruh berikan ke semua beg kertas ini kepada cik. Dato’ suruh Cik Adlina pakai ke majlis makan malam nanti. Dato’ ada beritahu dia akan menjemput Cik Adlina ke majlis itu dalam masa setengah jam lagi. ”  Azean menghulurkan dua beg kertas kepada Adlina.

“Kalau tidak ada apa-apa lagi, saya balik dulu ya Cik Adlina. Barang serta baju Cik Adlina yang dipakai tadi saya akan ambil dan simpan dulu

Adlina mengerling ke arah jam tangannya. Hampir tujuh malam. Nasib baik dia tidak perlu menunaikan solat kerana keuzuran.   Di dalam salah satu beg kertas itu terdapat satu kotak. Adlina membukanya dan mendapati sepasang kasut tumit tinggi jenama Jimmy Choo berada di dalamnya. Adlina tidak terkejut jikalau mamat serabai itu tahu ukuran kasutnya kerana mamat serabai itu pernah menghadiahkannya sepasang selipar jenama ‘Birkenstock’ beberapa bulan yang lalu Di dalam sebuah lagi beg kertas pula terdapat sebuah beg klutch jenama Chanel.  Ahh.. lelaki itu punya citarasa tinggi. Lagipun barangan serta pakaian ini hanya dipinjamkan. Selesai majlis makan malam, Adlina akan mengembalikannya kepada Nazrey.

Tidak lama kemudian kereta mewah ‘Maserati’ tiba di hadapan butik mewah itu. Adlina terus mencapai beg klutch dan terus  menuju ke arah kereta mewah itu. Adlina sempat mengucapkan terima kasih kepada pereka fesyen serta kakitangan butik tersebut.  Nazrey keluar dari tempat pemandu. Lelaki itu a.k.a mamat serabai begitu kacak sekali dengan  sut bisnes dan juga kasut berwarna coklat. Nazrey pula bagai terpaku apabila melihat penampilan Adlina. Mulutnya bagaikan terkunci. Adlina pula berasa segan apabila Nazrey memandangnya begitu…

” Helo.. Helo. Assalamualaikum. ” Adlina melayangkan tangannya ke wajah Nazrey. Bagai tersentak dengan perbuatan  Adlina, Nazrey mula kembali ke alam nyata dan terus menyambut salam yang diberikan. Ketika berada di dalam kereta mewah itu, Adlina berasa kurang selesa. Dari tepi, kelihatan Nazrey mengintai dan menjeling ke arah Adlina. Aku ke yang terlebih perasan, bisik Adlina lagi. Adlina memandang ke arah lain tanpa memperdulikan perbuatan Nazrey.

” Cantik”. Suara Nazrey tiba-tiba bergema di dalam kereta mewah itu. Adlina menoleh ke kanan. Suara itu begitu jelas kerana muzik jazz yang dimainkan di dalam kereta itu amat perlahan. Mungkin si mamat serabai ini sedang menikmati panorama di malam hari agaknya, getus Adlina. Takkan  pula nak perasan Nazrey berkata cantik dan ia ada kena mengena dengan penampilan dirinya malam ini. Rasanya kurang wajra. Takut dianggap masuk bakul, angkat sendiri. Sepanjang perjalanan ke majlis perasmian dan makan malam, Adlina dan Nazrey mendiamkan diri, melayani perasaan masing-masing.

” Terima kasih sebab sudi temankan I malam ini. Lagipun you adalah seorang kakitangan di Saujana Holdings yang berwibawa. Rasanya tak salah kalau I memperkenalkan you kepada rakan-rakan niaga Saujana Holdings.” Kembang kuncup Adlina mendengar pujian dari mamat serabai itu. Mata lelaki itu tidak lepas dari pandangan  ke arah jalan raya. Tumpuan lelaki itu hanya pada pemanduan.

” I should have thanked you for the fabulous dress and accessories. Nanti lepas I hantar dry cleaning, I akan berikan kembali pada Dato’. Maaflah kalau tak dapat nak berikan selepas majlis. Sebab kedai dobi dah tutup. Esok sahaja I dapat hantar.”

Tiba-tiba Nazrey mendengus geram setelah mendengar kata-kata dari Adlina.

” Adlina, you ni bila  bercakap macam kanak-kanak strawberi. Nasib baik bila waktu kerja perangai tak macam begini.  Tak payah nak berikan saya balik. Bukan I boleh pakai. Melainkan I dah bertukar jantina jadi perempuan macam you. You ni sentiasa bersangka buruk pada orang. Niat I ikhlas. Be positive. ”  Nada suara Nazrey bertukar menjadi geram.

” Maaf Dato’. I ni memang tak reti. Lagipun I ingatkan pakaian ini serta yang lain-lain harus dipulangkan. Azean pun tak beritahu apa-apa. Dato’ pula jangan asyik nak marah dan sindir saya pula.”

” Adlina.. macam mana I tak marah. Soal macam begini pun nak I ajar ke..Yelah tu Adlina.. Macam  you tu cakap tak ada bunyi sindiran”

” Terpulang pada Dato’ bagaimana Dato’ nak mentafsirkan kata-kata I.” jawab Adlina tegas. Tiada lagi perbualan selepas ini sehingga kereta mewah Maserati sudah berada di perkarangan sebuah hotel mewah.

Adlina dan Nazrey kemudian masuk ke dalam dewan di mana majlis perasmian dan makan malam bakal diadakan. Adlina dan Nazrey kemudian mengambil tempat duduk di meja VIP yang disediakan. Majlis perasmian itu kemudian dilancarkan oleh Nazrey serta beberapa orang menteri. Patutlah beria benar Nazrey merancang dan memastikan pakaian Adlina bersesuaian dengan majlis yang dihadiri. Barulah Adlina faham. Lagipun jutawan seperti Nazrey tidak mempunyai masalah membelanjakan wangnya untuk memastikan nama syarikat tidak terjejas. Sedang Adlina dan Nazrey berbual-bual dengan beberapa orang kenamaan dan golongan karyawan mengenai usaha sama Saujana Holdings, seorang wanita yang berpakaian begitu elegan menuju ke arah Nazrey. Adlina seperti pernah melihat wanita itu. Tetapi Adlina tidak dapat memastikan dimana dia pernah berjumpa dengan wanita yang begitu jelita. Wajah dan ketinggian yang persis seorang model. Malahan tidak keterlaluan bagi Adlina mengatakan jika wanita itu lebih anggun dan jelita  jika dibandingkan dengan Sally atau  Sharifah Sarina.

” Hai.. Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar. It has been a while we have not seen each other.”  Wanita jelita itu mula bersuara.

Nazrey kemudian menoleh ke arah suara itu. Mukanya kelihatan begitu terkejut tatkala berjumpa dengan wanita yg sedang berdiri disebelahnya. Adlina cuba mengingati wanita itu.. Adakah Adlina pernah berjumpa sebelum ini. Wanita itu kemudian menghulurkan tangan kanannya ke arah Nazrey untuk bersalaman. Dan Nazrey terpaku tanpa reaksi.

” Dania.. Dania Latiff.” Akhirnya Nazrey bersuara.

Ingatan Adlina kembali kepada sekeping gambar yang pernah dilihat terselit di dalam diari lelaki itu semasa dalam perjalanan pulang di dalam keretapi menuju ke kota London beberapa tahun yang lalu. Wanita jelita yang duduk bersimpuh dikelilingi oleh beberapa orang wanita di dalam sekeping gambar.  Tidak banyak perbezaan wajah wanita itu dengan gambar yang pernah dilihat oleh Adlina sebelum ini. Wanita yang pernah membuat seorang lelaki bernama Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar Tan Sri Hishamuddin menjadi tidak tentu arah selama ini. Bekas tunang kepada Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar.

Jimmy choo shoes

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s