Ingatkan Dia – Bab 8

Standard

Aku menoleh ke sebelah kiri. Pemuda yang berada di sebelah tempat dudukku sedang asyik menonton filem yang dipaparkan di skrin depan tempat duduknya. Penumpang yang lain kebanyakkannya sudah tertidur. Aku tidak sebenarnya tidak selesa berada di dalam perut kapal terbang terlalu lama. Bayangkanlah semasa aku di dalam penerbangan dari Singapura ke Glasgow beberapa tahun yang lalu. Cuma Tuhan sahaja yang tahu berapa terseksanya berada terlalu lama di dalam kapal terbang. Baru beberapa jam yang lalu, aku serta penumpang yang lain dihidangkan dengan makanan oleh pramugari yang bertugas Tahap kebosananku berada di tahap tertinggi. Rasanya setiap apa yang masuk ke saluran kerongkongku tidak punya apa-apa rasa. Memandang perutku sudah berkeroncong sedari tadi, aku paksa diriku untuk menelan apa sahaja yang dihidang

.

Sekali lagi, aku membayangkan masakan ibu seperti ayam lemak cili padi, asam pedas ikan duri dan nasi rawon yang menjadi kesukaanku selama ini. Aku menelan air liurku bila membayangkannya. Nasib baik cuma seminggu sahaja aku dihantar ke Jepun. Kalau setahun, aku rasa mukaku sudah seiras ikan salmon mentah. Aku layankan mataku tanpa menghiraukan penumpang yang berada di sebelahku.. Aku tidak sedar bila aku tertidur sehinggakan bila aku bangun, kepalaku sudah terlentok di bahu kanan lelaki yang berada disebelahku. Aduhai, kenapa aku boleh tertidur sampai di bahu lelaki yang berada di sebelahku. Aku diterpa dengan perasaan yang sangat malu. Manalah tahu, sepanjang aku tertidur di bahu lelaki itu, mulutku ternganga dengan air liur basi meleleh. Aku terasa wajahku kian hangat menahan malu yang sukar untuk diungkap.

 

“Sorry.. sorry.” Itu sahaja yang mampu aku ungkapkan ketika itu. Lelaki itu memandangku dengan wajah yang sukar untuk aku tafsirkan. Aku membetulkan tudungku yang aku rasakan seperti sudah agak senget sedikit. Mukaku merah menahan malu apabila lelaki itu memberikan pandangan yang agak tajam.

 

“Tak apa. Bahu saya memang cap “Dunlopillo”. Kalau awak rasa letih lagi, dipersilakan lah.” kata lelaki itu sinis.

Aku tak tahu samada lelaki itu sekadar bergurau . Tetapi bila aku pandang lelaki itu,  aku rasakan senyumannya seperti agak sinis. Selepas itu yang aku dengar sedikit omelan yang terkeluar dari mulutnya. Entah apa yang diomelkan. Loghat yang digunakan seperti dari salah satu negeri Pantai Timur di Malaysia; Kelantan. Rasa-rasanya lelaki yang bertubuh sasa dan tinggi lampai macam tiang lampu ni ‘Abe Kelante’. Mungkin dari raut wajahnya, aku meneka dia berusia di dalam lingkungan awal tiga puluhan atau mungkin pertengahan tiga-puluhan

 

Teringat semasa aku ke Kota Bahru Kelantan beberapa tahun yang lalu. Ketika itu, aku mahu membeli roti prata atau di Malaysia yang dikenali sebagai roti canai untuk sarapan. Jadi aku bertanyakan salah seorang wanita yang berada di tepi jalan. Oleh kerana aku tidak beberapa faham sebutannya, aku seperti terdengar wanita itu mengatakan kalau mahu membeli roti canai, kena pergi ke ‘Kedah’. Takkan lah hendak membeli dua keping roti canai, aku harus ke ‘Kedah’. Setelah berfikir seketika secara waras, rupanya ‘Kedah’ yang dimaksudkan ialah kedai. Aku hampir tergelak sekuat hati di dalam kapal terbang bila memikirkan tahap ‘keselenge-an’ aku.

Lelaki di sebelahku memandangku dengan seribu kerutan.

 

Selepas itu, ada sedikit omelan dari lelaki itu yang aku tak berapa faham dan tangkap loghat perbualannya. Malas mahu melayan omelan dari lelaki yang duduk disebelahku, aku menyambung menonton cerita-cerita yang disediakan di skrin kecil di hadapanku. Beberapa minit kemudian, aku terdengar dengkuran kecil disebelahku. Rupanya ‘Abe Kelante’ dah penat mengomel sampai tertidur-tidur. Aku kerling mataku. Aku amati seketika lelaki itu mempunyai kulit cerah serta kumis nipis. Tak sangka lelaki pun kuat mengomel juga.

 

Tiba-tiba, lelaki itu menggerakkan sedikit badannya dan menoleh ke arahku. Aku cepat-cepat mengambil apa sahaja yang ada di depanku untuk pura-pura membaca serta membetulkan tudungku.

 

“Bagus kalau kita sekali-sekala ambil tahu tentang perihal kecemasan di dalam kapal terbang. Manalah tahukan kalau kita dah terlupa apa nak buat.”

 

Aku lihat kertas yang ada di dalam tanganku. Rupanya aku sedang memegang informasi tentang kecemasan yang berlaku di dalam kapal terbang dan bagaimana penumpang harus beriaksi jika ada seberang kecemasan. Darah terus menyerbu ke wajahku. Rasanya panas lagi berbahang. ‘Abe Kelante’ macam nak nak kenakan aku. Aku pandang mukanya. Lelaki itu sedang senyum senget dengan lesung pipit terserlah di pipi kanannya. Aku pusing ke arah tingkap kecil di sebelahku. Apa yang tersingkap di sebalik kaca tingkap pesawat hanyalah kepulan awan sahaja. Tanpa menghiraukan kata-kata daripada lelaki itu, aku terus menyandar ke belakang badan di tempat dudukku dan memejamkan mata.

 

“Ilyas Effendy.” Aku terdengar suara lelaki itu tiba-tiba memecahkan kebisuan. Tempat duduk di sebelahnya kosong. Mulutku terlebih pantas dari akal fikiranku.

“Ohh hai! Saya Zafirah” jawabku seraya sambil menoleh ke arah lelaki itu. Lelaki itu memandangku kehairanan.

 

Aduhai, maluku sudah setebal berinci- inci. Lelaki di sebelahku rupa-rupanya sedang bercakap dengan pramaguri yang bertugas. Kalau boleh, mahu aku sorok mukaku di bawah tempat duduk. Lelaki itu menoleh ke arahku dengan sebuah pandangan yang sukar dimengertikan. Aku lihat seribu kerutan di wajahnya. Mungkin dibayangi dengan seribu persoalan. Rasanya penerbangan ini seolah-olah lagi lama dari penerbanganku ke Glasgow. Aku sudah rasa tidak betah berada di dalam pesawat. Punggungku sudah panas seperti sedang disalai di atas unggun api. Aku seolah-olah tidak sabar menanti pesawat ini mendarat di Lapangan Terbang Changi walaupun aku tahu longgokkan kerjaku di gudang sedang menantiku.

 

Ingatkan Dia – Bab 7

Standard

Beberapa bulan yang lepas, aku disuruh oleh pihak pengurusan untuk terbang ke Matsuyama Jepun untuk menghadiri latihan di sana. Seminggu di sana seperti berbulan lamanya. Semasa di Matsuyama, aku menghitung hari untuk terbang ke Singapura. Hampir setiap hari, aku terpaksa menelan mee segera dalam cawan. Jika ada masa, aku akan cuba masak di rumah sewa yang disediakan oleh syarikat. Baru sebentar tadi, Adam menghantar pesanan ringkas mengatakan yang dia tidak dapat untuk menghantarku ke Lapangan Terbang Narita.

 

Aku sudah mengenali Adam sejak dari zaman universiti lagi. Selama menuntut di University of Glasgow, dia diantara segelintir pelajar yang berasal dari Singapura. Semasa aku membuat kursus ‘sandwich’, Adam pula di tahun akhir kursus kejuruteraan mekanikal. Aku mengenali Adam ketika pertama kaki menjejakkan kaki di bumi Scotland. Adam pula baru sahaja pulang dari Singapura untuk bercuti. Dia yang banyak membantuku ketika diawal aku cuba menyesuaikan diri di perantauan. Dan kini, Adam selalu berulang-alik dari Singapura ke Tokyo atas urusan kerja setelah tamat belajar. Sepanjang aku di negara matahari terbit, Adam banyak membantuku untuk pergi ke Matsuyama memandangkan aku kurang arif di Jepun.

Sebulan yang lalu sebelum aku ke Jepun, berbagai insiden telah berlaku di gudang. Azman, pemandu forklif dibuang kerja kerana kecuaiannya mengangkat rak- rak besi berisi beg resin. Dan seminggu yang lalu sebelum aku bertolak ke Jepun, satu lagi insiden berlaku di gudang.

 

“Cik Zafirah, ada hal kecemasan di gudang.” beritahu Prakesh. Aku baru sahaja selesai makan tengahari.

 

“Ada apa Prakesh?” tanyaku. Mukanya nampak begitu stres. Pertanyaanku masih belum dijawab.

 

“Prakesh…. ada apa? Dan kenapa?” aku ajukan soalan sekali lagi. Aku berasa agak tidak sabar bila soalanku tidak dijawab dengan serta merta.

“Jari Cheong terputus.” jawab Prakesh terketar-ketar. Bila aku dengar perkara itu daripada mulut Prakesh, jantungku bagai nak tercabut pada masa itu. Aku menarik nafas dalam-dalam. Akalku sudah ligat berfikir tentang langkah-langkah prosedur yang perlu diambil jika sebarang insiden sebegini berlaku di gudang.

 

“Di mana Cheong berada sekarang ini? “ tanyaku lagi.

 

“Dia masih di ‘vanning area’. Rosli dan Razak sedang buat bantuan kecemasan.”

 

Stacy memandangku dengan pandangan yang kosong. Begitu juga dengan Kamala. Aku terus arahkan Stacy menelefon bahagian keselamatan memberitahu mereka apa yang terjadi di gudang. Aku bergegas turun ke gudang bersama dengan Prakesh. Aku lihat Cheong sedang mengerang kesakitan. Ramai pekerja-pekerja gudang mengerumuni Cheong.

 

Aku arahkan Razak untuk mengambil ‘cooler’ yang diisi dengan ketulan ais untuk meletakkan hujung jari Cheong yang putus. Rasanya mahu sahaja aku pitam di situ bila melihat keadaan jari Cheong. A Tidak lama kemudian, sebuah ambulan datang untuk membawa Cheong ke hospital bersama dengan bekas yang mengandungi sebahagian jarinya yang terputus.

 

“Bagaimana jari Cheong boleh terputus? Beritahu saya sekarang.” tanyaku dengan nada yang tegas. Ramai pekerja sudah berlalu pergi untuk menyambung pekerjaan mereka yang tergendala.

 

“Sebentar tadi, saya sedang mengisi borang kaji selidik untuk eksport Cheong menjerit meminta tolong. Bila saya lihat bajunya sudah basah dengan kesan darah.” jelas Lim juru ukur logistik.

 

“Sorry sister, saya ingat tiada sesiapa di pintu kontainer. Jadi saya tutup sebab Lim mahu ‘seal’ kontainer. Rupanya jari Cheong ada di situ. Banyak banyak sorry lah sister.” terang Mullah Uddin, pekerja Bangladesh di situ.

Aku terdiam seribu bahasa dan cuba menghadam segala apa yang diterangkan oleh Mullah Uddin. Lepas satu insiden ke satu insiden. Dan kali ini piawaian keselamatan dilanggar. Kerana kecuaian mereka, aku akan menjadi sasaran pihak pengurusan. Aku tahan segala rasa yang ada. Sudah beberapa kali, pekerja-pekerja di gudang ini di beri taklimat tentang keselamatan. Akibat sikap ambil sambil lewa, insiden-insiden sebegini berlaku.

 

Lamunan aku terhenti apabila pengumuman daftar masuk untuk penerbangan ke Singapura.Aku pandang ke papan informasi penerbangan di hadapanku. Sudah masanya untuk aku ‘check-in’. Aku terus mengorak langkah untuk mendaftar masuk sebelum ke bahagian immigrasi.

 

Apabila masuk ke dalam perut kapal terbang, pramugari yang bertugas menunjukkan ku tempat duduk yang tercatat di tiket penerbangan. Aku akhirnya berjaya menemukan tempat dudukku. Aku bakal menghuni tempat duduk J33 selama lapan jam penerbangan dari Tokyo ke Singapura. Tidak lama kemudian, tempat duduk disebelahku dihuni oleh seorang pemuda yang berseluar bermuda dan polo- t putih. Pemuda yang memakai kaca mata hitam Rayban Wayfarer membetulkan tempat duduknya supaya selesa. Dia kemudian memakai fon kepala.Dalam hatiku tertanya-tanya adakah di dalam kapal terbang ada cahaya matahari yang sangat terik sehinggakan perlu memakai kacamata hitam. Aku tersenyum sendirian bila mencuri pandang lelaki yang duduk .

 

Beberapa minit kemudian, kapal terbang yang aku naiki terus membelah awan. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke Singapura. Sudah terbayang-bayang di fikiranku rendang daging serta lontong hasil dari masakan ibu akan menjadi santapanku bila aku tiba dirumah.

 

 

 

 

 

Ingatkan Dia – Bab 6

Standard

Aku berasa di awangan ketika menaiki VNA dan berasa agak gayat ketika melihat ke bawah bila aku berada di rak tingkat sepuluh. Bayangkan VNA itu bergerak perlahan-lahan. Kalau boleh, aku mahu menghabiskan pemeriksaan ke atas barang-barang stok di gudang 2. Tali keselamatan aku ikat di tempatnya. Tanganku berasa agak sejuk ketika VNA itu bergerak naik ke atas. Sememangnya aku takut pada tempat yang tinggi. Raju yang berada di sebelahku tersenyum bila melihat wajahku yang putih seperti mayat.

 

Aku menyuruhnya menurunkan VNA ke bawah setelah aku selesai memeriksa stok. Akhirnya aku mampu menarik nafas lega kerana sudah selesai melakukannya. Sedang aku menulis angka di dalam kertas laporan, bunyi walkie-talkie yang tersangkut di kocek baju seragamku berbunyi.

 

“ Warehouse 1 to Base over!” Kedengaran suara Razak di walkie-talkie. Aku terus mencapainya dan menekan butang untuk bercakap.

 

“Send over” aku menjawab kembali.

 

“I need help in warehouse 1 urgently” kata Razak dengan nada yang agak cemas.

 

“Roger and out!”. Aku terus membuka ikatan tali keselamatan yang diikat di VNA lalu mengorak langkah dengan pantas. Di dalam hatiku berdoa semoga tiada apa-apa yang serius berlaku di gudang 1. Tiba di gudang satu, jantungku bagaikan mahu terkeluar. Mukaku sudah masam mencuka apabila melihat empat bag berisi ‘resin’ bertaburan di atas lantai gudang bersama dengan empat rangka rak. Sebuah forklif terpakir disebelahnya.

 

“Apa yang dah berlaku, Razak?” tanyaku. Pegawai keselamatan di komplex kimia ini sedang sibuk mengambil gambar.

 

“Empat rak terjatuh tadi” jawab Razak.

“Empat rak jatuh sekaligus? Macam mana boleh jadi begini?” Siapa pemandu forklif nombor dua?” tanyaku. Padanganku masih terarah ke bahan-bahan resin dan rak yang jatuh di lantai.

 

“Azman cuba ambil empat rak sekaligus. Hilang pertimbangan dan semuanya jatuh di lantai.” Aku pandang ke arah Azman yang berdiri berdekatan dengan forklif. Mahu sahaja aku tarik telinganya dan ketuk kepalanya. Prosedur atau  ‘Standard Operating Procedures (S.O.P) mengangkat rak besi mengandungi beg resin tidak melebihi satu sudah diketahui oleh semua pekerja. Malahan pekerja-pekerja gudang selalu diingatkan semasa ‘briefing’ yang diadakan setiap pagi. Aku terus memanggil Azman untuk naik ke atas pejabat setelah pegawai keselamatan mengambil laporan.

 

Azman menarik kerusi dan duduk mendiamkan dirinya. Encik Tetsuya Nakamura dan Encik Sato Hiroyuki masuk ke dalam pejabatku. Aku mengambil tempat duduk bertentangan dengan Azman.

 

“Azman, bagaimana boleh terjadi? Empat rak dengan beg berisi resin seberat lapan ratus lima puluh kilogram setiap satu jatuh.” Azman mendiamkan diri bila ditanya olehku. Kemudian aku terdengar keluhan yang agak perlahan dari mulut Azman

 

“Saya.. saya  cuba ambil semua empat rak sekaligus,” jawab Azman tersekat-sekat.

 

“Kenapa? Awak tahukan yang prosedur untuk mengangkat beg seberat lapan ratus lima kilogram dengan rak besi tidak boleh diambil melebihi satu. Forklif tak dapat menampung berat itu.” kataku geram.

 

Azman hanya menundukkan kepalanya. Aku mengagak yang dia amat menyesali dengan perbuatannya. Tetapi nasi sudah jadi bubur.

 

“Nasib baik resin dan rak tak jatuh timpa awak. Kalau tak, dengan nyawa awak sekali melayang.”

 

Akhirnya, pengurus kananku serta pengurus kanan di bahagian keselamatan mengambil keputusan untuk memberhentikan Azman dua puluh empat jam kerana tidak mematuhi peraturan keselamatan di dalam komplex kimia. Aku cuba sedaya upaya untuk menolong Azman tetapi pengurus kananku tetap dengan keputusan untuk memberhentikan Azman dengan serta merta. Aku berasa kasihan dengan Azman kerana dia mempunyai keluarga dan anak kecil yang masih di dalam tanggungannya. Tetapi apakan daya, Azman harus menerima keputusan dari pihak pengurusan. Hilang pekerjaan boleh dicari. Jika hilang nyawa, bagaiman mahu dicari ganti.

Kini bukan sahaja Azman yang diberhentikan kerja bahkan kerjaku bertambah apabila aku terpaksa menyiapkan laporan lengkap tentang kejadian melibatkan Azman. Satu lagi tambahan kerja selain dari kerja-kerja yang masih menimbun dan terbengkalai di atas meja. Aku akui ini adalah asam garam menjadi pengurus logistik di komplex kimia yang agak besar.

 

Aku hanya dapat menyelesaikan laporan tentang kejadian itu bila jam sudah menginjak ke angka enam petang. Ramai pekerja di komplex gudang sudah beransur pulang. Aku tinggalkan seketika pekerjaanku yang masih belum selesai untuk mengerjakan solat asar. Aku ambil beg kecil yang berisi telekung untuk ke bilik solat yang terletak di dalam kantin.

 

Setibanya aku di kantin, tidak ramai lagi pekerja yang berada di situ. Hanya beberapa pekerja asing yang sedang duduk minum petang. Aku tolak daun pintu bilik solat. Rupanya ada orang di dalamnya. Aku ambil kerusi di luar bilik itu lalu duduk menunggu giliran. Beberapa minit kemudian, daun pintu solat ditolak.

Raimi keluar dari bilik itu dan memakai kasut keselamatan. Rambutnya masih basah. Mungkin dari kesan wudhu. Raimi masih leka memakai kasut keselamatan tanpa menyedari aku memerhatikannya. Raimi seorang yang agak rendah ketinggiannya jika dibandingkan dengan rakan-rakannya. Namun raut wajahnya yang sentiasa tenang menjadi kegilaan Kamala dan beberapa pekerja wanita yang belum berumahtangga. Raimi kemudian mendongakkan kepalanya dan menangkap aku yang leka memerhatikannya.

 

“Cik Zafirah nak pakai bilik solat? Saya dah selesai.” Suaranya menyentakkan lamunanku seketika. Mukaku tiba-tiba menjadi merah padam. Aku lihat Raimi tersenyum. Mungkin kerana gelagatku yang leka memerhatikannya.

“Ah ah. Dah habis pakai?” Aku menggaruk kepalaku. Tudung di kepala aku cuba betulkan. Sebenarnya aku ingin menutup malu kerana memerhatikan Raimi sedari tadi. Raimi hanya menganggukkan kepalanya. Aduhai kenapalah boleh tertangkap kali ini. Tanpa membuang masa aku terus menunaikan kewajipanku pada yang Maha-Esa.

 

Aku ingat Raimi sudah pulang. Rupanya masih duduk sambil melayari internet di telefon bimbitnya.

 

“Tak balik lagi?” tanyaku sekadar berbasa-basi.

 

“Belum.” jawabnya sekilas. Aku mengangguk dan terus berjalan keluar. Tetapi langkahku terhenti bila aku teringatkan sesuatu. Aku palingkan mukaku ke arahnya yang sedang memerhatikanku.

 

“ Terima kasih kerana bersusah payah belikan sarapan “ kataku. Ingin sahaja aku mengatakan kepadanya supaya berhenti membelikan sarapan untukku tetapi mulutku tiba-tiba terkunci. Segala ayat tersekat di kerongkong. Aku hanya melihat dia tersenyum.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ingatkan Dia – Bab 5

Standard

Bau dari dapur sudah membuat perutku berkeroncong dan berdondang sayang. Ibu sedang sibuk di dapur untuk menyediakan juadah sarapan pagi. Abang Aidil pula sudah bersiap sedia untuk pergi ke kerja. Ayah pula masih di dalam bilik mandi. Aku terus menarik kerusi dan terus duduk bertentangan dengan Abang Aidil.

 

Jika dilihat pada pandangan mata kasar, ramai yang menyatakan abangku yang sulung, Abang Aidil agak pendiam. Mungkin dari raut wajahnya yang tenang. Tetapi bila bersama dengan keluarga, Abang Aidil yang paling banyak bersuara. Aku cedok nasi goreng ke dalam pinggan dan memberikan kepada Abang Aidil yang masih menikmati minuman air kopi.

 

“Zafirah balik pukul berapa nanti?” tanya Abang Aidil sambil menghirup kopi yang masih agak panas.

 

“Tak tahu lagi. Kalau tak ada apa-apa hal, mungkin Firah akan balik cepat.” Aku menyuap nasi goreng ke dalam mulutku.

 

“Abang ambil Zafirah macam biasa. Tunggu abang.” arah Abang Aidil. Ibu keluar dengan sepinggan cekodok pisang yang baru digoreng.

 

“Ibu dah cakap. Zafirah belilah kereta yang kecil. Lagipun harga pemilikan (COE) kereta dah turun. Kalau tak cukup duit, beritahu ibu. Ibu boleh berikan duit cengkeram” sampuk ibu. Ibu kemudian menuangkan air kopi ke dalam cawan.

 

“Nanti Zafirah fikirkan.” jawabku. Tidak mengiakan mahupun menolak saranan ibu. Abang Aidil hanya mengganguk.

 

“Lagipun Zafirah selalu balik lambat. Tempat kerja Zafirah pun jauh. Kalau Abang Aidil outstation macam mana? Siapa nak ambil Zafirah?” bebel ibu lagi.

“Kalau Abang Aidil tak ada, ayah kan boleh tolong ambil. Kalau tak pun, Zafirah pakai kereta Abang Aidil. Buat apa nak membazir.” Aku menghabiskan nasi yang masih bersisa di atas pinggan lalu mengangkat pinggan ke dapur.

 

“Cakap pasal kereta, anak ibu yang jelita ni belum lagi ada teman istimewa ke?” tanya ibu sambil tersenyum. Ayah mengambil tempat duduk Abang Aidil.

 

“Ibu tanya Zafirah atau Abang Aidil?” Aku sengaja mengajukan soalan itu kepada itu padahal aku tahu dia sedang menyoalku.

 

“Zafirah lah. Ibu bukan tanya Abang Aidil.”

 

“Abang Aidilkan bujang terlajak. Tanya dia lah. Nanti kalau Firah kahwin dulu, dah serupa langkah bendul.”

 

“Yelah tu Zafirah. Nak mengelak lah tu ibu.” ajuk Abang Aidil. Abang Aidil pernah putus tunang tiga tahun yang lalu. Sejak dari kejadian itu, Abang Aidil tidak pernah menyebut lagi tentang isu perkahwinan atau teman istimewa. Hidupnya hanya bekerja dan bekerja.

 

Bekas tunang Abang Aidil, Kak Mila sudahpun berkahwin dengan jejaka lain. Waktu itu, Kak Mila sedang menuntut di salah sebuah universiti di Australia. Manakala Abang Aidil masih bekerja di Singapura setelah tamat pengajiannya di salah sebuah universiti tempatan. Ramai wanita yang ibu telah syorkan kepada Abang Aidil tetapi jawapannya tetap sama. Mahu menumpukan sepenuhnya terhadap kariernya sebagai jurutera sivil. Mungkin Abang Aidil berasa serik untuk menjalinkan sebarang ikatan dengan mana-mana wanita. Sebagai adik bongsu, aku hanya dapat mendoakan semoga Allah SWT membukakan hati Abang Aidil kembali kerana umurnya sudah pun menginjak ke tiga puluh dua tahun.

 

“ Cepat sikit Zafirah. Takut sesak nanti.” Abang Aidil mengisyaratkanku untuk segera beredar. Aku capai tangan ibu dan ayah untuk bersalaman dengan mereka sebelum keluar dari rumah.

Tiba di komplex kimia tempat aku bekerja, aku lihat Muthu sedang berdiri di luar pondok keselamatan sudah melambaikan tangannya ke arahku. Aku membalasnya sambil tersenyum. Aku ternampak kelibat kereta Nissan Skyline milik Helmi masuk ke dalam perkarangan komplex kimia ini. Motor milik Raimi pula sudah sedia terpakir. Cuma pemiliknya tiada di situ.

 

Seperti biasa aku akan menukar ke baju seragam kerja dan memakai topi dan kasut keselamatan. Aku ikat tali keselamatan atau ‘safety harness’ di pinggangku kerana aku akan membuat pemeriksaan inventori secara rambang di gudang 2. Tali keselamatan aku periksa sebelum melangkah keluar dari bilik persalinan. Tudung di kepala aku betulkan. Kebetulan bilik persalinan berdekatan dengan kantin, aku terus menolak pintu. Bau haruman bancuhan kopi menusuk ke rongga hidungku. Aku lihat ramai pekerja-pekerja di komplex kimia ini masih bersarapan atau membaca akhbar.

Beberapa pekerja memandangku sambil tersenyum. Aku akui tidak ramai pekerja wanita yang berkerja di dalam bidang ini. Ramai kaum keluargaku berasa agak pelik bila aku menyatakan yang aku bekerja sebagai pengurus logistik di komplex kimia.Terpaksa memandu forklif atau VNA jika perlu. Ada yang pernah menyarankan supaya aku mencari kerja lain kerana bimbangkan akan keselamatanku. Tetapi aku begitu selesa bekerja di sini kerana pekerjaan ini agak mencabar. Dan aku pula sukakan cabaran.

 

“Ohayou gozaimasu Zafirah-san.” Encik Tetsuya Nakamura menyapaku di dalam bahasa Jepun

 

“Selamat pagi Nakamura-san.” balas ku sambil membongkokkan separuh badanku untuk memberikan tunduk hormat. Begitulah adat orang-orang Jepun. Mereka akan menunduk hormat.

 

“Hari ini ada ‘stock check’ di warehouse dua?” tanya Encik Tetsuya Nakamura.

 

“Ya. Saya akan buat ‘stock check’ sekejap lagi.” Jawabku kepada ketuaku. Encik Tetsuya Nakamura mengaggukkan kepalanya.

“Selepas makan tengahari saya akan ke gudang. Pagi ini saya ada mesyuarat dengan Masahiko Sato-san dari Tokyo.” beritahu Encik Tetsuya Nakamura kepadaku sebelum berlalu pergi. Aku terus mengayuh basikal untuk ke pejabatku yang terletak di tingkat dua di atas gudang.

 

Kebanyakkan pekerja sudah pun menghidupkan forklif. Aku ternampak Razak dan yang lain-lain sedang memeriksa kargo untuk dieskport. Stacy pula sedang berbual dengan Kamala di luar gudang. Aku terus menaiki tangga untuk ke pejabat.Seperti biasa, di atas mejaku ada sepaket kopi yang masih panas dan satu bungkusan makanan. Kali ini apa pula yang dibelikan oleh Raimi. Aku buka sedikit bungkusan makanan. Dua keping roti prata dan kuah dalca di dalam bungkusan itu. Memandangkan aku sudah pun bersarapan di rumah, aku terus berjalan untuk ke gudang yang terletak di tingkat satu. Secara kebetulan, Stacy dan Kamala sudah sampai di luar pintu pejabat.

 

“Kamala.. Stacy, ada sesiapa nak roti prata dan kuah dalca?” Aku angkat bungkusan itu ke arah mereka.

 

“Kau tak nak makan ke?” tanya Kamala kehairanan.

 

“Bukan tak nak makan, dia takut kena jampi-jampi.” Stacy ketawa terkekek-kekek sambil menutup mulut. Mukaku sudah berubah. Amoi yang di depanku memang nak kena.

 

“Aku dah sarapan di rumah. Nasi goreng ikan bilis.” jawabku. Stacy masih lagi ketawa sehinggakan mukanya berubah menjadi sedikit merah padam.

 

“Eh, Stacy. Apa yang jampi-jampi. Siapa yang kena jampi?” tanya Kamala lagi. Muka Kamala sudah berkerut seribu. Mungkin masih lagi tidak faham. Apalagi, kali ini aku dan Stacy sudah ketawa terbahak-bahak.

 

“Cik Zafirah kita ni takut kena jampi-jampi. Siang malam teringatkan budak Raimi. Sebab tu dia tak nak makan. Kalau kau nak mimpikan si budak Raimi, dipersilakan makan roti prata ini berkuahkan dalca. Aku pasti, hari-hari kau teringatkan dia.” jelas Stacy yang masih kedengaran dengan sisa tawanya.

 

“Budak production tu ke? Yang hensem pakai motor BMW tu? tanya Kamala teruja.

 

“Yelah Kamala. Siapa lagikan. ” jawab Stacy pula. Aku hanya mendiamkan diri. Malas mahu masuk campur.

 

“Stacy, ramai tau yang pakai motor besar. BMW, Suzuki Hayabusa dan African Twin. Tapi dalam banyak-banyak, Raimi sahaja yang hensem.”

 

“Nah, ambil roti prata ni dengan dalca.Kau makan okay.” Aku hulurkan kepada Kamala. Kamala mengambilnya sambil tersenyum.

 

“Kau turun gudang ke Zafirah?” tanya Stacy.

 

“Hari ini aku kena periksa inventori. Kena naik VNA. Nanti aku suruh Raju bawa aku naik VNA.” jelasku.

 

“Hati-hati tau Zafirah.” kata Stacy sebelum aku berlalu pergi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ingatkan Dia – Bab 4

Standard

Entah kenapa aku ingin bersendirian di luar gudang. Mungkin sejak kebelakangan ini kerja di pejabat makin menimbun. Aku pula harus memantau operasi pengeluaran dan gudang setiap hari. Ditambahkan pula dengan Encik Akihito Tanaka yang saban hari akan datang untuk membuat ‘kacau’ setiap pagi. Cuma tiga minggu yang lepas, Encik Akihito Tanaka tiada di Singapura kerana pulang bercuti di negaranya Jepun. Jadi dapatlah aku menarik nafas lega tanpa berhadapan dengan lelaki Jepun yang aku ketegorikan sebagai lelaki kekwat. Teringat tiga minggu yang lepas, Encik Akihito Tanaka datang ke pejabatku untuk bertanyakan itu dan ini.

 

“Zafirah-san, kenapa kos pengangkutan ke gudang luar begitu mahal. Saya nak awak cari syarikat lain yang lebih murah.” bebel Encik Akihito Tanaka sambil mengetuk-mengetuk pen di atas meja.

 

Aku pandang mukanya dengan perasaan yang sukar dimengertikan. Kalau boleh ingin sahaja aku mengetuk kepalanya. Setahu aku, dia juga yang luluskan kos tambahan ini. Nampak sangat dah nyanyuk lelaki Jepun ini walaupun umurnya tiga tahun lebih tua dariku.

 

Pengurus kananku, Encik Tetsuya Nakamura cuba menerangkan bagi pihakku. Namun hampa. Malahan, soalan-soalan cepumas terus disogokkan kepada ku dan Encik Tetsuya Nakamura. Pening aku melayan lelaki Jepun ini. Tiga minggu tanpa dia, hidupku di gudang ini agak ‘terurus’ walaupun kerja semakin banyak kerana operasi eksport ke luar negara semakin meningkat.

 

Aku ambil angin sebentar di luar gudang yang terletak berhadapan dengan laut. Angin laut amat mendamaikan pada waktu. Tiada lagi hiruk pikuk suara pekerja-pekerja gudang dan bunyi forklif. Operasi di gudang dan pengilangan sudah berhenti sejam yang lalu. Ramai pekerja sudah bertukar pakaian dan bersedia di sekitar mesin ‘punch kad’ untuk ‘clock out’.

Aku pandang ke arah laut yang terbentang luas. Angin laut di Pulau Sakra bertiup agak kencang. Hari ini aku boleh menarik nafas lega kerana operasi gudang berjalan dengan agak lancar tanpa sebarang masalah. Aku pula sudah berjumpa dengan Helmi, pengurus pengeluaran tentang pengeluaran saat-saat akhir yang kerap berlaku. Ia berlaku tanpa memberitahu bahagian pengurusan gudang. Maklumat akhir selalu diberikan kepada pekerja bawahan tanpa memberitahu aku, Razak ataupun Encik Tetsuya Nakamura. Tiba-tiba terasa bahuku dicuit seseorang. Agak terkejut sedikit kerana tidak sangka ada seseorang di sebelahku. Aku pandang ke kiriku dan melihat Helmi pengurus pengeluaran di sebelahku.

 

“Macam mana kau tahu aku di sini Helmi?” tanyaku kehairanan memandang Helmi berdiri di sebelahku. Helmi menjongketkan bahunya.

 

“Aku pakai six- sense” Helmi ketawa perlahan.

 

Aku menggelengkan kepalaku sambil tersenyum. Mataku masih terarah ke laut yang berada di hadapanku. Zulhelmi atau lebih dikenali sebagai Helmi oleh rakan sekerja sudah empat tahun bekerja dengan syarikat kimia ini. Apa yang pernah diberitahu kepadaku, dia sebelum ini pernah bekerja dengan syarikat minyak Shell di Pulau Bukom dan  juga Sabah sebagai seorang jurutera kimia.

 

Pengalaman yang diraih Helmi di dalam sektor minyak dan kimia begitu membanggakan. Banyak yang aku pelajari dari Helmi mengenai perkara-perkara yang tidak aku ketahui. Aku pula baru tiga tahun bekerja di sektor kimia dan tiada pengalaman lain sebelum ini. Pernah aku ajukan soalan kenapa Helmi berhenti dari syarikat Shell. Aku tahu syarikat Shell yang sememangnya agak sukar menerima pekerja melainkan mempunyai kelayakkan dan pengalaman yang setimpal. Ramai yang sudah tahu syarikat Shell memberikan habuan yang agak menarik untuk pekerjanya dari segi elaun, gaji, bonus dan berbagai lagi.

 

Alasan Helmi katanya dia begitu rindukan tanahair bila jauh di perantauan. Tambahan pula dia bekerja di pelantar minyak yang terletak di luar pesisir. Walaupun bergaji lumayan, tahap bahaya bekerja di pelantar minyak begitu tinggi sekali.

 

Helmi aku gelarkan bujang ‘terang tang tang’. Umurnya yang bakal menginjak ke tiga puluh tujuh masih tidak berteman. Sudah mempunyai kerjaya yang mantap, kereta mewah dan bakal mendapat rumah tetapi masih bersendirian. Aku tidak pernah bertanyakan dia hal ini kerana menganggap perkara ini agak peribadi. Aku mendapat tahu hal ini daripada Stacy yang agak peramah bila bertanyakan bab-bab peribadi.

 

“Sebelum kau buka mulut, aku nak bagi ‘warning’  jangan tanya perihal kerja. Satu hari aku mengadap kerja-kerja yang tak pernah habis. Naik bosan” aku memberikan amaran. Helmi ketawa terbahak-bahak bila aku cemberutkan mukaku.

 

“Bonus enam bulan kau nak?” tanya Helmi sambil tersenyum memandangku

 

“Mestilah aku nak. Bonus enam bulan makan tak habis cik abang oii..”

 

“Kalau nak bonus enam bulan, kerja pun mesti setimpal dengan habuan yang diberikan oleh syarikat . Mana boleh kerja setakat sapu habuk sahaja dapat bonus enam bulan,” jawab Helmi memandang terus ke arahku. Aku terdiam bila mendengar jawapan dari Helmi. Tidak dapat aku sangkalkan akan kebenaran dari kata-kata lelaki itu.

 

“Kau nak apa sampai cari aku dekat gudang. Dari bahagian production sampai sini jauh sangat kau merantau.”

 

Komplex kimia ini agak luas. Untuk pergi satu jabatan ke satu jabatan yang lain, pekerja di sini harus menaiki basikal yang disediakan. Gudang di mana aku bekerja terletak di hujung komplek kimia ini adalah yang paling jauh sekali jika dibandingkan dengan bangunan administrasi dan kantin.

 

“Nak melepak di sini. Agak tenang bila mengadap laut. Lagipun aku nak tanya pukul berapa kau nak balik nanti.”

 

Aku lihat jam di pergelangan tangan.

 

“Pukul enam setengah nanti. Nak solat asar dulu sebelum tu.” Jawabku

 

“Balik naik apa?” tanya Helmi.

 

“Biasalah. Bas luar kan ada.” jawabku sekadar berbasa-basi.

 

“Nak aku tumpangkan tak sampai Jurong Port Road?” tanya Helmi serius. Aku gelengkan kepala.

 

“Aku bimbang keselamatan kau. Kau pula bersahaja. Kau tau kan di luar tu banyak pekerja asing.” Aku mendiamkan diri. Memang aku akui ramai pekerja asing di luar komplex kimia ini.

 

“Abang atau ayah kau ambil kau macam biasa di Jurong Port Road?”

 

“Abang aku yang akan ambil di sana. Aku dah telefon dia dan kebetulan dia baru habis kerja. Bolehlah aku tumpang.” Helmi mengangguk.

 

Ramai pekerja di syarikat ini tahu yang aku menetap jauh di kawasan timur Singapura. Rakan-rakan sekerjaku hairan mengapa aku tidak memiliki sebarang kenderaan untuk ke tempat kerja kerana tempat tinggalku agak jauh dari tempat dimana aku bekerja. Aku tidak merasakan sebarang keperluan untuk memiliki sebarang kenderaan kerana ayah serta abangku memiliki kereta yang berasingan. Jika aku harus pulang lewat, aku akan menelefon syarikat teksi untuk mengambilku.

“Aku nak tanyakan kau satu soalan tapi kau jangan marah.”

 

“Bergantung pada jenis soalan.”

 

“Kau dengan Raimi ada apa-apa ke? Maksud aku, macam ada perasaan.” Aku tergelak bila mendengar soalan dari Helmi.

 

“Kau rasa?” aku tanya kembali soalan kepada Helmi.

 

“Aku rasa dia yang syok sendiri.” Aku dan Helmi ketawa sekuat hati.

 

“Tapi aku rasa perasaan Raimi terhadap kau agak serius,” kata Helmi sebelum matanya memandang terus ke laut.

 

“Aku hanya anggap Raimi sebagai kawan sekerja sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang,” tingkahku cuba membidas apa yang dikatakan oleh Helmi.

 

“Kalau aku? Bagaimana?” tanya Helmi memandang terus ke dalam anak mataku

 

“Dengan kau? No way!”

 

“Why?” tanya Helmi lagi

 

“Kau tu dah tua tahap maxima,” jawabku sambil ketawa. Muka Helmi aku lihat sudah berubah kemerahan menahan geram dengan jawapan yang aku berikan kepadanya.

 

“Kau jangan cakap habis. Silap haribulan lelaki tua macam aku ini buat kau tersungkur dengan cinta,” kata Helmi geram

 

Helmi terus berjalan keluar dari gudang dengan tanpa berkata apa-apa seolah-olah berkecil hati denganku.

Seperti biasa, sementara aku menantikan bas datang, Helmi akan memberhentikan keretanya di bahu jalan. Setelah aku selamat menaiki bas, barulah kereta yang dipandu Helmi berlalu pergi. Hampir setiap hari, Helmi akan buat begitu. Menantikan aku selamat menaiki bas, barulah dia beransur pergi.

 

Pada aku, Helmi seorang rakan sekerja yang prihatin dan baik hati. Pernah dia suarakan kebimbangannya tentang keselamatan aku bila aku pulang lewat waktu malam. Aku pula hanya ambil sambil lewa kerana tidak selalu aku akan pulang lewat. Kalau aku lewat sekalipun, ramai pekerja-pekerja gudang akan berada di perhentian bas. Walaupun begitu, Helmi akan tetap menanti di bahu jalan seperti biasa melainkan jika dia bercuti.

 

 

 

 

 

Ingatkan Dia – Bab 3

Standard

 

“Zafirah, saya mau bagi tau sama you yang warehouse kita tak ada tempat untuk simpan kargo production. Production manager ada cakap mau tabah lagi enam ribu tan keluar dari line production nombor dua dengan tiga” kata Steven salah seorang pemandu forklif di situ.

 

Aku terus tercengang. Kenapa bahagian pengeluaran tak beritahu yang ada tambahan enam ribu tan akan dikeluarkan. Aku fikir sejenak sambil berkira-kira berapa akan masuk ke dalam gudang. Semua sedia maklum tempat untuk menyimpan kargo amat terhad dan terpaksa di simpan di gudang luar dari kawasan pengeluaran. Aku pandang Steven dengan sebuah pandangan yang kosong. Sebelum aku jumpa pengurus pengeluaran, lebih baik aku fikirkan dimana aku harus simpan barang-barang pengeluaran yang baru.

 

Steven sudah berkerja sebagai pemandu forklif di syarikat tempat aku bekerja selama dua tahun berdiri bagai patung cendana menunggu arahan dariku. Steven seorang pekerja yang begitu rajin pada pandanganku. Dia akan sedia bekerja lebih masa jika aku perlukan tenaga pekerja untuk membereskan segala pekerjaan yang berkaitan dengan eksport dan bahagian gudang.

 

“Sekejap Steven. Saya naik atas untuk periksa kalau gudang nombor dua ada tempat isi kargo tambahan. Suruh Rosli jumpa saya.” arah aku kepada Steven.

 

“Pukul dua petang, line production dua dengan tiga akan mula. You mahu letak kargo tu dimana? tanya Steven lagi

 

“Kalau tak ada tempat, you tolong suruh yang lain letak dekat tepi rak nombor sepuluh dan sebelas. Nanti saya periksa dengan Stacy jika ada sebarang eksport.”

 

Tanpa membuang masa aku terus naik tangga dan masuk ke dalam pejabatku.

 

“Kamala, printkan barcode. Production line dua dengan tiga akan dimulakan tidak lama lagi. Lepas tu, panggil Ahmad ambil barcode. Razak, berikan saya laporan tentang rak-rak kosong di dalam gudang satu dan dua.” Aku terus memberikan arahan. Tanpa membuang masa, Kamala dan Razak terus melakukan apa yang disuruh.

 

“Pihak pengeluaran tak bagitahu kau ada tambahan?” tanya Stacy kehairanan.

 

“Itulah. Aku terkejut bila mendapat tahu dari Steven yang pihak pengeluaran nak keluarkan enam ribu tan.” jawabku sambil meletakkan helmet keselamatan di atas meja.

 

“Aku rasa kau patut bagitahu Nakamura-san tentang ni.” kata Stacy.

 

“Petang nanti, aku nak jumpa dengan Helmi tentang perkara ini.”

 

Kamala yang duduk dihadapan terus memandangku.

 

“Zafirah, nak print barcode untuk lot no. berapa?” tanya Kamala. Dahinya aku lihat berkerut seribu.

 

Aku mengisyaratkan Kamala yang aku akan menelefon bahagian pengeluaran. Jari-jemariku terus menekan butang nombor telefon bahagian pengeluaran.

 

“Hello. Boleh saya bercakap dengan Helmi?”

“Dia masih di dalam bilik mesyuarat.”

 

“Tolong fax laporan penuh untuk pengeluaran hari ini. Saya nak laporan itu sekarang” arahku tegas.

 

“ Cik Zafirah, nanti saya akan fax.”

 

“Siapa ni?” tanyaku

 

“Raimi.”

 

“Raimi, fax laporan tu sekarang juga.” arahku tegas dan terus meletakkan gagang telefon.

 

Tidak lama kemudian, laporan pengeluaran berada di mesin fax. Aku terus berikan kepada Kamala untuk mencetak label barcode sebelum diberikan kepada Ahmad. Aku lihat pintu pejabat ditolak. Rosli muncul dibalik daun pintu.

 

“Cik Zafirah nak jumpa saya?” Aku terus mengambil laporan pengeluaran dan berikan kepada Rosli. Aku berasa agak bengang bagaimana Steven tahu tentang pengeluaran tambahan. Aku sebagai pengurus dan Razak sebagai penyelia gudang tidak tahu menahu tentang hal ini.

 

“Rosli, bahagian pengeluaran ada beritahu tentang tambahan enam ribu tan?” tanyaku pada Rosli. Rosli hanya menunduk dan mendiamkan diri. Mungkin dia sudah sedia maklum tentang perangaiku jika maklumat tidak disampaikan dengan betul. Sudah pasti aku akan mengamuk.

 

“Saya pun baru diberitahu tentang perkara ini tentang Lot TX-100 akan diproses dan dikeluarkan oleh bahagian pengeluaran” Aku menoleh ke arah Stacy yang sedang sibuk bercakap di telefon. Kemudian Stacy meletakkan kembali gagang telefon sambil memandangku.

 

“Anita dari bahagian penjualan beritahu ada order daripada China untuk Lot TX-100 dan AD-800. Sebanyak tiga puluh kontainer kosong dua puluh kaki akan sampai dari Seng Hock pukul satu tengahari.”

 

Lega hatiku bila diberitahu ada eksport ke China. Nampak gayanya gudang sudah ada sedikit ruang simpanan tambahan untuk mengisi barang-barang pengeluaran bagi tiga hari mendatang. Aku pula tidak perlu bersusah payah untuk menelefon gudang luar seperti Mitsui-Soko untuk menampung tambahan barang-barang pengeluaran. Ini kerana pihak gudang luar seperti Mitsui-Soko akan mengenakan harga yang agak mahal untuk ruang simpanan bagi menempatkan barang-barang di gudangnya. Secara tidak langsung ia akan menaikkan kos pengangkutan dan ruang simpanan yang sedia ada.

 

Rosli masih tercegat di hadapanku menantikan arahanku selanjutnya.

 

“Rosli, saya nak awak beritahu Amir, Steven dan Prakesh untuk ‘standby’ ambil Lot TX-100 dan AD-800 dari bahagian pengeluaran. Bila kontainer kosong dah dipakir, saya nak Lot TX-100 dan AD-800 terus ke ‘vanning area’ dan dimasukkan terus ke dalam kontainer.” kataku memberi arahan kepada Rosli. Rosli terus mencatatkan apa yang harus dilakukan.

 

“Jangan lupa beritahu budak-budak yang operate VNA (Very Narrow Aisle Machine) untuk turunkan AD-800 dari gudang 2. Suruh Uncle Lim standby untuk periksa semua kargo ditelakkan di atas 4-way pallet.”

 

Aku ambil ‘seal’ kontainer,laporan kargo dan berikan kepada Rosli. Aku berjalan menuju ke tingkap pejabat. Kontainer-kontainer dua kaki sudah pun siap dipakir. Aku lihat jam di pergelanganku yang menunjukkan jam dua belas tengahari. Cepat betul budak-budak Seng Hock hantar, bisik hatiku.

 

Stacy sudah siap memakai helmet keselamatan menuju ke arah pintu pejabat untuk ke kantin yang disediakan untuk pekerja. Stacy sudah maklum jika aku terlalu banyak kerja, dia akan membelikan makanan untuk tengahari.

 

“Zafirah, lunch macam biasa? Nasi campur?” tanya Stacy.

 

“Kalau ada mee rebus, kau tolong ‘tapau’kan. Kalau tak ada, kirim salam saja dengan makcik kantin. “ kataku seraya memandang ke arah skrin komputer untuk menghabiskan kerja-kerja yang masih terbengkalai.

 

“Takkan kau nak makan biskut cicah dengan milo setiap hari. Lama-lama kurus kering.” Stacy menasihatiku. Tangannya sudah mencapai helmet keselamatan.

 

Aku terus menaip di papan kunci komputer tanpa membalas kembali apa yang diperkatakan oleh Stacy. Bila aku menoleh ke kiri, Stacy sudah tiada di pejabat. Kamala dan yang lain juga sudah ke kantin untuk makan tengahari. Begitulah rutinku di syarikat kimia ini. Seringkali aku abaikan makan tengahariku kerana banyak kerja yang harus aku bereskan.

 

Aku teringat semasa aku diterima masuk sebagai pekerja di syarikat kimia ini. Pada masa itu, umurku baru sahaja mencecah dua puluh tiga tahun. Aku baru sahaja menamatkan pengajian sarjana mudaku di University of Glasgow, Scotland. Aku teringat semasa aku diterima masuk ke syarikat kimia ini, pihak sumber manusia inginkan seseorang yang fasih berbahasa Jepun. Secara kebetulan, aku memang fasih berbahasa Jepun kerana mengambil mata pelajaran bahasa Jepun semasa belajar di salah sebuah kolej di Singapura.

 

Tidak lama kemudian, Stacy kembali membawa dua bungkusan makanan dan air ais limau. Aku kehairanan kerana Stacy selalunya makan di kantin. Stacy terus meletakkan bungkusan makanan sambil menarik kerusi. Aku lihat dia menuangkan paket yang mengadungi ais limau ke dalam dua cawan yang dibawanya dari pantri.

 

“Jom makan.” ajak Stacy.

 

“Kau beli apa Stacy?”

 

“Mee rebus. Aku beli tapi bukan aku yang bayar.”

 

“Habis siapa?” soalku kehairanan. Stacy tidak menjawab soalanku tetapi terus menikmati makanan yang tersedia di atas meja.

 

“Makan sahaja. Nanti kau kebulur. Badah kau pun dah macam kerengga. Lagipun kalau kau lambat makan mee rebus ni, takut mee kembang. Bukan itu sahaja, selera kau terus mati,” jawab Stacy.

 

“Amoi, kau belum bagi jawapan untuk soalan aku tu.” Stacy terus berhenti mengunyah.

 

“Raimi.”  Ringkas sahaja jawapan yang diberikan oleh Stacy. Stacy terlalu asyik menikmati makan tengaharinya.

 

Aku terdiam bila mendengar nama Raimi. Apalagi budak tu nak dari aku. Hari-hari dibelikan sarapan untukku tapi tidak pernah sekali aku menjamahnya. Selalunya ia akan menjadi rezeki kepada salah seorang pekerja gudang. Bukan sombong tetapi aku selalu sudah bersarapan di rumah sebelum ke tempat kerja.

 

“Jangan rasa takut makanan tu dijampi Cik Zafirah. Aku yang belikan. Raimi yang tolong bayarkan. Dia kirim salam.” Stacy terus mengunyah makanan yang ada di dalam mulutnya.

 

“Selain kiriman salam Raimi, dia ada cakap apa-apa tak?” tanyaku kepada Stacy.

 

“Tak ada.”

 

Aku terus menyuapkan mee rebus ke dalam mulutku tetapi di dalam fikiranku sarat dengan beribu persoalan.

 

Ingatkan Dia – Bab 2

Standard

 

Aku tilik jam di pergelangan tanganku. Rupanya baru pukul tujuh lima puluh minit pagi. Sampai sahaja di hadapan pintu masuk tempat kerjaku di Pulau Sakra, aku melambai tanganku ke arah Muthu yang berkerja sebagai pegawai keselamatan. Sudah tiga tahun aku berkerja sebagai pengurus di bahagian logistik syarikat kimia yang berpangkalan di Jepun.

 

Kebanyakkan pengurus kanan dan pegawai atasan di tempat kerjaku terdiri dari pekerja Jepun. Pengurus kananku baru sahaja ditukar ke ibu pejabat di Tokyo dan kini tempatnya digantikan oleh Encik Tetsutya Nakamura. Teknisyen dan jurutera pula terdiri dari rakyat tempatan dan luar negara. Tidak ramai wanita yang bekerja di komplex ini. Yang ada hanya segelintir yang bekerja di bahagian administrasi.

 

Seperti biasa, sebelum waktu kerja ramai pekerja-pekerja Jepun di syarikat ini akan bersenam setengah jam Aku lihat mereka baru sahaja habis bersenam. Sama seperti di sekolah, lagu-lagu irama perlahan akan dimainkan di seluruh kawasan loji kimia bagi menandakan waktu kerja akan dimulakan. Begitu juga waktu akhir kerja, akan dibunyikan loceng untuk memberitahu pekerja-pekerja yang berkerja di komplex itu. Aku terus ke tempat persalinan untuk mengenakan unifom, helmet dan kasut keselamatan. Di komplex kimia ini, tahap keselamatan amat diutamakan memandangkan tempat ini boleh diklasifikasikan sebagai tempat yang sangat berbahaya.

 

Setelah berpuas hati dengan penampilanku, aku terus keluar dari bilik persalinan bahagian wanita. Aku lihat tempat pakir yang sedari kosong kini sudah penuh. Aku mengambil basikal yang disediakan oleh pihak pengurusan untuk ke pejabatku yang terletak agak jauh dari bilik persalinan. Semasa aku mengayuh basikal, ramai jurutera dan teknisyen akan melambai atau tersenyum ke arahku. Biasalah.. tidak ramai ‘bunga’ yang bekerja di loji ini. Yang ada pun kebanyakkan yang sudah berpunya atau berkahwin. Mentelaah lagi, aku satu-satunya wanita Melayu yang berkerja di komplex kimia.

 

Sampai sahaja di pejabatku yang terletak di atas gudang, aku ternampak Stacy yang sudah sibuk menaip di papan komputer. Razak , penyelia gudang pula sudah sibuk untuk ke gudang bagi memberikan taklimat kepada pekerja-pekerja gudang dan pemandu forklif sebelum memulakan kerja. Aku buka helmet keselamatan dan mencapai sekeping kertas yang diletakkan di atas meja. Apalagi yang mamat Jepun ni nak. Hatiku berkata geram. Encik Akihito Tanaka adalah seorang pengurus kanan bahagian keselamatan dan kualiti amat cerewet orangnya. Aku mengeluh panjang kerana bakal berdepan dengan soalan-soalan yang akan dihamburkan tidak lama lagi. Mataku terpandang sepeket kopi dan dua karipap yang diletakkan di atas meja. Aduhai, siapa pulak yang berikan sarapan percuma ni.

 

“Stacy, siapa yang letakkan kopi dengan karipap ni?” tanyaku. Stacy memalingkan mukanya ke arah ku.

 

“Aku rasa Raimi, budak bahagian ‘production’.”

 

“Yang mana satu?” tanyaku

 

“Alah, Raimi yang naik motosikal BMW berwarna hitam. Takkan kau tak kenal?” omel Stacy. Mata Stacy masih tertumpu di skrin computer di hadapannya.

 

“Ohh, yang itu. Dia nak bagi aku karipap dengan kopi buat apa?” tanya aku kehairanan.

 

“Tanya pulak. Mestilah buat makan. Eh..yang lambat kau datang hari ni kenapa?”

“Biasalah, bas lambat,”  jawabku selamba. Aku segera menarik kerusi sebelum melabuhkan punggungku di atasnya.

 

“Bas yang lambat atau kau yang lambat?” tanya Stacy seperti seorang pegawai penyiasat.

 

“Bas yang lambat. Aku cepat hari ni.” balas aku sambil ketawa.

 

“Aku dah agak dah. Oklah, jangan kacau aku buat masa ini. Nak siapkan laporan yang kau nakkan semalam. Nanti silap haribulan ‘appraisal’ aku kau bagi sedikit. Bonus pun aku dapat sedikit.”

 

Stacy terus menyambung kerjanya yang tergendala. Aku terus menolak kerusi dan mengambil kopi dan karipap. Helmet keselamatan terus ku pakai.

 

“Mana kau nak bawak karipap tu Zafirah?”

 

“Amoi, kau diamlah. Pergi buat kerja. Kata tadi tak nak aku kacau. Sebenarnya, aku nak sedekahkan karipap dan kopi ni dekat Pakcik Rosli.”

 

“Ini bukan karipap semalam tau. Yang ini Raimi baru beli. Tadi aku nampak Raimi beli di kantin” jelas Stacy.

 

“Aku tahulah kopi dan karipap ni baru.  Aku dah terasa kekenyangan sebab sarapan di rumah. Lagipun aku takutlah kopi dan karipap ni ada jampi-jampi.” Aku ketawa terkekek-kekek.

 

“Takut rupanya kau siang malam termimpi si Raimi je. Kau ni takut sahaja. Aku lihat Raimi orangnya okay je. Kau dengan dia sama-sama bujang. Aku dengar kerjanya pun bagus.”

“Aku tahulah dia tu teknisyen kanan dan tak sama taraf dengan kau. Tapi dia budak baik lah Zafirah. Tak salah kalau kau dengan dia ada apa-apa hubungan,” kata Stacy bersahaja.

 

“Ok, kalau macam begitu kau ambil karipap dan kopi ini. Tak payah aku nak melangkah masuk gudang jumpa Pakcik Rosli. Lagipun, sekejap lagi si mamat Jepun Akihito Tanaka-san tu akan bertapa dekat sini minta itu.. minta ini.”

 

“Tak nak lah aku.” Stacy menggelengkan kepalanya.

 

“Kenapa kau tak nak. Tadi beria aku dengar yang kau tak mahu aku berikan karipap dan kopi ini kepada Pakcik Rosli.”

 

“Nanti aku pula yang termimpi-mimpi si Raimi,” jawab Stacy

 

“Aku ingat kau tak takut. Rupanya takut juga si Amoi ni.” Stacy menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum. Aku terus turun ke gudang untuk memeriksa keadaan di sana dan juga memberikan sedikit taklimat tentang keselamatan dan kerja yang harus dilakukan di gudang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ingatkan Dia – Bab 1

Standard

 

Enam bulan yang lalu….

 

“Cepat sikit Zafirah, dah nak masuk waktu Syuruk. Waktu Subuh dah nak dekat habis ni. Tengah ambil wudhu ke berendam dalam tandas?” jerit ibu dari dapur.

 

“Ya.. Ya. Nak keluar ni.” Aku terus keluar dari bilik air. Ibu telah menggeleng-gelengkan kepala.

 

“Jangan pulak termenung dekat dalam bilik. Dah pukul berapa ni? Takkan ayah kau asyik nak kena hantar sampai Sakra. Jauh tu.” bebel ibu di luar bilik air

 

Aku terus masuk ke dalam sambil memakai telekung dan membentangkan sejadah. Selalunya tidak begini kerana aku selalu bangun awal. Entah kenapa hari ini, aku lewat. Mungkin kerana aku asyik membaca novel karya Norhayati Berahim tanpa menyedari pukul berapakah aku terlelap. Tiba-tiba mataku tertancap pada USB flashdrive yang terletak di atas mejaku. Hari ini sepatutnya aku berjumpa dengan Adam untuk memulangkan USB flashdrive kepunyaannya. Aku cepat-cepat beristigfar dalam hati kerana melewatkan waktu solatku.

 

Setelah habis solat subuh, aku terus mengambil telefon bimbit dan mendial nombor telefon bimbit Adam. Di dalam hati berkata-kata, Adam dah sampai ke Singapura ataupun tidak. Dua minggu yang lalu Adam ada memberitahu yang dia akan sampai di Singapura pada pagi ini. Mengikut jadual, penerbangan lelaki itu akan tiba di lapangan terbang Changi pada pukul lima setengah pagi dari lapangan terbang Narita.

 

Aku memandang ke jam di dinding. Jam sudah menginjak ke pukul tujuh pagi. Lagipun aku harus memulangkan USB flashdrive ini kepada Adam kerana jadual masaku agak sibuk selepas ini. Semalam, Encik Masahiro Ogawa sudah memberitahu aku akan ke Matsuyama, Jepun untuk menjalani latihan di sana. Aku lekatkan telefon bimbitku di telinga kanan ku. Bunyi deringan mula kedengaran di hujung talian. Aku menunggu dengan sabar sebelum panggilanku akhirnya diangkat

 

“Hello.” suara garau menerobos ke gegedang telinga. Kenapa pula suara Adam lain sikit, desis hatiku.

 

“Hello.. Hello.” Suara garau itu lagi

 

“Assalamualaikum Adam. Zafirah ni. Dah sampai Changi? Best tak Jepun? Pukul berapa flight tadi sampai Singapore?” tanya aku bertubi-tubi.

 

“Aaaaarrr. Jepun? Siapa ni?” tanya suara garau itu lagi.

 

“Adam, jangan nak buat kelakar pulak. Ni Zafirah lah. Takkan dua minggu pergi Jepun dah lupa. Tu lah siapa suruh makan banyak sangat mee maggi. Kan dah nyanyuk macam orang tua.” aku gelak sekuat hatiku

 

“Adam.. Siapa Adam?”

 

“Ya Allah!! Takkan dah lupa nama sendiri.” Aku ketawa sekuat hati. Sengaja Adam nak kacau aku.

 

“Tapi I bukan Adam.” jawab suara garau itu lagi

 

“Aikk!! Adam.. Jangan nak main-main pulak.” kata aku lagi

 

“Cuba lihat balik nombor yang awak dial.”

 

“Ni Adam kan?” tanya aku tidak puas hati.

 

“ Tapi I bukan Adam,” jawab suara gurau itu tegas.

 

Siapa pula yang dah aku telefon ni. Kalau bukan Adam siapa lagi, desis hatiku. Aku mencapai cermin mata dan terus melihat nombor telefon yang tertera di skrin. Rupanya aku tertekan salah nombor. Sepatutnya nombor telefon Adam berakhir dengan lapan tetapi aku tertekan sembilan.

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 50

Standard

Adlina tidak tahu apa yang terjadi selepas dia memberitahu Nazrey perkara yang sebenar. Pagi itu, apabila Adlina membuka matanya dia sudah berada di atas katil di dalam bilik tidurnya. Kepala Adlina masih terasa berat. Adlina mengerling ke arah jam yang berada di atas meja di sisi katilnya. Jam menunjukkan sudah menginjak ke pukul enam pagi. Perlahan-lahan Adlina bangun dari katilnya dan membersihkan diri sebelum menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim.

Apabila Adlina keluar dari biliknya, rumah mewah itu sudah diterangi dengan lampu. Kelibat Mak Temah  sedang sibuk di dapur menyediakan makanan. Adlina pula sudah siap berpakaian untuk ke pejabat.

“Lin dah bangun? Lin okay tak? ” tanya Mak Temah dengan nada yang begitu prihatin. Diusap perlahan-lahan lengan Adlina.

“Alhamdullilah. Lin okay Mak Temah.” jawab Adlina. Tangannya sibuk mengambil serbuk kopi sebelum ditelakkan ke dalam teko.

“Semalam Lin pengsan. Dato’ yang mengangkat Lin masuk ke dalam bilik,” kata Mak Temah secara tiba-tiba. Kata-kata itu bagai sudah menjawab segala persoalan yang berligar di kepala Adlina sedari tadi.

” Mak Temah ke dapur malam itu untuk mengeluarkan bahan-bahan untuk memasak bila ternampak Adlina terbaring di tepi meja makan. Muka Dato’ pucat lesi. Terus dipanggil doktor peribadi.” jelas Mak Temah panjang lebar. Tangannya masih sibuk menggoreng nasi di dalam kuali.

“Dato’ di mana sekarang ini?” tanya Adlina.

“Dato’ baru sahaja keluar.  Malam semalam dia yang menjaga Adlina. Sebelum Mak Temah terlupa, Dato’ ada tinggalkan kunci kereta.” Mak Temah terus menyerahkan kunci kereta kepada Adlina. Bila Adlina melihat kunci kereta yang ada tangannya, menggeletar seluruh badannya. Suaminya menyuruhnya memandu kereta  Lexus RX hybrid ke tempat kerja. Tak ada kereta kecil ke, bisik hati Adlina.

“Mak Temah ada nombor telefon Dato’? tanya Adlina.

“Adlina tak ada ke nombor telefon Dato?” Soalan dibalas dengan soalan juga oleh Mak Temah.

“Eeerrr.. Saya dah simpan nombor Dato’. Tapi semasa saya menukar telefon bimbit, semua nombor yang disimpan hilang. ” kata Adlina beralasan. Tanpa mengesyaki apa-apa, Mak Temah terus memberitahu nombor bimbit Nazrey.  Bila Adlina cuba memasukkan nombor telefon bimbit Nazrey, rupanya Nazrey tidak pernah menukar nombor telefon selama ini. Entah kenapa saat itu Adlina merasa lega. Selepas Adlina makan sarapan, Adlina terus bergegas keluar sebelum memandu ke bangunan di mana terletaknya Saujana Holdings.

Adlina terus melangkah masuk ke dalam lif sambil menekan butang lif ke tingkat dua puluh. Keluar sahaja dari lif, Adlina ternampak Azean sedang menunduk membaca sesuatu. Di dalam fikiran Adlina hanya satu sahaja. Dia mahu memulangkan kunci kereta kepada suaminya kerana Adlina lebih senang memandu kereta yang lebih kecil seperti kereta Chevrolet yang pernah dipandunya semasa bertugas dengan Saujana Holdings. Adlina pula sudah bertekad mahu tinggal bersama dengan sepupunya yang sudah berpindah ke Cheras buat sementara waktu kerana kurang selesa bila berada di dalam rumah mewah itu.

Mungkin Adlina akan mencari rumah sewa yang berdekatan dengan pejabatnya. Untuk tinggal di rumah mewah itu.. rasanya dia seolah-olah tidak layak untuk tinggal di situ apatah lagi dengan layanan bahu sejuk oleh Nazrey. Cuma Adlina takut Puan Sri Nora tidak bersetuju dengan cadangannya yang mahu berpindah dalam keadaan sarat mengandung. Adlina pula tidak tahu apa yang terjadi kepada penthouse milik Nazrey; hadiah perkahwinannya kerana Adlina langsung tidak menjejakkan kakinya sehingga kini semenjak Nazrey pergi keluar negara.

“Assalamualaikum Azean.”  Adlina menyapa Azean.

“Ya Allah!!! Datin Adlina. Apa khabar?” pekik Azean seumpama melihat makhluk halus dihadapannya. Azean terus bangun dari tempat duduknya dan terus memeluk Adlina.

“Alhamdullilah sihat. Azean apa khabar?” tanya Adlina sambil tersenyum.

“Alhamdullilah. Khabar baik dan tak..” Azean memuncungkan mulutnya. Adlina ketawa berdekah-dekah

“Kenapa?”

“Biasalah bos. Sejak peristiwa kemalangan yang berlaku ke atas dirinya.. Bos dah jadi harimau bintang dengan kumbang ketuk.” bisik Azean. Adlina memandang Azean kehairanan.

“Bos ni asyik nak marah-marah. Semuanya tak kena. Dulu tak macam begini. ” Azean meluahkan isi hatinya.

“Bos ada di dalam tak?” tanya Adlina.

“Ada di dalam pejabat dengan Cik Dania.” bisik Azean.

“Cik Dania?”  Kepala Adlina sudah mula befikir. Takkan Dania bekas tunang Nazrey ada di dalam bilik pejabat. Atas urusan apa? Bisik hati kecil Adlina.

“Boleh saya jumpa dengan bos sekejap sahaja?”

“Saya cuba ya Cik Adlina. Saya pun takut sebenarnya. Takut kena hamput dengan Dato.”

Azean terus menekan butang interkom untuk memberitahu Nazrey akan kedatangan Adlina di pejabat. Suara Nazrey mula bergema di corong interkom.

“Suruh Adlina masuk.” kata Nazrey.

Adlina terus ke bilik Nazrey yang betul betul terletak berhadapan dengan meja Azean. Dahulunya bilik itu dihuni oleh Allahyarham Tan Sri Hishamuddin. Dan kini bilik pejabat yang begitu luas itu dihuni oleh Nazrey. Adlina mengetuk pintu bilik Nazrey sambil menghela nafas panjang

“Masuk!!” laung Nazrey dari dalam biliknya. Adlina memusingkan tombol pintu sebelum masuk ke dalam bilik yang begitu luas. Ketika melangkah masuk, Adlina melihat Dania sedang duduk berhadapan dengan Nazrey.

Entah kenapa Adlina berasa hiba dan cemburu.Tiba-tiba terlayar gambar-gambar  mesra Nazrey dan Dania yang diterimanya di Watsapps. Api cemburu mula menguasai Adlina namun disabarkannya. Buat apa mahu melenting pada saat ini kerana Nazrey langsung tidak mengingati dirinya. Adlina harus kuat menempuh ujian ini. Lagipun Adlina mahu menolong ibu mertuanya memantau perjalan syarikat Saujana sebelum bersalin. Adlina sudah berjanji dengan Puan Sri Nora untuk mencungkil apa yang telah di syarikat Saujana sepanjang ketiadaan Nazrey beberapa bulan yang lepas.

“Nazrey, I’ve to go right now. Jangan lupa lunch kita nanti.” kata Dania sebelum mengangkat pungunggung dan terus berlalu keluar dari bilik.

“Boleh saya duduk?” tanya Adlina. Anak mata Nazrey terus memanah masuk ke dalam anak mata Adlina. Ketika itu Adlina berasa kurang selesa walaupun berhadapan dengan suaminya sendiri. Mungkin hatinya masih membengkak bila teringatkan gambar-gambar mesra Nazrey dan Dania. Bukan itu sahaja api cemburu sudah menguasai hatinya ketika ini kerana Dania berada di dalam bilik Nazrey. Bersangka baik sahaja lah Adlina, bisik hatinya lagi.

“Dato’, saya nak berikan kunci ini kembali.” Adlina terus menyerahkan kunci kereta Lexus RX Hybrid kepada Nazrey. Sengaja diri membahasakan lelaki itu dengan panggilan Dato’. Lelaki itu langsung tidak

“Kenapa? Tak cukup besar?” kata-kata itu terus terluncur terus dari mulut Nazrey. Kenapa suaminya berubah dengan begitu mendadak. Ya Allah! Tak kuat rasanya Adlina menghadapinya. Gambar-gambar yang diterima, suaminya hilang ingatan dan kini layanan suaminya kian membeku terhadap dirinya seolah-olah mencengkam nafasnya. Dirinya yang sudah sarat perlukan suaminya di sisi. Namun bagaimana suaminya ingin melayannya dan berada di sisinya sedangkan tidak ada satu perkara yang lelaki itu ingat tentang dirinya Adlina sedaya upaya menahan diri dari mengalirkan airmata. Dia mesti kuat menghadapinya.

“Terlebih besar Dato’ ” jawab Adlina pantas.

“Jadi kenapa kau menolak?” tanya Nazrey. Kata ganti namanya itu bagaikan terlalu kasar kedengaran di cuping telinganya.

“Saya akan beli kereta kecil. Cukup untuk saya berulang alik ke pejabat.”

“Ini bukan kehendak aku. Kehendak mama. Dia yang telefon semalam dan memberitahu aku supaya berikan kereta Lexus itu untuk dipakai oleh kau. Kau ingat aku nak sangat berikan kereta itu kepada orang yang aku tak kenali. Disebabkan mama aku turuti. Aku pun tak tahu muslihat kau sampai Mama pinta aku berikan Lexus itu kepada kau.” Suara garau lelaki itu memecahkan kesunyian bilik pejabatnya

“Kalau bukan kehendak Dato’ … Saya akan berikan semula kunci kereta ini. Lagipun saya akan berada di KL tidak lama.Cuma tiga bulan sebelum bersalin. Selepas itu saya akan pulang ke Singapura,” jawab Adlina mendatar.

“Kenapa sampai nak beli? Kalau dah mama aku suruh kau pakai.. pakai sahaja lah.”

“Soal Puan Sri, jangan Dato’ gusar. Saya akan beritahunya nanti bila pulang.”

“Suka hati kau lah.”

Adlina meminta diri dan terus keluar dari pejabat. Sejak akhir-akhir ini, Adlina sering kepenatan. Mungkin semakin kandungan ini besar, semakin dia berasa berasa cepat lelah. Adlina tidak terus masuk ke pejabatnya yang berada di tingkat lima Menara Saujana. Sudah dimaklumkan kepada Saerah salah seorang pembantunya di pejabat yang dia tidak akan kembali ke pejabat sehingga selepas waktu makan tengahari. Lagipun Adlina sudah berjanji dengan sepupunya Indah untuk makan tengahari bersama di salah sebuah restoran berdekatan dengan Menara Saujana.

Sambil berfikir tentang apa yang harus dibuatnya di pejabat nanti, Adlina menuruni tangga pintu keluar dan masuk Menara Saujana Holdings. Entah kenapa, Adlina berasa tubuhnya seakan-akan hilang imbangan dan terus tergelincir dari tangga tersebut. Tiba-tiba Adlina berasa perutnya begitu bisa sekali. Cecair darah membasahi baju dan seluarnya. Saat itu, Adlina terdengar seseorang memekik namanya dengan kuat sekali.

 

 

 

 

 

Rindu Yang Menghempas Hati – Bab 49

Standard

Sudah sebulan Adlina memulakan tugas sebagai eksekutif di salah sebuah anak syarikat Saujana Holdings. Puan Sri Nora menyuruhnya memulakan tugas sebagai eksekutif kerana tidak mahu membebankan menantunya yang sudah berbadan dua. Puan Sri Nora tidak putus-putus memberikan tunjuk ajar dalam menguruskan anak syarikat itu.  Pada mulanya Adlina agak kekok kerana sudah lama dia meninggalkan dunia koporat kerana mengendalikan perniagaannya sendiri.

“Mama cuma nak Lin berkerja sehingga akhir bulan ini. Bukan apa, mama tak nak apa-apa terjadi pada Saujana Holdings. Hanya Lin yang boleh tolong Mama” kata Puan Sri Nora yang sedang duduk di gazebo menikmati udara petang.

“Maksud mama?” tanya Adlina kehairanan.

“Lin tahukan keadaan Naz macam mana. Masih belum sembuh sepenuhnya. Nizam pula sibuk menguruskan anak syarikat yang sekarang berpangkalan di Dubai. Jadi Mama nak Lin tolong mama  pantau perjalanan syarikat dari jauh. Sebab mama rasa tak sedap hati.”

“Tak sedap hati?” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkannya ingin tahu apa yang telah berlaku sepanjang ketiadaan Nazrey.

“Sepanjang ketiadaan Nazrey, kewangan Saujana Holdings mengalami defisit yang agak teruk. Mama tanya Mokhtar tapi dia sendiri tidak tahu. Maklumlah Mokhtar sendiri ada syarikatnya sendiri untuk diuruskan. Kemudian mama tunjukkan penyata kewangan syarikat pada Nizam. Nizam sendiri terkejut dengan adanya pengaliran wang yang tidak sah.”

“Boleh Lin lihat penyata kewangan bagi suku pertama untuk Saujana Holdings?”

“Nanti mama berikan pada Lin esok di pejabat. ” jawab Puan Sri Nora. Adlina menganggukkan kepalanya.

“Dan satu lagi, mama tak mahu Lin tertekan sangat. Cuma mama ingin Lin tolong mama pantau syarikat itu. Sebab mama rasa di dalam syarikat itu ada gunting di dalam lipatan. Perkara ini sudah terlalu lama sangat.” Kata-kata Puan Sri Nora membuatkan Adlina berasa terkejut.

Patutlah selama dia di Singapura, Puan Sri Nora jarang menghubunginya. Rupanya sepanjang ketiadaan suaminya di situ, terlalu banyak perkara yang berlaku. Ya Allah, ujian yang diberikan bersilih ganti.

Tidak lama kemudian , kereta Lexus RX hybrid milik Nazrey dipandu masuk ke dalam kawasan rumah Puan Sri Nora. Mata Adlina menyoroti kenderaan mewah itu sebelum dipakir di garaj bersebelahan dengan rumah agam milik ibu mertuanya. Nazrey keluar dari perut kereta dengan masih berpakaian kemas. Selepas kejadian kemalangan yang berlaku ke atas Nazrey, lelaki itu seolah-olah lupa tentang dirinya. Nazrey kembali kepada perangai lamanya. Seorang lelaki serabai yang kuat mengomel dan keras kepala. Nazrey kemudian terus berjalan ke arah Puan Sri Nora sebelum menyalami tangan ibu mertuanya. Adlina mahu menyalami Nazrey tetapi  ditahan kehendaknya kerana Nazrey masih belum mengingatinya.

“Sedapnya kuih talam jagung. Mak Temah buat ke?” tanya Nazrey sambil tangannya mengambil sekeping kuih talam jagung yang dibuat oleh Adlina.

“Bukan Mak Temah. Adlina yang buat.” sangkal Puan Sri Nora. Kunyahan Nazrey yang penuh diisi penuh dengan kuih talam jagung tiba-tiba terhenti. Mata lelaki itu terus menikam dalam anak mata Adlina. Kemudian Nazrey meneruskan kunyahan kuih talam jagung.

“Dato’ nak kopi atau teh?” tanya Adlina. Adlina tidak mahu membahasakan Nazrey sebagai ‘abang’ kerana Adlina tahu akan keadaan Nazrey dan tidak mahu merumitkan lagi. Adlina mahu mendekati Nazrey secara perlahan-lahan dan bukan cara

“Takpe. Saya nak naik ke atas dulu.” jawab Nazrey ringkas sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Puan Sri Nora hanya memandang Adlina dengan sebuah pandangan yang kosong. Kemudian tangan Puan Sri Nora menggenggam tangan kanan Adlina.

“Lin.. sabar ya sayang. Nazrey perlukan waktu untuk kembali ke asalnya.” pujuk Puan Sri Nora.

” Tapi sampai bila mama?” tanya Adlina sambil merintih. Saban hari Adlina tidak putus-putus berdoa agar ingatan Nazrey kembali seperti sediakala. Adlina mahukan Nazrey berada di sisinya saat dia bersalin nanti. Seorang suami yang akan menemani saat dia diambang maut Adlina juga mahukan Nazrey yang dia pernah kenali dahulu. Bukan Nazrey yang bahu sejuk dan menjengkelkan. Tapi apakan daya, Nazrey bukan Nazrey yang dahulu.

“Kita sama-sama berdoa ya sayang semoga ingatan Nazrey dapat pulih serta perniagaan kita dapat diselamatkan.” kata Puan Sri Nora.

Malam itu, Nazrey tidak banyak berkata ketika berada di meja makan. Adlina hanya melihat Nazrey makan dengan bersungguh-sungguh. Sengaja Adlina memasak lauk kegemaran Nazrey seperti sambal goreng pengantin, sambal tumis sotong dan ayam masak merah berserta nasi impit. Makanan ini seolah-olah mengimbau kembali pertemuan Adlina dan Nazrey semasa berada di West Yorkshire, England. Airmata Adlina mula mengalir tatkala mengingati segalanya. Adlina cuba menelah makanan yang ada di hadapannya namun segalanya bagai terasa pahit bak hempedu.

Puan Sri Nora tiada bersama ketika makan malam kerana menghadiri majlis persandingan di hotel Concorde, Shah Alam dan akan bermalam di sana. Tinggalah Adlina dan Nazrey berdua di rumah mewah yang boleh diketogorikan sebagai istana. Semua susun atur di dalam rumah nampak begitu mewah kerana diimport dari luar negara.

Nazrey mula perasan bila Adlina tidak makan makanan yang ada dihadapannya. Adlina hanya menguis sisa makanan di dalam pinggan.

“Kenapa tak makan? Kalau tak makan , nanti anak dalam kandungan tak dapat zat.” bebel Nazrey. Saat mendengar kata-kata yang terluncur dari mulut Nazrey, Adlina terus menangis. Ya.. dia menangis kerana Nazrey begitu prihatin terhadap dirinya walaupun mungkin lelaki itu langsung tidak akan mengenali dirinya serta anak yang bakal lahir.

“Tekak saya sakit, Dato’. Sebab tu saya tak banyak makan.” dalih Adlina kepada Nazrey. Nazrey kemudian mencuci tangannya yang sudah agak kotor. Kemudian Nazrey kembali duduk di bertentangan Adlina sambil menikmati ‘creme brulee’ yang disediakan oleh Adlina sebagai pencuci mulut.

“You tahu tak.. setiap kali I makan masakan you, ia bagai mengimbas ingatan I kembali kepada anak saudara I Nadia yang berada di UK sekarang ini. Rasanya begitu sama sekali dengan masakan you. Untung suami you tetapi sayang dia tidak menghargai you.”  Kata-kata Nazrey bagai ditusuk sembilu. Masakan yang dikatakan hasil air tangan Nadia sebenarnya adalah hasil air tangannya. Suaminya langsung tidak ingat sama sekali tentang dirinya.

“I selalu tanya mama I.. siapa you sebenarnya. Kenapa tiba-tiba wanita yang sarat mengandung berada di dalam rumah I. Dan yang peliknya kenapa tiba-tiba mama nak ambil you sebagai eksekutif di salah satu anak syarikat Saujana Holdings. But mama just kept quiet.”

“Dan I nak tahu siapa you sebenarnya..”

Adlina kemudian mengeluarkan sekeping gambar persandingannya bersama dengan Nazrey dari begnya yang terletak di tepi meja makan. Kemudian Adlina menghulurkan gambar itu ke arah Nazrey. Salinan surat nikah dikeluarkan dari beg tersebut.

“Gambar persandingan saya dan suami beberapa bulan yang lalu.” Suara Adlina kedengaran begitu sayu.

“Nama suami saya ialah Dato’ Wira Nazrey Shah Iskandar Tan Sri Hishamuddin. Ini dia sijil nikah”  Mata Nazrey membulat seakan tidak percaya dengan kata-kata Adlina. Mana mungkin dirinya sudah berkahwin.

“Tak mungkin.. Tak mungkin!!” balas Nazrey sambil menggelengkan kepalanya. Nazrey sudah kelihatan berdiri dari tempat duduknya

“Duduk dulu abang. Mungkin abang tak ingat Lin. Tapi Lin masih mengingati suami Lin yang sudah berbulan-bulan tiada di sisi Lin.  Dan di saat Lin menginginkan dakapan abang.” Kata Adlina sambil menangis terisak-isak. Adlina tidak sanggup menyimpan segalanya. Sampai bila dia harus menyembunyikan perkara yang sebenar. Lagipun tidak salah bagi diri Adlina kerana Nazrey masih suaminya yang sah.

“Apa muslihat you sebenarnya Adlina?” tanya Nazrey dengan nada suara yang agak tegas.

“Lin tiada muslihat. Tapi itulah kebenarannya.” jawab Adlina.

“Nope. I tak percaya I dah berkahwin dengan you. Tak mungkin berlaku. Setahu I, Dania tunang I. Masa kan I boleh berkahwin dengan you.”

“Tapi itu kenyataannya. Abang suami Lin. Sah dari segi hukum syarak.”

“Dah lah perempuan. Jangan nak mengada-ngada. Dah mengandung anak siapa.. nak mengaku aku ni suami.” Kata-kata yang keluar dari mulut Nazrey semakin tajam. Hati  Adlina disiat-siat. Mungkin ini ada salah satu sebabnya ibu mertuanya tidak mahu beritahu hal yang sebenar. Puan Sri Nora hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu dirinya tertekan apatah lagi sekarang ini sudah berbadan dua.

Saat ini, Adlina mahu sahaja terbang ke Singapura dan memeluk erat kedua orang tuanya. Tiba-tiba Adlina terasa badannya terjelepuk ke lantai. Padangannya mula berbalam dan kabur. Ketika itulah Nazrey berlalu pergi meninggalkan dirinya keseorangan menanggung kesakitan di tepi meja makan yang mewah.