Rindu Yang Menghempas Hati- Bab 21

Standard

Deringan dari telefon bimbitnya mengejutkan Adlina  lalu terpisat-pisat bangun dari tempat tidurnya. Digosok kedua belah matanya. Siapa pula yang telefon dinihari yang aman damai ni. Dengus Adlina perlahan.  Adlina terkejut saat melihat nombor dan nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Ya Allah!! Mamat serabai rupanya. Dikerling ke arah  jarum jam yang menunjukkan lima setengah pagi. Deringan di telefon kedengaran sekali lagi setelah deringan pertama terputus kerana Adlina membiarkan telefon bimbit itu tanpa berjawab. Terasa sejuk sekali dinihari itu kerana hujan masih turun lagi. Sudah pasti ramai masih dibuai mimpi. Tanpa berlengah lagi, Adlina terus mencapai telefon bimbit yang sejak dari tadi masih tidak henti bunyi deringannya .

“Hello…”  jawab Adlina lemah dan dalam keadaan mamai.

“Tak reti nak beri salam ke?” Suara di hujung talian bergema. Adlina mencemikkan mukanya. Dah lah pagi-pagi mengacau dan mengganggu ketenteraman awam.

“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Adlina bercakap. Siapa di hujung talian ni?” Sengaja Adlina berkata demikian untuk menyakitkan hati si pemanggil itu.

“Eheem..Wa’alaikumussalām. Dato’ Nazrey bercakap. Jangan lupa jam lapan pagi nanti. Nanti I datang ambil you.  Dan jangan lupa bawa baju, passport dan diri you jugak” Adlina mengetap bibirnya sebaik sahaja mendengar kata-kata dari Nazrey.

“Ya Dato’. Saya tahu. Terima kasih kerana ‘gegarkan’  dan mengingatkan saya. ” Adlina memerli.  Setelah menamatkan panggilan dari Nazrey, Adlina terus bersiap-siap. Adlina mengenakan blaus bunga-bunga bewarna biru dan seluar berwarna krim dipadankan dengan seledang panjang berona yang sama dililit di kepalanya. Adlina juga mengenakan solekan yang tipis menambahkan keayuan di waajahnya. Adlina lebih suka tampil ‘simple’ tapi kelihatan elegan. Beg jenama ‘Gucci’  dan beg pakaian diambil  dengan beberapa dokumen untuk dibawa bersama.

Kelihatan sebuah kereta mewah  ‘Maserati’ berada di kawasan kondominium. Nazrey yang agak santai  memakai kaca mata hitam  Ray Ban berdiri bersebelahan dengan kereta mewah itu sedang berpeluk tubuh. Dalam hati Adlina berbisik, berapa banyak kereta yang dimiliki oleh lelaki jutawan ini. Bertukar kereta mewah seperti menukar baju. Dengan gayanya, sudah ramai wanita jatuh hati dengannya. Lelaki itu tampak kacak dengan penampilan yang simple. Nazrey sedang tersenyum setelah melihat Adlina turun dari anak tangga.  Apa punya lelaki ni… Bukan nak tolong. Ada ke patut. Adlina masih terkial-kial cuba menuruni anak tangga. Tiba sahaja Adlina di hadapan kereta mewah itu, Nazrey tersenyum melirik menampakan lekuk lesung pipitnya, Wajahnya yang agak kemerah-merahan menambahkan lagi ketampanan lelaki jutawan idaman Malaya.

“Jom!” Nazrey terus masuk ke bahagian pemandu dan Adlina pula masih terkial-kial cuba memasukkan begnya ke dalam kereta mewah. Tak ‘gentleman’ lansung! Adlina mendengus geram. Kelmarin, Adlina dapat menaiki kereta Ferrari. Dan kini Adlina berpeluang menaiki kereta mewah jenis Maserati pula. Ni semua gara-gara mempunyai ketua yang gilakan kereta.  Kalau tidak kerana Nazrey,cium bau kereta mewah begini pun Adlina tidak berpeluang. Banyak juga khabar angin di akhbar atau majalah mengenai lelaki jutawan ini dengan beberapa orang peragawati dan anak-anak dari golongan kelas atasan. Di sudut yang lain pula, Ahhh.. Lelaki ini dilahirkan dengan sudu emas di dalam mulut. Mewah dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Tetapi lelaki ini kalau dilihat dari segi perwatakan memang sederhana walaupun acapkali memakai jenama mewah. Cuma satu tentang lelaki ini yang Adlina tidak berapa berkenan. Sikapnya yang suka memaksa dan kata-kata sinis yang keluar dari mulut lelaki itu amat menjengkelkan.  Tanpa Adlina sedari, kereta mewah Maserati telah jauh meninggalkan kawasan kondominium . Adlina memerhati Nazrey yang begitu fokus dalam pemanduannya. Hmmm… lelaki ini nak kemana ya.. Laaa. Kenapa tak tanya ke mana destinasi dia nak bawa. Kenapa boleh lupa. Bisik hati Adlina lagi.

“Eeerrrmmm.. Kita nak ke mana Dato’? ” tanya Adlina perlahan. Nazrey mengerling matanya ke arah Adlina. Haruman Bvlgari menusuk ke dalam hidung Adlina.

“Aikk!!  You dah lupa ke. Kan I dah beritahu. Semalam tak tanya.. sebelum masuk kereta tak tanya. Sekarang baru nak tanya cik Adlina? Tu lah banyak sangat berkhayal. Macam mana boleh dapat masters ni.” Aduhh mulut itu kalau boleh mahu sahaja dijahit.

“Nak ke mana kita ni Dato?” Adlina sudah hilang sabar.

“Kita nak ke Thailand. Nikah.” Nazrey ketawa perlahan.

“Dato’.. Saya ni tanya betul-betul.” Adlina cuba meneka ke mana arah kereta yang dibawa oleh Nazrey. Bukan boleh percaya lelaki ini. Adlina cuba mengingati perbualan dengan Nazrey semalam di pejabat, Rasanya macam lelaki ini tak menyebut apa-apa. Salah Adlina juga kerana tidak bertanya. Mungkin terlalu kusyuk membaca segala laporan tentang SHH Berhad Dan Maju Holdings.  Rasanya kereta mewah ni menuju ke arah selatan.

” Kita ke Singapura cik Adlina. Takkan you lupa.  Ada beberapa perkara tentang projek hartanah yang harus dibincangkan dengan anak syarikat kita di sana. Sebab tu I bawa you.. suruh bawa sekali passport. Kalau outstation di Malaysia ni.. tak payah lah.” terang Nazrey. Matanya masih lagi fokus ke arah jalan raya.  Adlina pula bertindak mendiamkan diri. Ya tak ya.. dia sendiri lupa. Sebelum pulang Nazrey ada memberitahunya. Mungkin Adlina terlepas mendengar.

“Ohh dah teliti tentang laporan yang I berikan pada you semalam.?”  tanya Nazrey.

“Dato’ baru beri saya semalam. Baca sekerat jalan . Mata dah kelat semacam. Secara jujur, saya belum meneliti laporan itu secara terperinci.”

“Hmmmm…” gumam Nazrey perlahan.

“Kenapa Dato’ nak suruh saya teliti laporan itu. Lagipun projek Sandakan setahu saya mengalami banyak masalah.”

“Kata belum baca laporan itu lagi..”

“Speed reading, Dato’. Tapi tu semua terlalu awal untuk saya beritahu pada Dato’. I need to analyse and submit full the full report to you. Tapi saya musykil kenapa projek ini menjadi perhatian Dato’?” Nazrey menggelengkan kepalanya apabila mendengar jawapan dari Adlina.

Pertanyaan Adlina pula dibiarkan tanpa sebarang jawapan. Berjeda buat seketika. Adlina tidak mahu lagi bertanyakan soalan lain memandangkan hampir lima minit pertanyaan Adlina dibiarkan oleh Nazrey. Lelaki itu kelihtan tenang dan fokus dengan pemanduanya. Adlina disebelah hanya melayang perasaan dengan lagu-lagu bercorak sentimental yang diputarkan di corong radio.

Adlina tersedar dari lena apabila kereta mewah yang dinaiki berhenti. Dipandang keluar tingkap kereta. Dah sampai pusat pemeriksaan kastam di Johor Bahru rupanya. Entah berapa lama lena di dalam kereta itu, Adlina kurang pasti. Pemeriksaan kastam di Johor Bahru dan  Singapura berjalan dengan lancar. Rasanya sudah tujuh bulan Adlina tidak menjejakkan kakinya di tanahair sendiri. Kali terakhir semasa bertugas di anak syarikat  Saujana Holdings. Tak penat ke lelaki ini.. Memandu tanpa henti. Sudah pukul dua tengahari.  Kereta mewah itu menyusur ke jalan raya di Singapura dan berhenti di salah sebuah hotel di kawasan Orchard. Seorang valet mengambil alih kereta mewah itu untuk dipakir. Adlina bersama dengan Nazrey masuk ke dalam lobi hotel tersebut.  Setelah urusan masuk ke bilik hotel selesai, Nazrey memberikan kad akses bilik kepada Adlina.

” Ni untuk you. Besok meeting  dengan pegawai dari anak syarikat kita. Memandangkan you dah tido lena dalam kereta, sila buat laporan tentang SHH Berhad. Untuk laporan projek di Dubai, sila siapkan secepat mungkin. I need it urgently. ” Adlina mengetap bibirnya. Berkira betul lelaki ni. Baru ingatkan mahu berjalan-jalan di sekitar Orchard Road. Dah lama rasanya Adlina tidak ke sana sejak bertugas di Kuala Lumpur. Tekaknya kini ingin sekali makan sup tulang merah dan mee goreng mamak di Beach Road, rojak India di Geylang dan murtabak di Arab Street. Kalau lama sedikit di sini, rasanya Adlina mahu menjenguk saudara mara dan sahabat handai yang sudah lama tidak dia ketemu. Adlina sendiri begitu teruja bila kembali ke tanahair sendiri. Sudah pasti, makanan yang paling dia rindui walaupun di Kuala Lumpur tidak kurang hebatnya. Pulang ke halaman sendiri bak sirih pulang ke gagang. Mungkin cuti Hari Raya akan dihabiskan di tanahair sendiri.

“Okay Dato’ Nanti saya cuba siapkan. So.. pukul berapa meeting esok pagi?” tanya Adlina. Lebih baik tanya. Nanti tak pasal-pasal kena sindir.

“Around ten. Lepas breakfast, terus ke pejabat. Bawa semua dokumen. I jumpa you di lobi esok pagi. ” kata Nazrey sebelum berlalu pergi. Susah juga ketuanya. Angin satu badan. Rasanya masih ada masa lagi Adlina untuk menyiapkan laporan. Dalam fikiran Adlina, sudah berkira-kira untuk menelefon Sufiah sepupunya untuk menemaninya berjalan di sekitar Orchard Road dan ke Beach Road makan sup tulang merah. Ahhh… peduli apa dengan lelaki tu. Rasanya masih sempat untuk menelefon Sufiah.  Selepas membersihkan dirinya, Adlina bersiap untuk berjalan di sekitar Orchard Road sebentar. Perutnya juga berkeroncong. Sebaik sahaja mahu melangkah keluar dari bilik hotel, telefon di sisi tempat tidur berdering. Dengan segera, Adlina mengangkat gagang telefon.

“Hello.. Adlina. Tunggu di lobi.”  Sebelum Adlina dapat berkata apa-apa, telefon dimatikan. Memang dasar angin satu badan lelaki jutawan perasan hensem.

Sebaik sahaja turun di lobi, Nazrey sudah bersiap sedia. Dengan tee berwarna biru dan seluar jeans, Nazrey kelihatan begitu ranggi sekali. Mamat serabai ini kalau pakai apa pun memang kena mentelaah lagi dia seorang berdarah kacukan.

“So, cik Adlina. You nak makan mana? Di dalam hotel atau di luar? ”

” Ingatkan Dato’ tak lapar… Saya sebenarnya nak jalan-jalan di sekitar Orchard. Mungkin makan ayam penyet kut. Malam baru ingatkan nak ke Beach Road, makan sup tulang merah power. Tapikan Dato’.. saya kena siapkan laporan. Takut tak dapat buat habis.” Adlina sengaja membuat suara sedih untuk meraih simpati.

“Okay, tapi laporan untuk meeting esok aje you siapkan dulu. SHH Berhad.. boleh sambung kemudian.” Akhirnya Nazrey membuat keputusan. Yes! Yes! Yes!. Adlina sudah bersorak gembira dalam hati. Senyuman mula terukir dibibirnya Adlina ingin sekali menghubungi Sufiah, sepupunya. Memandangkan mamat serabai ni dah kacau daun, terpaksa Adlina menghentikan niatnya. Nazrey tersenyum sambil melayangkan kad MRT dihadapan Adlina.

“Heee…No Maserati. Just MRT.” katanya memadang ke arah Adlina. Adlina pula tercengang.

“Sooo.. kata nak makan ayam penyet. Lucky Plaza kan.. Dah. Jangan buat muka ‘blur’. I dah kerap kali ke si i untuk konvention.. menguruskan hal-hal berkaitan bisnes dan sebagainya. ” Adlina berjalan di belakang Nazrey dan berjalan menyusuri pusat membeli-belah. Orchard Road sentiasa sibuk dengan para pengunjung serta pelawat dari luar negara. Waktu paling sibuk sekali adalah pada hujung minggu. Sudah banyak perubahan yang berlaku di kawasan pusat membeli-belah yang terkenal di Singapura. Butik-butik dari jenama terkenal dari luar negara banyak di sekitarnya. Tiba-tiba Adlina teringat akan pesanan dari Shahrul Ammar. Segera dicapai telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas. Rasanya kalau lunch bersama dengan Shahrul pada hari Rabu mungkin masih sempat. Paling lama tiga hari. Lagipun hari Selasa, Adlina sudah kembali ke Kuala Lumpur. Adlina mula menaip pesanan ringkas di telefon bimbitnya

‘ Salam. Shahrul, maaf kerana lambat balas sebab sekarang tengah outstation. Lunch date on. See you on Wednesday. Insha’ Allah’ 

Tidak lama kemudian, bunyi pesanan ringkas kedengaran.

‘W’salam. It’s ok Adlina. Take care. Beep me once you are back in K.L. 🙂 ‘

Syed Shahrul Ammar.. lelaki itu begitu baik sekali. Adlina berasa senang berkawan dengan doktor pakar yang tidak kurang kacaknya. Adlina tersenyum sendirian tanpa menyedari Nazrey melihatnya. Sampainya di restoran, Nazrey dan Adlina memesan set ayam penyet. Mungkin masih keletihan, Adlina tidak dapat menghabiskan makanan di pinggan. Nazrey mula berbual-bual tentang sedikit latar belakang hidupnya. Barulah pertama kali  Nazrey bercerita tentang keluarganya. Adlina cuma mengetahui perihal keluarga Nazrey dari anak saudaranya yang masih menetap di Yorkshire ataupun dari akhbar atau majalah.

“Tentang soalan you di kereta masa dalam perjalanan ke Singapura….biar I terangkan. I rasa ada orang cuba sabotaj I.. Sebab tu I suruh you teliti laporan yang I berikan. Dan I rasa you adalah seorang pegawai yang I dan Najwa boleh percaya dalam menangani perkara ini. Lagipun masih ada masa lagi untuk beberapa hari meneliti fail yang I berikan pada you. Selepas you selesai meneliti segalanya, you akan faham. I rasa you bijak dalam menganalisis perkara-perkara melibatkan wang dan syarikat. Itu yang I ketahui serba sedikit tentang you dari Najwa.. ” Adlina terpinga-pinga. Kenapa dirinya menjadi pilihan sedangkan dia baru sahaja bertugas dengan Saujana Holdings. Hanya Nazrey dan Najwa yang tahu. Jawapannya ada pada mereka berdua..

Image

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s