Rindu Yang Menghempas Hati- Bab 18

Standard

Adlina mula mengambil tempat di satu sudut sebelum upacara majlis akad nikah Najwa dengan Tengku Faisal dijalankan. Manakala Shahrul Ammar duduk di bahagian lelaki. Semua tetamu menantikan kedatangan rombongan dari pihak lelaki. Nazrey pula duduk di samping Tan Sri Hishamuddin serta beberapa ahli keluarga yang terdekat.  Sepuluh minit kemudian, barulah rombongan dari pihak pengantin lelaki sampai di kediaman mewah Tan Sri Hishamuddin bersama dengan dua belas buah dulang hantaran.  Pengantin lelaki pula mengenakan sepasang baju melayu cekak musang berwarna krim begitu segak dan tampan.

Najwa kelihatan begitu anggun sekali dengan busana pengantin rekaan pereka terkenal Jovian Mandagie sedang duduk bersimpuh di pelamin yang dihiasi bunga-bunga segar. Disebelahnya pula Nadia yang pulang bercuti sama-sama meraikan majlis perkahwinan Najwa. Sempat Nadia melambai-lambai tangannya ke arah Adlina sambil tersenyum. Adlina pula berbalas lambaian Nadia.

Tanpa disedari, perbuatan Adlina dan Nadia diperhatikan oleh Shahrul Ammar dan Nazrey. Majlis akad nikah berjalan dengan lancar tanpa sebarang kegenjotan. Dengan sekali lafaz, Najwa Tan Sri Hishamuddin telah sah menjadi isteri kepada Tengku Faisal Tengku Azman.  Jurugambar serta juruvideo begitu sibuk merakamkan detik bersejarah bagi kedua mempelai. Sama cantik sama padan. Bagai pinang dibelah dua. Itu yang boleh digambarkan untuk kedua mempelai yang bersanding di atas pelamin.  Setelah upacara akad nikah, ahli keluarga dari kedua belah pihak pengantin bergambar dengan kedua belah mempelai.

Buat pertama kalinya, Adlina melihat seluruh keluarga Tan Sri Hishamuddin. Isterinya Puan Sri Dr. Noraziana Richardson begitu anggun walaupun wajahnya sudah dimamah usia. Solekan yang nipis menaikan serinya di wajahnya. Rupanya, isteri Tan Sri Hishamuddin adalah seorang wanita kacukan Inggeris/Pattani. Itu yang diberitahu kepada Adlina oleh salah seorang tetamu yang duduk di situ. Patutlah anak-anak Tan Sri termasuk Nazrey Shah Iskandar dan Najwa mempunyai raut wajah Pan-Asian. Kesemua anak-anak Tan Sri Hishamuddin mewarisi wajah ibunda mereka. Ayah Nadia, Dato’ Mokhtar serta isteri Datin Nuraishah merangkap kakak sulung Nazrey dan Najwa juga ada di situ ketika mereka sekeluarga mengambil gambar. Wajah Datin Nuraishah pula banyak mewarisi Tan Sri Hishamuddin.

Sedang Adlina asyik memerhatikan keluarga Tan Sri Hishamuddin sibuk bergambar, satu suara menerpa ke gegendang telinga sehingga memeranjatkan Adlina. Apabila Adlina berpusing ke belakang, Shahrul Ammar sedang berdiri di belakangnya sambil tersenyum.

“Adlina, you look stunning tonight. Jom ambil gambar sekali.”  Shahrul Ammar mengajak Adlina ke hadapan untuk mengambil  gambar bersama dengan kedua mempelai.

“Huh? Kita berdua saja? Tak nak lah saya.. ” Lekas-lekas Adlina menjawab.

“Kita berdua pulak.. Mestilah dengan pengantin . Kalau kita berdua lebih baik kita nikah terus. Itu yang lebih afdal.” balas Shahrul Ammar sambil ketawa. Sedapnya mamat ni menjawab.. Kata Adlina di dalam hati.

“Tak apa lah. Nanti saya ajak Nadia sekali” Shahrul Ammar akhirnya mengambil keputusan setelah melihat Adlina teragak-agak. Shahrul Ammar pergi ke arah Nadia dan berkata sesuatu. Kelihatan Nadia menganggukkan kepalanya beberapa kali. Adakalanya Nadia seperti tersenyum bila Shahrul Ammar berkata sesuatu kepadanya. Akhirnya, Nadia dan Shahrul Ammar berjalan menuju ke arah dimana Adlina sedang berdiri.

“Yok… kita ambil gambar dengan pengantin.” Nadia terus menarik tangan Adlina manakala Shahrul Ammar berjalan di belakang.  Adlina terpinga-pinga tatkala Nadia menarik tangannya menuju ke arah pelamin,

Setelah selesai sesi bergambar dengan mempelai, Adlina mengambil minuman dan sempat berbual mesra dengan Nadia yang sudah lama tidak ketemui. Shahrul Ammar pula meminta diri untuk mengambil sedikit makanan. Adlina begitu seronok dapat berjumpa dengan Nadia kembali setelah sekian lama. Nadia memberitahu yang dia akan berada di Malaysia sehingga selesai majlis persandingan makciknya sebelum terbang semula ke England keesokan harinya. Rasa terubat rindu bila Adlina bertemu kembali rakan lamanya. Apatah lagi rakannya itu adalah teman serumah sepanjang dia belajar di Yorkshire. Menurut  Nadia, dia akan berada di sana sehingga tamat pengajiannya dan akan menyambut pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana. Rakan serumah yang lain pula akan pulang ke Malaysia selepas upacara graduasi di sana.

Tidak lama kemudian, Nadia meminta diri kerana salah seorang anggota keluarganya memanggilnya. Tinggal Adlina duduk keseorangan menikmati minuman di gazebo. Suasana majlis begitu meriah sekali dengan para tetamu yang datang. Ramai di antaranya dari golongan VVIP. Para tetamu di jamu di perkarangan kediaman mewah itu. Shahrul Ammar pula hilang entah kemana. Ketika Adlina bangun dari tempat duduknya, Nazrey pula kelihatan seperti berjalan menuju ke arahnya. Harap-harap si mamat serabai itu tak datang ke mari. Bisik hati Adlina. Entah kenapa panggilan mamat serabai sudah sebati walaupun Nazrey sudah kelihatan kemas dan kacak,

“Seorang diri sahaja?”  tanya Nazrey sebaik sahaja berdiri berhadapan dengan Adlina. Haruman dari wangian Bvlgari menusuk masuk ke hidung Adlina. Nazrey seringkali menggunakan wangian ini. Menggetarkan seluruh urat sarafnya.  Ahh… dia kelihatan begitu kacak sebaik sahaja lelaki itu tersenyum. Sama seperti Shahrul Ammar, kedua-duanya begitu kacak dan bergaya. Satu kacukan Inggeris dan satu lagi pemuda dari kacukan Arab. Adlina dalam diam cuba membuat perbandingan di antara kedua-duanya. Jika hendak dibandingkan dengan mereka berdua, sudah pastinya seperti enggang dengan pipit. Yang Adlina tahu, kedua-dua lelaki itu memang dari golongan hartawan yang berjaya. Yang bezanya, Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar agak menjengkelkan jika dibandingkan dengan Shahrul Ammar.

“You ni kuat berangan ye.. I di depan you pun boleh khayal.”  Kata-kata Nazrey mematikan lamunan Adlina.

“Masih sama macam dulu lagi. Khayal tak habis-habis”  Nazrey menyambung kata-katanya. Adlina mencebik apabila mendengar kata-kata dari Nazrey.

“Dato’.. saya  bukan seorang diri. Tu kan ramai tetamu. Takkan yang datang hantu pulak kan ” balas Adlina sinis sambil menunjuk ke arah tetamu-tetamu yang ada di situ. Lelaki ini memang setiap kali bertemu ada sahaja bicaranya yang berbaur sinis. Entah macam mana si Sally dengan Sharifah Sarina boleh berkenan.

“Wah wah wah…Da pandai nak melaser orang ye. Boleh tahan jugak you ni eh.” kata Nazrey.

“Anyway, you look gorgeous tonight”. Bisik Nazrey di telinga Adlina.

Nazrey mahu menyambung perbualannya namun terhenti apabila seorang wanita yang berjalan beriringan dengan Nazrey tadi datang menghampiri Adlina dan Nazrey. Fuhh! Lega. Selamat dunia akhirat. Hati Adlina berbisik. Tangan kanannya menggosokkan ke dada.

“Naz, siapa ni? ” tanya wanita jelita itu.

“Manusia lah. Takkan hantu” balas Nazrey. Adlina sudah membulatkan mata. Perangai tak macam seorang usahawan yang berjaya. Amat merimaskan dan menjengkelkan.

“You ni.. I tanya ..you main-main pulak.”

Yang ini salah satu pengurus di Saujana Holdings. Namanya Nurina Adlina. Ini Sharifah Sarina. Dan yang sedang duduk ni Nurina Adlina” Nazrey memperkenalkan kedua-duanya. Adlina bangun dan ingin menyalami wanita jelita itu. Dari pakaian yang mencerminkan wanita itu dari golongan atasan.

“Nurina Adlina.” Adlina memperkenalkan diri sambil menyalami wanita jelita yang berada di samping Nazrey Shah Iskandar.

” Sharifah Sarina Dato’ Syed Azhar. Bakal tunang Dato’Wira Nazrey Shah Iskandar.” balas Sharifah Sarina pula dengan suara yang menggedikan Macam nak terkeluar anak tekak Adlina waktu itu. Dia hanya memberikan senyuman sahaja bagi mengiakan kata-kata Sharifah Sarina. Sharifah Sarina mula bercerita itu dan ini mengenai persiapan pertunangannya dengan Nazrey. Semuanya bagai disapa angin lalu.  Dah sama lah dengan lelaki serabai itu. Memang padan pun .Macam merpati dua sejoli. Dua-dua amat menjengkelkan Adlina.

Adlina memandang keliling mencari Shahrul Ammar ataupun Nadia untuk menyelamatkan keadaan. Ingatkan dah lepas azab dengan Nazrey. Rupanya azab bersembang dengan Sharifah Sarina lagi dasyat. Malas betul kalau hendak melayan manusia yang berkata ‘world’. Dalam erti yang lebih mudah. Manusia yang masuk bakul, angkat sendiri. Begitulah  perwatakan Sharifah Sarina ketika itu. Kalau boleh, Adlina mahu melarikan diri daripada kedua-dua makhluk yang berada di hadapannya. Tahulah dua-dua memang anak orang kaya.Nazrey pula hanya tersenyum sumbing. Cepatlah Shahrul datang.. Takkan tolong jadi kendarat pula. Kata-kata itu hanya bergema di dalam hati Adlina. Permintaan di dalam hati seumpama doa yang dimakbulkan, Shahrul Ammar datang menuju kearah mereka  bertiga. Doktor muda itu apabila berjalan seperti mempunyai daya tarikan dan karismanya yang sendiri. Wajahnya yang sentiasa tenang mungkin kesan dari air wudhu yang sentiasa diambil.

“Adlina.. rupanya awak di sini . Saya cari di tempat tadi tak ada. Ni saya ada ambilkan sedikit makanan” kata Shahrul Ammar sebaik sahaja tiba di tempat di mana mereka bertiga berdiri. Shahrul menghulurkan sepinggan yang berisi makanan kepada Adlina. Dengan teragak-agak Adlina mengambil pinggan itu dari Shahrul.

“Saya takut awak pengsan nanti. Kalau awak pengsan, saya yang susah. ” ujar Shahrul lagi. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir doktor muda itu.

“Kau kenal staff aku? ” tiba-tiba Nazrey mencelah seolah-olah terkejut Shahrul Ammar mengenali Adlina.

“Kenal lah. Betul tak Cik Nurina Adlina?”  Adlina hanya mengangguk.

“Biasalah lah bro. It’s a small world after all.” ujar Shahrul Ammar sambil menepuk bahu Nazrey. Sharifah Sarina yang berdiri di samping Nazrey hanya tersenyum. Dari pandangan Adlina, muka Nazrey ketika itu dah macam tapai basi.

“So…Najwa dah lepas. Bila pulak turn kau dengan Sarina? ” Pertanyaan itu diajukan kepada Sharifah Sarina dan juga Nazrey. Sebelum Nazrey sempat menjawab, Sharifah Sarina dengan segera mencelah.

“Kita akan bertunang tak lama lagi. Mungkin dalam masa yang terdekat kita akan melangsungkan majlis pertunangan dan pernikahan serentak. Lagipun kedua belah keluarga dah bersetuju.  Tinggal nak confirm date saja.”  Dengan penuh bersemangat, wanita jelita itu berkata.

Shahrul Ammar berbisik ke telinga Nazrey. Kata-kata bisikannya begitu jelas kedengaran di telinga Adlina. Ketika itu Sharifah Sarina sedang berbicara sebentar dengan salah seorang tetamu.

“Psssttt! Bro, Sally mana kau nak campak? ” Dalam masa yang sama, Sharifah Sarina memandang ke arah dua jejak itu.

“Apa you all bisikan ni? “tanya Sharifah Sarina. Mukanya seolah-olah tidak berpuas hati.

“Tak ada apa-apa. Hal lelaki. Ohh by the way, congratulations to both of you”. Shahrul Ammar menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Nazrey. Adlina hanya mendiamkan diri. Tiada apa yang harus dikatakan. Malahan Adlina dapat merasakan suasana ketika itu begitu hangat sekali. Mata Nazrey pula bagai mahu menelan  Sharifah Sarina sebaik sahaja Shahrul Ammar mengucapkan tahniah.

“Tanya kita, you all bila pula Shahrul?” tanya Sharifah Sarina.

“Kita eh? Hmmm….nak kena tanya cik kak kita yang manis berbaju biru ni? Tinggal hantar rombongan meminang. Insha Allah, kalau ada jodoh tak akan kemana”  balas Shahrul Ammar mengenyitkan matanya pada Adlina memandang ke arah Shahrul. Kedengaran seperti mengusik tetapi muka Shahrul begitu serius sekali. Nazrey  mengetap bibirnya menahan geram setelah mendengar jawapan dari Shahrul. Entah apa yang Nazrey tidak berpuas hati, Adlina tidak mengetahui.

“Jangan clash dengan kita sudah. Kalau dah confirm jangan pula lupa jemput kita berdua” ujar Sharifah Sarina. Hanya Adlina dan Nazrey sahaja mendiamkan diri. Nazrey memandang tepat ke anak mata Adlina sehingga dia harus melarikan diri. Kenapa pulak si serabai ni. Dah macam nak telan orang pulak. Tiba-tiba, kedengaran deringan telefon bimbit milik Shahrul.Setelah menamatkan panggilan, Shahrul meminta untuk pergi. Menurutnya, ada pembedahan kecemasan yang perlu dilakukan olehnya di hospital. Shahrul bergegas keluar dari kediaman mewah itu tetapi sempat mengenyitkan mata dan menyampaikan pesanan kepada Adlina yang dia akan berhubungan Adlina lagi.

Adlina pula berasa kurang selesa ketika bersama dengan Nazrey dan Sharifah Sarina. Perbualan mereka berdua banyak menjurus kepada persiapan. Tetapi Sharifah Sarina lebih beria daripada Nazrey. Lelaki itu kelihatan banyak mendiamkan diri dan berkata-kata.  Adlina membuat keputusan untuk pulang memandangkan majlis bakal berakhir tidak lama lagi. Jikalau Shahrul Ammar masih di situ, ia akan mengurangkan rasa kekok Adlina bila berhadapan dengan merpati dua sejoli. Lagipun ramai tetamu yang sudah beransur pulang. Nadia pula kelihatan begitu sibuk melayan tetamu yang hadir. Hanya si mamat serabai ini selesa berada si sini bersama Sharifah Sarina daripada melayan tetamu. Sharifah Sarina pula seperti seekor belangkas. Kemana Nazrey berada, di situ Sharifah Sarina ada.

Ketika Adlina mahu menapak keluar dari  pintu pagar kediaman Tan Sri Hishamuddin, tangan kanannya direntap perlahan manakala mulutnya ditekup. Adlina memalingkan badannya dan dengan sekuat tenaga yang ada hampir melayangkan satu penumbuk kepada penyerangnya. Ketika itulah, Adlina menyedari penyerangnya itu tidak lain dan tidak bukan Dato’ Nazrey Shah Iskandar.

“Boleh tahan jugak eh. Selain mempunyai mulut yang laser, kaki tangan you ni pantas jugak. Kalau tak tahan tadi, seminggu I berkhemah dalam hospital.” Nazrey memulakan mukadimahnya.

“Dato’ ni dah kenapa. Kalau dah tak nak berkhemah dalam hospital, kenapa Dato’ buat begini. Sampai nak merentap pergelangan tangan saya. Nasib baik saya tak bedal Dato’ . Saya baru nak buka pintu kereta. Kenapa di sini? Sharifah Sarina di mana pula?” kata Adlina kebingungan.

” Tak padan dengan badan kecil. Ahh.. biarkan dia dengan mummy dan kakak I. Anyway, I am sending you home.”

“Ehh.. tak payah susah-susah. Saya boleh pandu kereta sendiri. Bukan kena naik bas atau jalan kaki. Rumah Dato’ pun bukan jauh dari sini” Adlina menolak pelawaan Nazrey.

“You tak takut ke? Kawasan ni dengar-dengar keras. Berhantu. Ramai yang dah kena sampuk” Nazrey cuba menakut-nakutkan Adlina.

” Eeee. Seramnyaaa. Maaf Dato’. Bukan nak cakap besar. Hantu saya tak begitu takut. Baca ayat Kursi. Insha Allah. Hilang lah dia. Tapi saya lagi takut  dengan hantu macam Dato’ ataupun Dato’  ni  pun dah terkena sampuk” perli Adlina.

“Sedapnya mulut tu gelarkan orang hantu. Dah dah.. jangan nak banyak cakap. I hantar. Dah malam sangat. Kesian kan..kekasih sendiri tak hantar balik. Sibuk dengan urusan di hospital sampai kekasih hati ditinggalkan” cemuh Nazrey lagi. Adlina tercengang. Dah kenapa pulak dengan mamat serabai ni. Sebelum Adlina dapat membuka mulut, Nazrey sudah merampas kunci kereta dari tangan Adlina dan berlalu pergi.

“Dato’!!! Tak kan saya nak tidur tepi jalan pulak.” jerit Adlina perlahan. Nasib baik tetamu sudah ramai yang beransur pulang.

“Boleh jugak. Tapi  I ni tak sampai hati. Kalau nak, you boleh tidur di dalam rumah . Lagipun rumah Tan Sri banyak bilik.  Dah Dah..  jangan banyak cerita. I nak ambil kereta dari garaj. You tunggu aje di tepi pondok pengawal”

Tidak lama kemudian, sebuah kereta mewah betul-betul berada di hadapan Adlina. Nazrey menyuruh Adlina masuk ke dalam keretanya. Suka memaksa betul mamat serabai ni. Entah kenapa Adlina sendiri tidak pasti kenapa dia dengan rela hati mengikut kata Nazrey.

Semasa berada di dalam kereta, kedua-duanya melayan perasaan. Hanya kedengaran lagu-lagu balada diputarkan di corong radio. Songkok yang dipakai oleh Nazrey diletakkan di belakang kereta.  Kereta mewah Ferrari itu membelah jalanraya. Ketika kereta mewah itu membelah jalanraya, angin bertiup kencang sehingga Adlina merasakan tudung yang dililt bagai terlepas dari ikatan. Sudahlah kereta mewah ni tidak berbumbung. Adlina cuba menahan tudungnya yang ditiup angin kencang.Buat pertama kali dalam seumur hidupnya, Adlina dapat menaiki kereta mewah seperti Ferrari.

“Dato’.. boleh perlahankan kelajuan tak. Habis tudung saya.” Adlina mengeluh.

“Takkan  nak bawak kereta mewah ni macam siput. ” Nazrey ketawa terbahak-bahak. Adlina mengetap bibirnya menahan geram. Sepanjang perjalanan, Adlina harus menahan tudungnya dari berterbangan. Nazrey pula tidak habis-habis mentertawakannya.

Adlina memerhatikan dari ekor matanya lelaki yang sedang memandu kereta mewah itu. Ahhh.. lelaki ini punya citarasa yang tinggi. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, semuanya mewah. Jam tangan lelaki itu juga dari koleksi jenama Frank Muller yang harganya mencecah ribuan ringgit.

“Kereta tu  nanti I akan suruh driver hantarkan. Tak payah bimbang ” suara garau itu memecah kesunyian.

“Hmm..”  Hanya itu yang Adlina mampu kata pada saat itu. Adlina lebih rela memandang panorama di sekitar Kuala Lumpur dan melayan perasaannya daripada berbicara dengan lelaki yang berada di sebelahnya. Entah kenapa Adlina cuba menutup kegusaran yang kembali bertandang. Walaupun Nazrey sudah menanggalkan songkoknya, lelaki itu kelihatan begitu kacak pada pandangan Adlina. Lelaki itu masih berbaju melayu dan bersamping. Kalau orang luar melihat, pasti mereka ingatkan pengantin lari dari majlis pernikahan. Silap haribulan nanti, kisah mereka akan terpampar di dalam dada akhbar. Maklumlah, lelaki ini kan idaman satu Malaya. Punya paras rupa dan kaya. Wanita mana yang tidak tergila-gilakannya. Malah, wajah lelaki itu banyak menghiasi majalah usahawan. Malah boleh diketegorikan sebagai seorang usahawan ‘selebriti’.

“Dato’ sepatutnya berada di rumah. Melayan tetamu yang masih ada. Kasihan bakal tunang Dato’ . Takut dia tercari-cari pula.”

“Ahhh.. ada suara rupanya. Ingatkan dah bisu tadi sebab menjerit tadi. Jeles? Biarkan lah dia di situ.” Adlina memandang ke arah Nazrey yang masih tersenyum menampakan lekuk lesung pipit di wajah lelaki itu. Deringan dari telefon bimbit Adlina tiba-tiba kedengaran.

“Assalamualaikum. Yup.. Shahrul ya.. Hmmm….” Adlina hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Tidak berapa kemudian, Adlina mematikan panggilan dari Shahrul Ammar. Nazrey pula membuntangkan matanya memandang Adlina.

“You dengan Shahrul ada apa-apa ke?” tanya Nazrey tiba-tiba.

“Ada apa-apa? Maksud Dato’?”

” Come on..Jangan nak act blur Cik Nurina Adlina.” Nazrey mendengus. Mata Nazrey masih tertumpu pada jalan raya yang semakin lengang

“Maksud Dato’ In terms of relationship? Me and Dr. Shahrul Ammar.Kita berdua cuma kawan sahaja.” Dah kenapa mamat serabai ni tanya..bisik hati kecil Adlina.

“You jangan ingat apa-apa. I cuma tanya aje. Yelah dari mata turun ke hati. Ingatkan you berdua ada serious relationship. Lagipun Shahrul is my best friend,” balas Nazrey.

Boleh tahan busybody juga si mamat serabai. Kereta mewah itu akhirnya tiba di luar kawasan kondominium Adlina. Adlina mengucapkan terima kasih kepada Nazrey sebelum melangkah masuk ke dalam kawasan kondominium.

“You jangan risau. I akan pastikan kereta you dihantar esok pagi” kata Nazrey sebelum kereta itu membelah kesunyian malam. Baik di luar pejabat mahupun di dalam waktu pejabat, lelaki itu terlalu mendesak. Adlina mengeluh perlahan sebelum naik ke apartmentnya.

Lewat malam itu, Adlina menerima dan membalas kiriman SMS dari Shahrul Ammar yang ingin berjumpa dengannya hari Isnin waktu makan tengahari. Adlina mengeluh perlahan. Dibuka gambar di telefon bimbitnya. Gambar yang dipetik oleh Nadia ketika dia dan Shahrul berdiri bersama. Ada senyuman dari kedua-duanya. Shahrul Ammar seorang lelaki yang luhur. Tidak mendesak. Adlina begitu senang berkawan dengan Shahrul. Jika dibandingkan Dr.Shahrul Ammar  dan Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar bagai langit dan bumi walaupun masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kerana terlalu keletihan, malam itu Adlina terlelap bersama dengan gambarnya dan juga Dr. Shahrul Ammar

Keesokan harinya, Adlina menerima panggilan dari Nazrey bahawa kereta yang sering dipandunya kini berada di dalam perkarangan kawasan kondominium. Apabila Adlina sampai di tempat tempat pakir, pemandu lelaki itu sudah terpacak di perkarangan kondominium pada pukul lapan pagi bersama dengan kereta Adlina yang ditinggalkan semalam. Adlina mengeluh perlaha .

Ini semua gara-gara mamat serabai yang ungkal. Kalau tidak kerana lelaki itu, keretanya sudah pasti terpakir elok semalaman.Nasib baik Nazrey menyuruh pemandunya menghantar kereta. Kalau tidak agak sukar untuk mengambil kembali keretanya kerana kawasan perumahan elit itu jauh dari pengangkutan awam. Adlina kemudian mengambil kunci kereta dari pemandu peribadi Nazrey sebelum pemandu itu berlalu pergi.

Image

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s